CEO Mengesahkan Xbox Bermasalah Dengan Pendapatan Berkurangan dan Perlu Tetapan Semula
Effi Saharudin
Sejak mengambil alih tugas sebagai CEO Xbox, Asha Sharma melakukan beberapa keputusan popular seperti langganan Game Pass dikurangkan, mengembalikan permainan eksklusif Xbox dan menetapkan hala tuju baharu konsol Microsoft. Beberapa hari selepas mengumumkan pelbagai permainan baharu di Xbox Showcase, beliau kini mengumumkan berita buruk yang perlu didengari kakitangan.
Sharma mengeluarkan memo mengatakan Xbox sebagai divisyen yang rosak, dibebani pelaburan gagal dan strategi bercelaru. Beliau menegaskan situasi ini tidak boleh diteruskan memberikan gambaran pembuangan pekerja pula akan dilakukan dalam masa terdekat.

Situasi di Xbox adalah agak buruk dengan margin keuntungan fiskal tahun ini hanya 3% yang sangat rendah untuk divisyen sebesar Xbox. Ini berlaku walaupun Xbox telah membelanjakan $20 bilion untuk studio dalam tempoh 5 tahun yang tidak termasuk pembelian Activision Blizzard King bernilai $69 bilion,
Sungguhpun berbelanja besar, pendapatan tahunan merosot hampir $500 juta dalam tempoh 5 tahun. Keuntungan akan terus merosot apabila mengambil kira kos menghasilkan konsol meningkat disebabkan krisis RAM .
Sistem studio Xbox turut dianggap terlalu besar dengan terlalu banyak studio dengan pembiayaan tidak mencukupi untuk bersaing. Infrastruktur platform pula terlalu kompleks dan tidak bersedia untuk persaingan masa depan. Oleh itu tetapan semula akan dilakukan di Xbox untuk menyelesaikan semua isu ini.
Apa yang berlaku di Xbox tidak unik hanya di Microsoft. Ia adalah masalah keseluruhan industri yang berhadapan dengan kos pembangunan yang tinggi, tempoh telalu lama untuk menghasilkan permainan dan kos sara hidup menyebabkan gamer mengurangkan pembelian permainan video baharu. Sony dan Ubisoft yang mengalami pengurangan pendapatan telah menutup beberapa studio serta membuang pekerja.