Acer, ASUS dan HP Kembali Mengilangkan PC Di China Bagi Mengurangkan Kos
Effi Saharudin
Pasca pandemik, syarikat teknologi memindahkan pengilangan produk mereka keluar daripada China sebagai langkah menyebarkan rantaian bekalan. Insiden kilang ditutup disebabkan Covid sehingga mengganggu pengeluaran menyebabkan produk dipindahkan ke Thailand, Vietnam dan India. Tetapi disebabkan krisis RAM akhir-akhir ini, Acer, ASUS dan HP memindahkan semula pengilangan ke China bagi mengurangkan kos menurut laporan Nikkei-Asia.

Kontrak pengilangan diberikan kepada Luxshare, Huaqin Technology, dan Longcheer Technology di China kerana rantaian bekalan membolehkan produk sama dikeluarkan dengan kos lebih rendah. Dalam tempoh 12 bulan kebelakangan ini, kos untuk memori sahaja meningkat sehingga 500 kali ganda.
Dengan pengilangan dipindahkan semula ke China, syarikat teknologi boleh menggunakan memori keluaran CXMT yang sedikit lebih murah. Seperti kami laporkan semalam SK Hynix mengatakan slot pengeluaran memori mereka sudah habis ditempah sehingga 2029. Ini juga berlaku di Samsung dan Micron dengan harga jualan dijangka dinaikkan sekali lagi sebelum 2026 berakhir.