Tesla Tamatkan Pengeluaran Cybertruck Pada Pertengahan 2027
Effi Saharudin
Tesla akan menamatkan pengeluaran Cybertruck di Gigafactory Texas sekitar pertengahan 2027 bagi memberi ruang kepada pengeluaran Cybercab. Penamatan pengeluaran dilakukan walaupun trak elektrik ini baru sahaja dijual pada tahun 2024.
Walaupun alasan ingin memberi tumpuan kepada teksi swapandu Cybercab, tindakan ini sebenarnya diambil selepas Cybertruck gagal mendapat sambutan dengan jualan jauh daripada sasaran yang ditetapkan oleh Elon Musk. Dianggarkan sekitar 75,000 unit telah berjaya dijual sejak 2024 dengan Musk sebelum ini meramalkan jualan antara 250,000-500,000 unit setahun.

Cybertruck bermula dengan langkah kanan selepas unit awal Founder’s Edition habis dijual walaupun dijual pada harga lebih tiga kali ganda yang dijanjikan pada awalnya. Walaupun menerima pratempahan lebih 1 juta unit, jualan mula landai selepas isu seperti kemasan tertanggal, pedal tersekat dan isu dengan perisian dilaporkan pada unit-unit awal yang dijual.
Hanya Gigafactory Texas mempunyai fasiliti mengeluarkan Cybertruck. Ini akan menjadikan Cybertruck kenderaan ketiga selepas Roadster, Model S dan Model X ditamatkan pengeluaran. Tesla hanya menawarkan Model 3, Model Y dan Roadster baharu kepada orang ramai.
Cybercab akan ditawarkan kepada orang ramai sebagai teksi dan bukan untuk kenderaan peribadi. Walaupun sudah memulakan perkhidmatan di Austin Texas, ia belum menerima kebenaran pihak berkuasa untuk dijual atau beroperasi secara meluas di seluruh Amerika Syarikat.