Pavel Durov Dakwa Telegram Menjadi Mangsa Peras Ugut Menyebabkan Aplikasi Dibuang App Store
Semalam Telegram dibuang daripada App Store selama sekitar sejam dengan Apple mengatakan tindakan diambil selepas menerima laporan kandungan seksual kanak-kanak (CSAM) muncul dalam aplikasi. Pihak Telegram segera membuang kandungan tersebut dan akaun pengguna yang melakukannya diharamkan.

Hari ini CEO Telegram, Pavel Durov, mendakwa insiden itu berpunca daripada seorang pemeras ugut yang sengaja memuat naik kandungan terlarang untuk memaksa pemilik komuniti membayar wang tebusan. Kandungan CSAM yang dimuat naik dipercayai dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) generatif.
Pemeras ugut menyunting kandungan lama yang membolehkan ia tidak dapat dilihat oleh ahli kumpulan dan pasukan moderasi kandungan Telegram. Durov menegaskan ini bukan masalah sistemik, dan adalah kes terpencil. Beliau turut menambah Apple tidak menghubungi Telegram terlebih dahulu dan oleh itu telah “dimanipulasi untuk bertindak keterlaluan”.
Ini bukan insiden pertama Telegram dibuang daripada App Store. Pada tahun 2018 ia dibuang daripada App Store kerana kewujudan kandungan terlarang imej lucah, CSAM dan filem cetak rompak. Di India aplikasi dihalang seketika selepas digunakan untuk menyebarkan kertas soalan peperiksaan NEET yang menyebabkan pelajar merusuh bulan lalu. Sementara itu, Rusia pula menyekat Telegram dan memburu Durov disebabkan platform didakwa digunakan oleh pengganas Ukraine.