Ulasan Samsung Galaxy Z Flip8 – Peranti Lipat Kecil Terakhir?
Dengan harga mencapai RM6,000, Samsung Galaxy Z Flip8 hadir sebagai telefon lipat katup premium dengan rekaan lebih kemas serta engsel yang dipertingkatkan untuk memberikan pengalaman melipat lebih meyakinkan berbanding generasi terdahulu. Namun, tiada peningkatan besar pada bateri atau sistem kamera menjadikan persoalan sama ada Flip8 berbaloi dimiliki atau sekadar menjadi satu lagi evolusi dalam siri Flip sebelum Samsung beralih fokus kepada model baharu seperti Ultra, Passport dan Trifold seperti yang hangat diperkatakan? Ini ulasan penuh untuk Samsung Galaxy Z Flip8.

Spesifikasi Ringkas
| Samsung Galaxy Z Flip8 | |
|---|---|
| Skrin | Luar – 4.1″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz Dalam – 6.9″ SAMOLED 120Hz Vision booster HDR10+ |
| Pemproses | Exynos 2600 (2 nm) |
| Cip | 1 x 3.80GHz C1-Ultra 3 x 3.25GHz C1-Pro 6 x 2.75GHz C1-Pro |
| Cip Grafik | Xclipse 960 |
| RAM | 12GB RAM LPDDR5x |
| Muatan Dalaman | 256/512GB UFS 4.0 |
| Kamera Utama | 50MP F/1.8, OIS (sudut lebar) 12MP F/2.2 (ultra lebar) |
| Kamera Swafoto | 10MP F/2.2 |
| Bateri | 4300mAh 25W brwayar 15W nirwayar |
| SIM/Telefoni | 5G |
| NFC | Ya |
| Bicu Audio | Tiada |
| Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari sisi |
| Harga Jualan | RM 6,199 (512GB) RM 5,399 (256GB) |
Pengalaman Penggunaan
Saya tidak menafikan bahawa telefon jenis katup lebih menarik perhatian berbanding model lipat buku. Reka bentuk kompak ini bukan sahaja mudah digunakan malah memberi pengalaman penggunaan yang lebih praktikal, khususnya dalam aspek kamera sama ada untuk mengambil gambar atau melakukan panggilan video. Sebagai individu yang sering mengisi masa dengan panggilan video, saya mendapati bentuk telefon ini lebih serasi dengan gaya hidup harian.

Ini merupakan kali ketiga saya berpeluang menguji telefon lipat jenis katup. Peranti pertama yang saya cuba ialah Vivo X Flip, diikuti OPPO Find N3 dan kali ini giliran Samsung Galaxy Z Flip8. Berdasarkan pengalaman sendiri, penggunaan Galaxy Z Flip8 terasa lebih memuaskan berbanding percubaan awal saya dahulu. Penilaian ini tidak bermaksud kedua-dua peranti terdahulu kurang baik, sebaliknya setiap jenama hadir dengan pendekatan dan kekuatan tersendiri dalam membentuk identiti telefon lipat mereka.
Saya akui, pada peringkat awal saya mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan kategori peranti lipat jenis katup. Namun dengan pengalaman yang semakin bertambah, saya kini lebih memahami cara penggunaan yang praktikal serta kelebihan sebenar reka bentuk ini. Keserasian yang ditawarkan menjadikan pengalaman menggunakan Galaxy Z Flip8 terasa lebih matang dan meyakinkan berbanding sebelum ini.

Sejujurnya, ulasan ini tidak akan membandingkan Galaxy Z Flip8 dengan prestasi model terdahulu kerana saya sendiri belum pernah menggunakan mana-mana Flip daripada Samsung secara mendalam sebelum ini. Pengalaman saya sebelum ini sekadar memegang dan meninjau bentuknya sahaja tanpa benar-benar menilai penggunaan harian.
Justeru, pandangan kali ini lebih tertumpu kepada pengalaman langsung bersama Galaxy Z Flip8 yang memberi gambaran lebih jelas tentang kelebihan dan kekurangan sebenar peranti lipat jenis katup ini. Jika ada perbandingan yang dibuat, ia hanya berpandukan pemerhatian rujukan spesifikasi beberapa model Flip sebelum ini untuk membantu saya memahami ciri yang telah berubah dan elemen yang masih dikekalkan.
Dari sudut reka bentuk, saya berpendapat Galaxy Z Flip8 tidak banyak berubah berbanding model sebelumnya. Samsung sendiri turut menegaskan bahawa apa yang dibawa kali ini lebih kepada penambahbaikan kecil, bukannya satu pembaharuan menyeluruh. Fokus utama mereka adalah memastikan penggunaan terasa lebih selesa serta memberikan pengalaman harian yang lebih meyakinkan.

Sepanjang hampir dua minggu menggunakan Galaxy Z Flip8 sebagai telefon utama, pengalaman yang ditawarkan terasa konsisten dan meyakinkan. Berat serta ketebalannya tidak menimbulkan masalah kerana tubuh peranti terasa ringan, mudah digenggam dan selesa disimpan dalam poket. Engselnya kukuh, lipatan skrin kelihatan kemas dan keseluruhan binaan menunjukkan kualiti yang baik.
Proses membuka dan menutup juga berjalan lancar tanpa isu terbuka sendiri. Apabila ditutup, skrin mampu merapat dengan baik tanpa meninggalkan ruang terbuka sekaligus menambah rasa premium pada reka bentuknya. Sepanjang tempoh penggunaan, skrin turut menunjukkan tahap ketahanan yang memuaskan kerana masih bebas daripada calar halus.

Namun begitu, skrin dalam masih menggunakan bahan plastik khas yang direka untuk dilipat dan sememangnya lebih lembut berbanding kaca biasa, maka ia tetap memerlukan penjagaan yang rapi. Satu perkara yang nyata ialah kesan lipatan pada skrin masih kelihatan agak ketara. Walaupun Samsung telah menambah baik engsel dan menjadikan lipatan lebih kemas, pengalaman harian menunjukkan garis lipatan itu tetap dapat dilihat khususnya apabila skrin dipandang dari sudut tertentu atau ketika cahaya memantul. Malah, apabila jari menyentuh bahagian tengah skrin, kesan lipatan tersebut juga dapat dirasai dengan jelas.
Jika difikir secara logik, keadaan ini berlaku kerana skrin lipat perlu menampung bukaan dan lipatan berulang. Walaupun teknologi engsel dan bahan skrin telah banyak ditambah baik, kesan lipatan masih kelihatan kerana ia sebahagian daripada sifat reka bentuk telefon lipat. Berdasarkan pengalaman penggunaan, lipatan ini lebih wajar dianggap sebagai ciri semula jadi peranti lipat, bukan kelemahan besar. Ia hadir sebagai kompromi yang perlu diterima dalam penggunaan harian, seiring dengan inovasi yang cuba membawa keseimbangan antara ketahanan dan kegunaan.

Dari segi saiz dan teknologi skrin, Galaxy Z Flip8 pada asasnya hampir sama dengan Flip7. Bezanya, kepadatan piksel yang lebih tinggi menjadikan paparan sedikit lebih tajam. Namun bagi kebanyakan pengguna, perbezaan ini tidak begitu penting kerana panel AMOLED Samsung sudah pun terkenal dengan warna yang hidup, kontras mendalam dan kecerahan yang tinggi. Sepanjang penggunaan, paparan terasa meyakinkan dengan paparan yang jelas walaupun di luar bangunan dan tiada isu skrin tiba-tiba menjadi malap.
Skrin luar Galaxy Z Flip8 hadir dengan saiz lebih besar serta sokongan untuk pelbagai widget dan aplikasi mini, menjadikannya cukup berguna untuk tugasan ringkas harian. Saya boleh menyemak notifikasi, membalas mesej pendek, mengawal muzik atau mengambil gambar dengan kamera utama tanpa perlu membuka lipatan. Namun begitu, tidak semua aplikasi berfungsi sepenuhnya di skrin luar.
Spotify misalnya boleh dikawal dengan baik untuk main, jeda atau langkau lagu, malah paparan penuh kelihatan menarik meskipun sedikit terhalang oleh dua bulatan kamera. Namun untuk penggunaan penuh, saya masih perlu membuka skrin utama. Berbeza pula dengan Maps yang memperlihatkan bar hitam agak besar, tetapi masih boleh diterima kerana tidak begitu menjejaskan fungsi asalnya.

Keadaan ini memperlihatkan bagaimana Samsung seakan sengaja mengehadkan fungsi skrin luar agar ia kekal sebagai paparan ringkas untuk penggunaan cepat, bukan pengganti penuh skrin utama. Dari sudut praktikal, skrin luar ini memang memudahkan akses pantas, tetapi untuk kerja berat, multitasking atau penggunaan aplikasi penuh, skrin utama masih menjadi pilihan.
Susunan butang dan port pada Flip8 memang praktikal dengan kesemuanya mudah dicapai sesuai dengan konsep telefon boleh katup. Butang kuasa yang juga berfungsi sebagai pengimbas cap jari serta kawalan bunyi di sebelah kanan terasa responsif, manakala port pengecasan dan pembesar suara di bahagian bawah disusun kemas tanpa mengelirukan pengguna.

Galaxy Z Flip8 hadir dengan sistem pembesar suara stereo. Satu terletak di bahagian bawah berhampiran port USB‑C, manakala satu lagi berada di bahagian atas bersama pembesar suara panggilan. Bunyi dari unit bawah biasanya lebih lantang. Namun, reka bentuk lipat yang kompak mengehadkan ruang audio sehingga bass dan keseimbangan bunyi kurang ideal. Meskipun begitu, arah bunyi tetap jelas dan pengalaman mendengar terasa lebih luas berbanding hanya menggunakan satu pembesar suara.

Sewaktu saya memainkan lagu Purnama oleh Undercover Dream Club ft. Leaism, petikan gitar yang halus kedengaran begitu jernih dan kekal bersih walaupun kelantangan ditolak ke tahap maksimum. Vokal utama hadir dengan kehangatan semula jadi yang membuatkan persembahan terasa hidup dan dekat. Pembesar suara bawah memberi dentuman bass sederhana yang cukup untuk menggerakkan rentak, sementra itu pembesar suara atas menambah lapisan butiran pada bunyi tinggi. Apabila kedua-duanya bergabung, kesan stereo terasa lebih luas terutama bila telefon dipegang secara melintang.
Bass mungkin kurang bertenaga untuk muzik rock moden, tetapi bunyi tinggi yang jelas dan vokal yang kuat membuatkan lagu Purnama tetap enak didengar. Secara keseluruhan, Galaxy Z Flip8 lebih sesuai untuk muzik indie pop atau balada kerana keseimbangan bunyi tinggi dan pertengahan memberikan pengalaman mendengar yang memuaskan.

Slot SIM Galaxy Z Flip8 terletak di sisi kiri dengan sokongan satu nano SIM fizikal serta sehingga dua profil eSIM. Pengguna boleh memilih kombinasi satu nano SIM bersama satu eSIM atau menggunakan dua eSIM serentak, bergantung kepada keperluan. Peranti ini tidak menyokong penggunaan dua kad SIM fizikal pada masa yang sama. Dari segi ketahanan, Galaxy Z Flip8 hadir dengan penarafan IP48, yang menawarkan perlindungan asas terhadap habuk dan mampu bertahan dalam rendaman air sehingga kedalaman 1.5-meter selama 30 minit.
Perkakasan Dan Perisian Dalaman
Galaxy Z Flip8 menggunakan cip Exynos 2600 berasaskan proses 2nm yang direka untuk menjimatkan kuasa sambil mengekalkan prestasi. Peranti ini turut dilengkapi dengan 12GB RAM dan storan 256GB, yang biasanya mencukupi untuk kebanyakan pengguna. Bagi mereka yang banyak merakam video atau menyimpan fail media, pilihan 512GB menawarkan ruang tambahan yang lebih selesa.

Pengalaman penggunaan Galaxy Z Flip8 secara keseluruhan terasa lancar. Tatalan pantas, animasi responsif, dan aplikasi dibuka tanpa lengah masa menjadikan penggunaan seharian lebih memuaskan. Namun, peranti ini cenderung menjadi panas secara mendadak, khususnya di bahagian skrin luar selepas kemas kini One UI. Keadaan ini lebih ketara ketika melakukan panggilan video, bermain permainan untuk beberapa sesi, atau menjalankan banyak tugas serentak.
- Oppo Find X9 Ultra – Snapdragon 8 Elite Gen 5
- Samsung Galaxy S26 Ultra – Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy
- Xiaomi 17T Pro – Dimensity 9500
- Honor Magic8 Pro – Snapdragon 8 Elite Gen 5
- Vivo X300 Pro – Dimensity 9500
- Apple iPhone 17 Pro – A19 Pro
Antutu 3D
| Peranti | Skor |
| Samsung Galaxy Z Flip8 | 2,463,934 |
| Vivo X300 Ultra | 3,522,379 |
| Oppo Find X9 Ultra | 4,120,640 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 3,136,285 |
| Xiaomi 17T Pro | 3,530,586 |
| Honor Magic8 Pro | 3,424,247 |
| Vivo X300 Pro | 3,507,869 |
| Apple iPhone 17 Pro | 2,634,345 |
Geekbench 6
| Peranti | Satu Teras | Multi Teras |
| Samsung Galaxy Z Flip8 | 1923 | 5091 |
| Vivo X300 Ultra | 3449 | 9547 |
| Oppo Find X9 Ultra | 3505 | 10277 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 3651 | 10819 |
| Xiaomi 17T Pro | 3158 | 9766 |
| Honor Magic8 Pro | 3587 | 9853 |
| Vivo X300 Pro | 3507 | 10469 |
| Apple iPhone 17 Pro | 3560 | 8835 |
3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| Samsung Galaxy Z Flip8 | 4099 |
| Vivo X300 Ultra | 6204 |
| Oppo Find X9 Ultra | 7391 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 7375 |
| Xiaomi 17T Pro | 6939 |
| Honor Magic8 Pro | 7659 |
| Vivo X300 Pro | 7075 |
| Apple iPhone 17 Pro | 5873 |
Cip Exynos 2600 pada asasnya direka untuk meningkatkan kecekapan tenaga. Namun dalam penggunaan sebenar, ia masih menghasilkan haba tinggi apabila berdepan beban kerja berat. Panas mendadak ini menimbulkan persoalan tentang kemampuan cip baharu tersebut mengurus prestasi dan haba secara seimbang dalam reka bentuk lipat yang kompak.

Samsung Galaxy Z Flip8 hadir sebagai antara peranti terawal yang dilengkapi dengan One UI 9 berasaskan Android 17 sekali gus menjadikannya pelopor dalam pengalaman perisian generasi baharu. Lebih meyakinkan, Samsung turut memberikan komitmen sokongan sehingga tujuh tahun bagi kemaskini sistem dan keselamatan. Langkah ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Flip8 sebagai telefon premium malah memberi jaminan kepada pengguna bahawa peranti mereka akan kekal relevan.


Pengalaman menggunakan perisian ini terasa matang kerana ia bukan sekadar memudahkan, tetapi juga memberi keseimbangan antara prestasi dan privasi. Antaramuka kelihatan kemas dengan ikon serta palet warna yang seragam. Quick Settings mudah disesuaikan mengikut keperluan harian, manakala pemain muzik di skrin kunci menampilkan animasi dan warna segar yang menjadikan pengalaman mendengar muzik lebih menyeronokkan.
FlexWindow baharu memberi pengalaman lebih berguna kerana saya boleh mengakses Tetapan Pantas, menyusun aplikasi dan widget, serta menggunakan AI seperti Gemini Live. Ciri Now Brief dan Nudge membantu saya mengurus emel, mesej, dan kalendar dengan lebih teratur. Taskbar+ pula memudahkan multitugas kerana saya boleh membuka dua aplikasi serentak dengan sekali sentuh. Fungsi ini sangat berguna apabila digunakan pada skrin lipat.

Dari segi keselamatan, Privacy Dashboard 2.0 memaparkan bila kamera, mikrofon, atau lokasi digunakan. Sistem anti‑theft lock pula akan mengunci peranti secara automatik sekiranya PIN dimasukkan salah beberapa kali. Saya sendiri tidak berani mencuba kerana pernah melihat contoh di internet yang menunjukkan bahawa apabila peranti terkunci, pengguna perlu ke pusat servis untuk menetapkan semula telefon.


Saya turut berpeluang mencuba Video Call Effects yang menawarkan pilihan seperti Face Smoothening untuk melembutkan penampilan, Color Tone untuk menyesuaikan warna kulit, Auto Framing supaya wajah sentiasa berada di tengah, serta Custom Background semasa panggilan video. Semua ciri ini menjadikan komunikasi terasa lebih peribadi dan mesra. Kesemua fungsi ini boleh diakses ketika membuat panggilan video melalui tetapan di panel pemberitahuan atau diubah suai dalam tetapan khususnya. Pada pandangan saya, ia mudah digunakan.
Lebih menarik lagi, saya turut mencuba fungsi AI Create. Dengan hanya menaip arahan ringkas, saya dapat menukar latar gambar, menambah objek, atau memberikan gaya baharu tanpa perlu mahir menyunting secara manual. Tidak ketinggalan juga fungsi FanCam yang mampu menjejak subjek dalam video kemudiannya menyesuaikan bingkai secara automatik. Ia berfungsi seakan‑akan keyframe yang sentiasa memastikan fokus tepat namun hasil akhirnya masih memerlukan sedikit kompromi kerana ketajaman dan perincian akan berkurangan.

Kamera Dan Kualiti Gambar
Pada asasnya, Galaxy Z Flip8 tidak membawa perubahan besar dari segi perkakasan kamera kerana IA masih mengekalkan konfigurasi sama seperti generasi sebelumnya dengan kamera utama 50 MP, kamera ultra lebar 12 MP, dan kamera swafoto 10 MP. Perbezaan ketara hanya hadir melalui perisian kamera berasaskan AI yang memberikan lebih banyak kemudahan khususnya untuk tujuan kreatif.

Misalnya, fungsi FlexCam membolehkan rakaman dilakukan secara bebas tangan dengan melipat telefon pada sudut tertentu, manakala teknologi ProVisual Engine meningkatkan pemprosesan imej untuk menghasilkan warna kulit yang lebih natural, perincian lebih tajam, dan kesan bokeh lebih kemas. Teknologi ini khusus digunakan dalam mod Beauty Camera. Seterusnya, Super Steady Video menambah kestabilan rakaman dengan sokongan Horizontal Lock yang menjadikan video lebih stabil walaupun direkod dalam posisi tidak tetap, iaitu ciri yang pernah dipopularkan oleh Samsung pada siri Galaxy S26 sebelum ini. Dual Preview pula membolehkan subjek melihat diri mereka di skrin penutup semasa gambar diambil, manakala Stereo Bokeh Portrait menggunakan AI untuk menghasilkan kesan kedalaman yang lebih semula jadi.

Sepanjang pengalaman saya menggunakan peranti ini, prestasinya menunjukkan keseimbangan antara kemampuan teknikal dan kegunaan harian. Pada jarak fokus 1x dan 4x dengan resolusi 50MP, hasil gambar memuaskan kerana warna kelihatan semula jadi, ketajaman jelas dan perincian konsisten. Namun apabila saya mencuba zum melebihi 4x, kualiti gambar mula menurun dengan ketara. Ketajaman berkurangan dan perincian semakin hilang khususnya pada mod 12MP. Dari situ saya mendapati penggunaan 50MP adalah pilihan paling sesuai untuk memastikan hasil yang stabil.








Rakaman waktu malam pula sederhana. Kamera masih belum berjaya mengawal pencahayaan dengan baik. Apabila keadaan cahaya kurang, hingar mudah muncul dan menjejaskan kualiti keseluruhan. Walaupun boleh digunakan, kualiti gambar nyata terhad apabila cahaya tidak mencukupi.










Dalam mod potret, pengalaman saya bercampur antara kepuasan dan sedikit kekurangan. Pengecaman subjek kadang kala tidak konsisten, namun pemisahan tepi masih kelihatan kemas tanpa cacat yang ketara. Tona kulit pula tampak semula jadi tanpa kesan kecantikan berlebihan, sementara kesan kabur latar atau bokeh yang dihasilkan cukup cantik dan menyenangkan. Meskipun begitu, pilihan jarak fokus agak terhad sehingga sudut rakaman yang boleh digunakan tidak banyak.






Dari segi prestasi keseluruhan, terdapat sedikit lengah masa selepas gambar diambil kerana pascaproses. Fokus automatik berfungsi dengan baik, khususnya pada resolusi 50MP dengan jarak fokus 1x dan 4x. Namun saya perasan skrin luar cepat panas apabila kamera digunakan terlalu lama dan keadaan ini boleh menjejaskan keselesaan penggunaan harian.
Ketahanan Bateri
Sepanjang penggunaan, saya mendapati ketahanan bateri Galaxy Z Flip8 menunjukkan prestasi yang konsisten walaupun tahap penggunaan berbeza. Dengan kapasiti sederhana 4300 mAh, telefon ini memberi gambaran jelas tentang bagaimana ia berfungsi dalam rutin harian sebenar.
Dalam satu sesi selepas dicas penuh, telefon bertahan selama 16 jam 33 minit dengan SOT 5 jam 29 minit , baki bateri tinggal 4%. Aplikasi dominan ialah WhatsApp, diikuti panggilan video dan kamera. Dalam sesi lain, penggunaan mencapai 14 jam 11 minit dengan baki 6%, manakala penggunaan lebih berat selama 9 jam menurunkan baki kepada 11%. Sesi santai selama 4 jam 35 minit pula meninggalkan baki 38% dengan jangkaan ketahanan lebih sehari. Corak keseluruhan menunjukkan aplikasi pemesejan dan media sosial khususnya WhatsApp serta panggilan video yang menjadi penyumbang utama kepada penggunaan bateri.
Apa yang dapat saya simpulkan ialah bateri 4300 mAh pada Galaxy Z Flip8 mampu bertahan antara 9 hingga 16 jam bergantung pada corak penggunaan. Dengan purata sekitar 5 jam SOT, prestasi ini boleh dianggap memuaskan untuk sebuah telefon lipat premium. Walaupun kapasiti baterinya sederhana, ia masih mampu menampung penggunaan seharian terutama apabila penggunaan lebih terkawal.
Apa Ada Dalam Kotak Samsung Galaxy Z Flip8?
Berikut kandungan yang disertakan bersama unit:
- 1 × Samsung Galaxy Z Flip8.
- 1 × Kabel USB-C ke USB-C.
- 1 × Manual pengguna.
- 1 × Pin SIM.
Kesimpulan
Kesimpulannya, Galaxy Z Flip8 hadir sebagai kesinambungan yang kukuh tetapi bukan revolusi yang menyeluruh. Ia mengekalkan banyak ciri daripada beberapa generasi terdahulu, sekali gus menjadikan peningkatan harga yang dibuat ketika ini sukar untuk diterima oleh pengguna Flip7 atau Flip6. Harga yang meningkat menjadikan nilainya kurang meyakinkan, terutama bagi pengguna Flip7 yang sudah merasai pengalaman hampir sama.

Meskpun begitu, Galaxy Flip8 masih menawarkan reka bentuk premium, paparan yang baik, bateri yang tahan lama, kamera yang baik, serta prestasi pantas yang memastikan penggunaan harian lancar. Namun, pengguna mungkin perlu bersabar dengan isu pemanasan yang sesekali muncul ketika penggunaan berat atau berterusan. Ringkasnya, Flip8 ialah telefon lipat berkualiti untuk pembeli baharu, tetapi bagi pengguna sedia ada, Flip7 atau Flip6 sudah cukup mencukupi tanpa perlu menaik taraf terlebih dahulu.

Apa yang lebih menarik ialah persoalan tentang hala tuju segmen telefon boleh katup. Jika benar Flip8 merupakan generasi terakhir, maka ia menandakan berakhirnya sebuah era yang pernah mencipta fenomena unik dalam dunia telefon pintar. Kehadiran Fold8 dengan konsep skrin lebih lebar seakan memberi isyarat bahawa Samsung mahu mengalihkan fokus kepada format lipat yang lebih mudah digunakan. Dalam masa sama, pesaing seperti Vivo, Honor, dan Motorola tidak pernah menawarkan peranti lipat secara rasmi di pasaran tempatan. Huawei pula semakin menyepi dalam segmen ini sejak kebelakangan ini. Oppo dilihat berundur daripada segmen ini selepas percubaan dengan Find N3, sekali gus menjadikan dominasi Samsung hampir mutlak dalam segmen ini.
Cuma apa yang boleh dikatakan di sini ialah Galaxy Z Flip8 bukan sekadar sebuah telefon, tetapi simbol kepada fasa peralihan industri. Sama ada ia generasi terakhir atau tidak, Galaxy Z Flip8 akan dikenang sebagai penutup tirai kepada segmen lipat kompak yang pernah menjadi ikonik. Jika benar ia berakhir di sini, maka ia adalah noktah yang matang, menutup bab dengan penuh gaya sebelum dunia telefon pintar bergerak ke arah bentuk lipat baharu yang lebih besar.
Kelebihan
- Reka bentuk premium dan bergaya.
- Paparan jelas dan berkualiti.
- Prestasi laju untuk kegunaan harian.
- Bateri tahan seharian.
- Kamera memuaskan.
Kekurangan
- Harga agak tinggi.
- Ada isu panas bila guna lama/berat.
- Audio biasa sahaja.
- Peningkatan kecil berbanding Flip7/Flip6.
