Ray-Ban Meta (Gen 3) dan Meta Glasses Edisi Lisa Dilancarkan – Bateri Lebih Tahan Lama
Effi Saharudin
Ray-Ban Meta (Gen 3) baharu dan Meta Glasses edisi khas Lisa kumpulan Blackpink juga diumumkan pagi ini bersama dengan Ray-Ban Meta Audio tanpa kamera. Ray-Ban Meta (Gen 3) ditawarkan dalam 27 kombinasi warna, lensa dan rekaan bingkai iaitu Ray-Ban Aviator, Zena, dan Wayfarer.

Edisi baharu ini lebih nipis, lebih selepas dipakai, mempunyai hayat bateri lebih panjang dan butang baharu yang boleh diperibadikan bagi mengakses Meta AI. Seperti pada Ray-Ban Meta Audio, akses kepada model kecerdasan buatan (AI) Muse juga akhirnya diberikan.

Hayat bateri kini ialah sehingga 9 jam dengan sekali caj berbanding 8 jam pada Gen 2 dan 4 jam pada Gen 1. Sistem enam mikrofon baharu menurut meta boleh menapis 90% hingar persekitaran apabila melakukan panggilan suara. Kamera 12MP yang digunakan pula boleh merakam gambar dan video pada resolusi 3K. Meta berkata menjelang hujung tahun ini, rakaman audio spatial Dolby Atmos turut boleh dilakukan.
Meta Glasses pula menerima dua rekaan bingkai baharu Capri dan Nova. Sebelum ini ditawarkan dalam rekaan Adventurer dan Fury. Selain itu dua rekaan Meta Glasses edisi terhad selebriti Kylie Jenner dan Lisa Blackpink turut diumumkan. Meta Adventurer LISA Edition dan Meta Capri LISA Edition hadir dengan bukan sahaja rekaan bingkai tetapi juga bekas simpanan yang unik.

Ray-Ban Meta (Gen 3) dijual pada harga bermula $449 (~RM 1837) sepasang. Meta Glasses by Kylie Jenner, Meta Adventurer LISA Edition dan Meta Capri LISA Edition pula pada harga $399 (~RM 1632) sepasang.
Dengan pelancaran hari ini, Meta turut mengesahkan Oakley Meta, dan Ray-Ban Meta akan dijual secara rasmi di Malaysia menjelang penghujung 2026. Selain Malaysia ia turut akan memasuki pasaran baharu Turkiye, Poland, Portugal, Israel, Afrika Selatan, Indonesia, Thailand, Hong Kong, New Zealand, dan Filipina.