Microsoft Akan Membuang Ratusan Pekerja Minggu Depan – Xbox Paling Terjejas
Effi Saharudin
Microsoft akan melakukan satu lagi pusingan pembuangan tenaga kerja dengan kali ini sebanyak 2.5% akan dihentikan di bawah langkah mengurangkan kos menurut laporan Business Insider. Syarikat gergasi perisian ini mempunyai lebih 228,000 pekerja dan ini bermakna ratusan kakitangan hilang mata pencarian serta merta. Bahagian yang dijangka terjejas paling teruk ialah perniagaan Xbox yang mengalami pengurangan pendapatan mendadak.

Hari ini Microsoft dilaporkan ingin menutup Arkane Studios serta membatalkan pembangunan permainan Marvel’s Blade yang diumumkan sebelum ini. Studio ditutup sekiranya ia tidak berjaya dijual. Sekiranya berlaku, ia melabuhkan tirai studio yang membangunkan permainan Dishonored dan Redfall ini.
Selain Arkane, Microsoft juga mungkin menutup studio Double Fine yang membangunkan Psychonauts, Compulsion Games yang membangunkan South of Midnight, dan Ninja Theory yang membangunkan siri Hellblade jika tiada pembeli. Pengurangan pendapatan mendadak Xbox serta kos meningkat disebabkan krisis RAM menjadi pemangkin pengurangan kos mendadak perlu dilakukan di bawah CEO baharu Asha Sharma.
Pembuangan pekerja ini turut mendatangkan kesan kepada IO Interactive walaupun mereka tidak di bawah payung Xbox. IO Interactive terpaksa membuang sebilangan pekerja hari ini selepas Xbox menarik dari daripada Project Fantasy yang sepatutnya dibangunkan bersama. Project Fantasy masih akan diteruskan tanpa penglibatan Microsoft.