Prime Video Menarik Semula Ciri Alih Bahasa Menggunakan AI Selepas Dikecam
Effi Saharudin
Awal minggu lalu Prime Video secara senyap memperkenalkan ciri alih bahasa menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk kandungan anime dalam Bahasa Inggeris dan Sepanyol. Peminat siri anime menyedari hasil sistem alih bahasa ini adalah amat tidak memuaskan dengan intonasi suara yang kedengaran janggal. Hari ini Prime Video secara rasmi menarik semula ciri AI Beta ini daripada platform mereka.

Dua kandungan yang menggunakan alih bahasa AI ialah Banana Fish dan No Game No Life Zero dengan pilihan Bahasa Inggeris dan Sepanyol Latin Amerika. Di Malaysia hanya Banana Fish boleh menggunakan ciri ini dengan pilihan audio Sepanyol. Tindakan Prime Video menggunakan AI ini dikecam kerana siri Banana Fish tidak pernah ditawarkan secara rasmi dalam Bahasa Inggeris sebelum ini.
Penggunaan AI generatif dalam produksi filem dan siri TV semakin meningkat tahun ini. Netflix mengaku menggunakannya bagi menghasilkan kesan khas dalam siri The Eternauts dan mengubah pergerakan bibir pelakon apabila bahasa berbeza dengan kandungan asal digunakan.