Maxis Dan U Mobile Dilaporkan Pertimbang Kembali Untuk Menggabungkan Syarikat
Aman
Maxis dan U Mobile kini dilaporkan telah memulakan perbincangan dan pertimbangan untuk mengabungkan kedua-dua syarikat telekomunikasi tersebut, sekaligus membentuk syarikat telekomunikasi gergasi di Malaysia.
Bloomberg turut melaporkan Maxis telah mula menghubungi pihak bank dan firma peguam dalam mendapatkan proposal serta cadangan berkaitan dengan pengambil-alihan ini. Maxis kini dinilaikan sekitar RM28.3 bilion mengikut harga saham semasa, sementara U Mobile dilihat menyasarkan nilai sekitar RM10 bilion atau lebih.

Untuk makluman, perbincangan antara kedua-dua pihak telah berlaku untuk beberapa kali, termasuk Maxis pernah pertimbang untuk membeli U Mobile pada 2024 yang lepas. Namun, segalanya tidak berhasil setakat ini, dan salah satu sebabnya adalah kerana kedua-dua pihak tidak bersetuju atas penilaian.
Sekiranya penyatuan ini berlaku, maka ia akan membentuk syarikat yang lebih besar berbanding CelcomDigi yang dinilaikan sekitar RM29 bilion. Malah, syarikat gabungan baharu ini mungkin mempunyai kelebihan juga kerana U Mobile membangunkan rangkaian 5G kedua negara, berbanding syarikat telekomunikasi lain yang menggunakan infrastruktur DNB.