OnePlus Dan Realme Dilaporkan Telah Bergabung Menjadi Satu
Amy Maizuraa
Sejak awal tahun ini, khabar angin mengenai kemungkinan OnePlus ditutup menjadi antara topik hangat yang diperkatakan. Walaupun pihak eksekutif syarikat cuba menafikan hakikatnya ramai pegawai kanan telah berundur dan operasi global semakin berkurangan sekali gus menimbulkan kebimbangan tentang masa depan syarikat tersebut.

Keadaan ini semakin mendapat perhatian apabila muncul laporan baharu yang mendakwa OnePlus sebenarnya tidak ditutup, sebaliknya sedang melalui perubahan besar dengan bergabung bersama jenama Oppo iaitu realme di bawah satu unit perniagaan baharu.
Dakwaan tersebut diperolehi melalui Digital Chat Station di Weibo serta laporan Android Authority yang menyatakan bahawa OnePlus dan realme telah menggabungkan bahagian utama operasi mereka.

Penstrukturan semula ini dikatakan melibatkan pasaran domestik dan global, walaupun sehingga kini tiada pengumuman rasmi dibuat oleh kedua-dua jenama. Melaluinya, operasi kedua-dua syarikat kini diletakkan di bawah sebuah unit sub-produk yang baru ditubuhkan. Unit tersebut diketuai oleh Presiden OnePlus yang bertanggungjawab mengawasi strategi produk bagi kedua-dua jenama serta melapor terus kepada Pete Lau. Sementara itu, bekas Naib Presiden realme, Wang Wei, telah dilantik sebagai Timbalan Pengurus Besar dalam unit sama dan turut melapor kepada Li Jie.

Selain pembangunan produk, penstrukturan semula ini turut menyatukan perkhidmatan pemasaran dan selepas jualan ke dalam satu unit sub-perniagaan berasingan. Unit tersebut diketuai oleh pengasas yang juga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif realme, Sky Li. Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran, Chase Xu pula bertanggungjawab menyelia operasi pemasaran serta perkhidmatan bagi produk OnePlus dan realme.
Setakat ini, baik OnePlus mahupun realme masih belum mengesahkan penggabungan ini secara rasmi. Oleh itu, segala butiran yang tular masih dianggap sebagai spekulasi semata-mata dan adalah lebih wajar menunggu pengumuman rasmi.
[sumber] Android Authority [/sumber]