OCBC Menafikan Laporan Data Pelanggan Mereka Tertiris Ke Web Gelap
Nazrin
Pagi ini kami telah melaporkan bahawa maklumat pelanggan dua bank di Malaysia, iaitu OCBC Bank dan UOB Bank telah ditiriskan oleh penggodam ke laman web gelap, yang termasuklah butiran emel, alamat, nombor telefon dan sebagainya.
Penggodam tersebut telah memperlihatkan data peribadi dan perniagaan para pelanggan bank-bank tersebut, dan setakat ini, OCBC Bank baru sahaja mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai insiden tersebut.

Menurut pihak OCBC Bank, pihak Information Security Office mereka, yang bertanggungjawab untuk keselamatan data syarikat dan pelanggan mereka telah menyelidik maklumat yang tertiris ini, dan mendapati bahawa semua data tersebut adalah palsu, dan bukanlah data pelanggan mereka.
Malah, kenyataan tersebut mengatakan bahawa data pelanggan OCBC bank masih selamat dan tidak digodam. Walaupun begitu, pasukan keselamatan data OCBC akan terus memerhati keadaan semasa untuk memastikan bahawa maklumat pelanggan dan bank tersebut kekal selamat.
Buat masa ini, pihak UOB Bank masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai perkara ini.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.