Lagu Janaan AI Yang Mencapai Tangga Teratas Carta iTunes Malaysia Semalam, Telah Dipadam Daripada Semua Platform
Effi Saharudin
Semalam kami laporkan lagu Cinta Tersimpul Rapi oleh Jane In Heaven berjaya mencapai tangga teratas carta iTunes Malaysia. Walaupun tidak dinyanyikan manusia, lagu ini tular di TikTok dan mencapai lebih 4.4 juta tontonan di YouTube. Hari ini, lagu yang pada asalnya dinyanyikan oleh Anis Suraya hampir 30 tahun lalu sudah dipadam daripada semua platform muzik digital.

Ia tidak lagi boleh dibeli menerusi platform Apple. Pada waktu yang sama video di YouTube telah dipadam dengan mesej menunjukkan hak cipta telah dituntut oleh Suria Records (SRC). Penulis asal lagu Cinta Tersimpul Rapi ialah Azmeer dan lirik pula oleh Lukhman S.
Lebih 40 lagu saduran janaan AI di saluran Jane in Heaven juga telah dipadam. Antara lagu artis yang disadur menggunakan AI ialah yang dinyanyikan oleh M Nasir, Aishah, Search, dan Sudirman. Hanya sembilan lagu asal Jane in Heaven sahaja tinggal di saluran ini sebentar tadi.

Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) telah mengeluarkan kenyataan mengatakan perlindungan hak cipta adalah hak yang dikhaskan untuk manusia sebenar sahaja. Ia turut menegaskan karya kreatif mesti berasal daripada pengalaman hidup, tenaga kerja dan kemahiran penulis lagu manusia dan bukannya dihasilkan oleh kod. Pendirian ini memastikan bahawa walaupun AI boleh meniru suara atau melodi, ia tidak boleh menuntut hak undang-undang atau ganjaran kewangan pencipta.
Garis panduan MACP ini selari dengan pandangan Pejabat Paten dan Cap Dagangan Amerika (USPTO) yang juga mengatakan sebarang karya janaan AI tidak boleh dipegang oleh sesiapa walaupun insan yang memasukkan prom kerana hak cipta hanya boleh diberikan kepada manusia.