Amazfit T-Rex Dual Solar Kini Di Malaysia Dengan Harga RM2799
Amy Maizuraa
Jam tangan baharu Amazfit T-Rex Dual Solar kini rasmi memasuki pasaran Malaysia. Direka khusus untuk aktiviti luar, model ini hadir dengan ketahanan lebih baik, sokongan tenaga solar dan ciri pintar yang sesuai untuk gaya hidup aktif serta sukan ekstrem.

Sorotan utama jam tangan ini ialah teknologi Dual-Sided Solar Charging pertama di dunia untuk jam tangan pintar AMOLED. Ia mampu menyerap tenaga matahari daripada skrin hadapan dan panel belakang sekali gus membolehkan bateri bertahan sehingga 51 hari dengan cahaya matahari harian. Rekaannya juga tahan lasak dengan bezel titanium gred 5 dan kaca Sapphire Crystal, serta melepasi ujian tentera yang membuktikan ia mampu menahan suhu ekstrem hingga -30°C.

Jam tangan ini turut menawarkan fungsi panduan arah tanpa memerlukan telefon, lengkap dengan peta berwarna dan ciri Auto-Rerouting. Ia juga kalis air sehingga 100 meter, menyokong lebih 180 mod sukan serta boleh dihubungkan dengan Strava dan Training Peaks. Antara ciri ketahanan lain disediakan ialah lampu suluh terbina, isyarat SOS, barometer amaran ribut dan amaran kecemasan.

Amazfit T-Rex Dual Solar akan mula dijual di Malaysia pada 23 Oktober 2026 dengan harga RM2,799 melalui laman web rasmi Amazfit serta rakan kongsi runcit seperti Shopee, Lazada dan TikTok. Sempena pelancaran ini, pembeli di laman web rasmi akan menerima khemah perkhemahan percuma bernilai RM499 manakala pembelian melalui Shopee, Lazada atau TikTok akan disertakan beg galas Decathlon percuma. Tawaran ini tertakluk kepada stok.