Google Search Dikemaskini Dengan Penekanan Carian AI dan Ejen AI Peribadi
Effi Saharudin
Google memulakan hidup sebagai syarikat enjin carian pada tahun 1998. Algoritma carian mereka lebih tepat memunculkan maklumat yang dicari menyebabkan Yahoo, Altavista, Bing, Ask Jeeves, Lycos, dan Infoseek semuanya menjadi tidak lagi kompetitif sehingga ada yang terkubur seperti Ask Jeeves beberapa minggu lalu. Di Google I/O, Google sekali lagi membawakan perubahan seismik kepada cara maklumat dicari, dab dipaparkan di pelayar web.

Menggunakan model terkini Gemini 3.5, Google mengatakan Search kini ialah menjadi enjin carian AI secara lebih menyeluruh. Kotak carian Search yang dahulunya kecil dan pendek kini menjadi kotak carian AI yang boleh memahami konteks serta menyokong soalan menggunakan bahasa lazim. Kotak yang sama menggunakan teknologi autocomplete memberikan saranan prom carian bagi mendapatkan jawapan paling tepat.
Jika dahulu anda perlu tahu apakah soalan yang ingin ditanya kepada Search, kini Search memberikan saranan bagaimana carian lebih terperinci boleh dilakukan dengan prom bukan lagi dengan query. AI Overviews dipaparkan secara prominen di atas dengan pengguna kemudian boleh meneruskan soalan atau perbualan topik di dalam AI Mode.
Dalam AI Mode peringatan boleh diberikan dan ini diintegrasikan ke dalam pelbagai lagi perkhidmatan Google lengkap dengan sokongan Personal Intelligence.

Ejen AI Search akan menggantikan Google Alerts. Hanya berikan parameter carian seperti “beri notifikasi bila Osmo Pocket 4 turun harga bawah RM2000 di Malaysia” dan ejen AI Search dikuasakan Gemini 3.5 akan berfungsi tanpa henti di latar. Apabila maklumat dijumpai, notifikasi masa nyata akan muncul pada skrin telefon.
Berdasarkan demo yang ditunjukkan di pentas Google I/O, ia memberikan masa depan gelap kepada penghasil kandungan dan pemilik laman web. Search tidak lagi memberikan pautan kepada laman anda tetapi rumusan maklumat terus dalam AI Overviews. Pemberi maklumat tidak menerima sebarang klik. Kesemua ciri yang diumumkan diberikan kepada semua pengguna global secara berperingkat hari ini.
Jika dahulu Yahoo, Altavista, Bing, Ask Jeeves, Lycos, dan Infoseek yang terkorban, kini laman web pula nyawanya sudah sampai di halkum menanti ditarik Izrail.