Microsoft Excel Kini Disokong Copilot Untuk Memudahkan Tugasan Yang Sukar
Effi Saharudin
Saya akan melakukan pengakuan berani kepada anda. Walaupun saya sudah lebih 30 tahun bergelumang dalam dunia teknologi, tahu bagaimana menggunakan 3D Studio Max, Maya dan Adobe Flash untuk menghasilkan grafik, saya sangat gagal dalam menggunakan perisian pejabat seperti Microsoft Excel. Perisian lembaran kerja ini sangat kompleks, pertandingan mencari insan yang paling handal menggunakannya dianjurkan setiap tahun.
Hari ini Microsoft mengumumkan pembantu maya kecerdasan buatan Copilot akan diintegrasikan ke dalam Excel. Menerusi integrasi ini, pengguna hanya perlu memasukkan soalan atau fungsi yang ingin dilakukan dalam Excel dan Copilot akan melakukannya untuk anda. Tidak lagi perlu pening kepala menghafal formula, mencari tutorial di YouTube dan menghadiri kelas Excel yang menelan belanja (serta masa) yang tinggi.
Integrasi Copilot dalam Excel kini boleh diuji pengguna aplikasi Microsoft 365 Copilot saluran beta di Window dan Mac bermula hari ini sebelum dikembangkan kepada pengguna versi web dalam masa beberapa minggu lagi.