Cari @ Amanz

Hari ni muncul beberapa video yang menunjukkan masalah yang berlaku sekiranya anda memasukkan S Pen Samsung Galaxy Note 5 secara terbalik. Sekiranya anda melakukannya ini akan mengakibatkan S Pen tersekat dan sensor stylus anda rosak. Beberapa pengguna turut berkata selepas S Pen berjaya ditarik keluar sistem anjakan spring tidak lagi berfungsi. Ini adalah kerana sistem tolakan spring baru yang digunakan pada tempat simpanan Note 5 akan “mengunci” S Pen di dalam peranti.

Samsung Galaxy Note 5 Stylus S Pen

Apabila ditarik dengan kuat mekanisme ini akan mengalami kerosakan. Anda kini tiada pilihan selain menghantar peranti ke pusat servis Samsung berdekatan. Masalah rekaan ini dihadapi oleh beberapa pengguna Note 5 dan pihak Samsung sendiri mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu ini di bawah

“Kami amat mengesyorkan pengguna Galaxy Note 5 mengikut arahan dalam panduan pengguna untuk memastikan mereka tidak mengalami apa-apa senario yang tidak dijangka akibat memasukkan semula S-Pen secara terbalik”

Secara peribadi kami telah menggunakan kesemua Galaxy Note yang pernah dikeluarkan dan tidak pernah sekalipun terfikir untuk memasukkan peranti secara terbalik. Jadi kepada mereka yang bercadang membeli Galaxy Note 5 minggu hadapan, kami berharap anda sedar bahawa Samsung tidak mengesyorkan anda memasukkan semula S Pen secara terbalik.

 

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd