Pelepasan Karbon Pusat Data Baharu Di Malaysia Bersamaan 2 Juta Kenderaan
Effi Saharudin
Bukan rahsia besar pembangunan pusat data akan menggunakan bekalan tenaga dab juga air yang tinggi. Pusat data Hyperion milik Meta dianggarkan menggunakan jumlah tenaga yang sama dengan 30,000 rumah sehari. Di Malaysia, RimbaWatch menerbitkan laporan bertajuk “Climate Impacts of Malaysia’s Data Centre Expansion” yang menunjukkan impaknya di Malaysia juga tidak kurang negatif.
Dalam laporan tersebut, 14 pusat data yang sedang atau akan dibina bakal meningkatkan penggunaan tenaga sebanyak 2.2 GW. Daripada jumlah ini 1.7 GW dijana menggunakan sumber tenaga yang tidak mesra alam. Setiap tahun 13,000 GWj tenaga dari sumber yang mencemarkan perlu dijana mengeluarkan 9.9 juta ton karbon dioksida setiap tahun bersamaan pelepasan 2 juta kenderaan peribadi atau keseluruhan negara Papua New Guinea.

Pada suku ini sahaja, Johor meluluskan pembinaan 42 pusat data dengan Selangor juga tidak ingin ketinggalan. Maka data yang digunakan RimbaWatch perlu diolah semula bagi mengambil kira pembinaan pusat-pusat data ini dalam masa terdekat.
Di Malaysia 72% bekalan tenaga dijana menggunakan petroleum, gas dan arang batu menurut kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. Sasaran 40% sumber tenaga lestari menjelang 2035 dan 70 peratus menjelang 2050 telahpun ditetapkan.
Selain pelepasan karbon naik mendadak, kekurangan bekalan air juga akan menjadi isu besar yang perlu ditangani segera seperti menggunakan air tidak dirawat dan dikumpul daripada sumber air hujan. Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Januari lalu ini telah mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa mereka berharap bahawa kerajaan akan memandatkan penggunaan sumber air alternatif untuk digunakan oleh pusat-pusat data sedia ada, dan juga untuk pusat data yang akan bertapak di Malaysia.
[sumber] RimbaWatch [/sumber]
.