Tiga Dron Anka THS Menjadi Aset Terkini TUDM Dengan Kemampuan Terbang Lebih 24 Jam
Effi Saharudin
Tiga Dron Anka THS secara rasmi menjadi aset terkini Tentera Udara Diraja Malaysia pada Selasa lalu dengan majlis penyerahan dilakukan di Pangkalan Udara Labuan dihadiri oleh Menteri Pertahanan Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin. Ketiga-tiga dron dipesan oleh TUDM pada 25 Mei 2023 ketika acara pada harga RM 423.8 juta.

Harga termasuk tiga dron, pusat kawalan dron, latihan krew di Turki serta sokongan logistik oleh Tukish Aerospace Industries (TAI) yang mengeluarkan dron. Anka THS yang digunakan Malaysia diubahsuai dengan sistem radar yang berbeza dengan yang digunakan oleh pengguna lain dengan ia berasaskan model Anka S yang telah dikeluarkan TAI sejak 2010.
Selain itu, rekaan sayap Anka THS juga dilaporkan telah diubahsuai mengikut konfigurasi TUDM. Ini menjadi sebab mengapa dron hanya tiba di Labuan pada Januari tahun ini dengan penerbangan pertama di ruang angkasa Malaysia dilakukan pada 3 April lalu. 6 juruterbang dan 6 juruteknik menerima sayap penerbangan mereka di Turki pada Disember tahun lalu selepas menjalani latihan selama 5 bulan.
Anka THS ialah dron Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) dari jenis Altitud Sederhana Tahan Lama (MALE) yang boleh terbang melebihi 24 jam pada ketinggian sekitar 30,000 kaki. Menerusi sokongan SATCOM, Anka THS boleh melakukan misi melebihi ufuk dengan bantuan satelit berbanding hanya 100 batu daripada pusat kawalan menggunakan isyarat radio.

Sebelum membeli Anka THS, Malaysia menerima 12 dron Insitu ScanEagle di bawah program Maritime Security Initiative, Amerika Syarikat bagi memantau perairan. ScanEagle bersaiz kecil bagi membolehkan ia dilancarkan daripada kapal milik TLDM.
TUDM membeli Anka THS bagi tujuan Perisikan, Pengawasan dan Peninjauan (ISR) kawasan perairan Malaysia khususnya di Malaysia Timur. Sebelum ini pesawat pejuang dan peninjau dihantar untuk melakukan misi yang sama tetapi ini menelan kos tinggi. Penggunaan UAS bukan sahaja lebih murah tetapi misi boleh dilakukan lebih lama berbanding pesawat biasa.

Walaupun dron Anka S direka untuk membawa senjata seperti roket, bom mikro, dan peluru berpandu anti-kereta kebal dipandu laser, Anka THS TUDM tidak dilengkapi senjata bagi menunjukkan Malaysia hanya ingin menggunakannya sebagai platform ISR dan bukan sebagai senjata.
Di majlis penyerahan yang sama, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan kerajaan akan memesan tiga lagi Anka THS bagi menggandakan kemampuan TUDM di bawah program perolehan fasa kedua. Dengan enam dron, keseluruhan kawasan Semenanjung dan Malaysia timur boleh dipantau sepanjang masa.