Jensen Huang Berkata NVIDIA Kini Terlalu Sibuk Untuk Membangunkan Konsol Mudah Alih
Effi Saharudin
Konsol mudah alih sedang popular dalam kalangan peminat PC yang ingin mengakses permainan di mana-mana sahaja. Steam Deck, Lenovo Legion, ASUS ROG Ally, MSI CLaw dan Acer Predator Go adalah antara konsol yang telah dilancarkan dengan cip AMD serta Intel. Di Computex, CEO NVIDIA Jensen Huang disoal sama ada syarikat berminat menghasilkan konsol mudah alih menggunakan RTX Spark.
Huang menjawab NVIDIA kini “sedang sibuk” mencipta semula pasaran PC dengan cip yang menggabungkan CPU Grace dan GPU Blackwell ini. Beliau menambah jika pengeluar lain ingin melakukannya, NVIDIA akan bekerjasama dengan mereka.
Sebelum ini beliau dipetik berkata PC menggunakan RTX Spark akan membawakan perubahan besar dalam dunia PC seperti perubahan daripada telefon mudah alih ke telefon pintar hampir 20 tahun lalu.
NVIDIA pernah menawarkan konsol mudah alih menerusi NVIDIA Shield Portable pada tahun 2013 dikuasakan oleh cip NVIDIA Tegra. Mereka tidak lagi menawarkan konsol sendiri tetapi membekalkan cip NVIDIA Tegra T239 untuk Nintendo Switch 2. Tegra T239 dilengkapi lapan teras cip Arm Cortex A78C dan digabungkan dengan GPU NVIDIA Ampere (NVIDIA GeForce RTX 3000) yang mempunyai 1536 teras CUDA.
Setakat ini hanya ASUS mengesahkan dua model komputer riba ProArt dilengkapi RTX Spark akan memasuki pasaran Malaysia. Dengan kuasa memproses yang tinggi, komputer riba ini pasti akan dijual pada harga yang sangat premium.
Sumber – PC Gamer