Pelanggan Google AI Di Malaysia Kini Terima YouTube Premium Percuma
Effi Saharudin
Langganan Google AI Pro sebelum ini menerima naik taraf storan awanan ke 5TB daripada 2TB tanpa bayaran tambahan. Pagi ini di Google I/O, Google memberikan satu lagi hadiah percuma kerana kini pelan YouTube Premium Lite juga disertakan sekali dengan langganan Google AI Pro dan Google AI Ultra pula menerima langganan YouTube Premium.

Berita baik ialah pelan baharu ini turut boleh dinikmati di Malaysia. YouTube Premium Lite baru sahaja dilancarkan di Malaysia pada 3 Mei lalu dengan bayaran RM12.90 sebulan. Dengan berkas yang ditawarkan, lebih banyak perkhidmatan Google boleh dilanggan sekaligus memberikan penjimatan perbelanjaan bulanan.
Menerusi YouTube Premium Lite, pelanggan boleh mengelakkan iklan di kebanyakan video, memainkan video di latar, YouTube Kids tanpa iklan, dan muat turun video untuk tontonan luar talian.
Di Malaysia Google AI Pro ditawarkan pada harga RM97.99 sebulan atau RM979.90 setahun. Bagi yang mahukan langganan YouTube Premium penuh, ia diberikan pula menerusi langganan Google AI Pro Ultra pada harga RM 429.90 sebulan bersama dengan storan awanan 20TB.