Cari @ Amanz

Lihat di pasaran sekarang dan anda boleh lihat terdapat banyak peranti dengan skrin bersaiz melangkaui 5″. Pernah suatu ketika peranti pintar kesemuanya mempunyai skrin lebih kecil dari 4″. Pada waktu tersebut peranti dengan saiz skrin yang besar dianggap tidak praktikal dan tidak mempunyai ruang di pasaran. Empat tahun sejak Galaxy Note dilancarkan dan mengubah dunia peranti pintar dengan penggunaan skrin besar, adakah Galaxy Note 5 boleh meneruskan penguasaan Note sebagai phablet terbaik di pasaran? Jawapan pendeknya ialah ya. Untuk jawapan lebih panjang ulasan ini akan memberikan sebab musabab mengapa kami merasakan Note 5 ialah phablet terbaik yang boleh anda miliki sekarang.

Rekaan

Samsung Galaxy Note 5
Skrin 5.7″ SAMOLED QHD (515 PPI)
Pemproses 2.1 x 4 + 1.5 x 4 GHz Exynos 7420
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 32 Gigabyte
Kamera Utama 16 Megapixel OIS f/1.9
Kamera Depan 5 Megapixel f/1.9
Bateri 3000 mAh (pengecasan pantas Adaptive Charging)
SIM/Telefoni Dwi NanoSIM / 4G
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 2699

Peranti keluarga Note sering dinantikan kemunculannya setiap tahun kerana ia secara konsisten phablet terbaik yang boleh anda miliki. Gabungan skrin gergasi, pemproses berkuasa tinggi, rekaan yang berkualiti dan stylus Wacom yang responsif masih sukar dikalahkan peranti phablet lain.

Dengan Galaxy Note 5, Samsung sekali lagi melakukan perubahan besar pada rekaan Note. Panel plastik dengan bahan kulit palsu kini digantikan dengan panel kaca tahan hentakan. Sisi panel belakang juga melengkung bagi membuatkannya selesa dipegang dengan sebelah tangan walaupun saiznya agak besar. Penggunaan skrin dengan bazel lebih nipis membuatkan Note 5 sedikit lebih kecil berbanding Note 4.

Perubahan drastik lebih premium ini mengikuti rekaan yang diperkenalkan pada Galaxy S6 dan S6 Edge. Rekaan lebih premium menjadi pertaruhan Samsung untuk menentang kemasukan peranti lebih murah dari negara China yang mengurangkan jumlah jualan peranti buatan mereka. Kami memuji rekaan premium S6 dan kesemua elemen menarik telefon pintar ini boleh ditemui pada Note 5. Begitu juga dengan segala kekurangan yang ada padanya iaitu tiada lagi sokongan kad MikroSD dan bateri yang boleh ditanggalkan. Ironi di sini ialah setelah bertahun mentertawakan ketiadaan dua fungsi ini pada produk Apple, Samsung akhirnya melakukan apa yang dilakukan oleh Cupertino. Jadi selepas peminat Samsung mentertawakan Apple kerana menghasilkan phablet iPhone 6S dan peranti berstylus iPad Pro, giliran Apple pula memulangkan paku buah keras.

Ironi di sini ialah setelah bertahun mentertawakan ketiadaan dua fungsi ini pada produk Apple, Samsung akhirnya melakukan apa yang dilakukan oleh Cupertino.Hakikatnya di dalam dunia teknologi “meminjam” idea dari produk yang berjaya adakah perkara biasa yang sudah berlaku sejak dahulu lagi. Sekiranya ada permintaan dari pengguna adalah kurang bijak untuk tidak menyertakannya di dalam produk anda.

Dari segi rekaan fizikal, keseluruhan bingkai peranti diperbuat daripada bahan logam yang bulat. Tiada sisi tajam yang akan menyebabkan ketidakselesaan apabila peranti digenggam. Pada bahagian kanan terdapat butang kuasa manakala pada sebelah kiri terdapat dua butang suara. Kedua-duanya turut diperbuat daripada logam. Pada bahagian atas terdapat slot untuk dwi SIM Nano. Pada bahagian bawah pula terdapat slot MikroUSB, jack fon kepala dan pembesar suara mono.

Butang home merangkap pengimbas cap jari terletak di bahagian dagu. Ianya dihimpit oleh butang multi tasking pada sebelah kiri dan back pada sebelah kanan. Kedua-dua butang kapasitif ini berlampu bagi memudahkan penggunaan waktu malam. Pada bahagian belakang bersebelahan lensa kamera ialah pengimbas nadi terbina.

Samsung Galaxy Note 5 20151002_151044

 

. Note 5 adalah peranti tercantik di dalam keluarga Note. Rekaannya yang baik turut membuatkannya selesa untuk dipegang dengan sebelah tangan sugguhpun mempunyai saiz yang besar..Dari segi spesifikasi Note 5 adalah S6 yang dibesarkan dengan beberapa penambahbaikan. Skrin 5.7 SAMOLED QHD dipadankan dengan pemproses Exynos 7420 yang digunakan pada S6 sebelum ini. RAM kini melonjak ke 4 Gigabyte berbanding hanya 3 Gigabyte tahun lalu. Muatan dalaman terhada kepada 32 Gigabyte. Tiada sokongan kad MikroSD sungguhpun peranti ini mempunyai slot untuk dua SIM Nano. Kebanyakan pengeluar lain menggunakan talam SIM hibrid yang membolehkan ia digunakan sebagai slot penambahan memori dalaman.

Kemampuan optik adalah 16 Megapixel f/1.9 dengan OIS pada kamera utama berserta flash dua tona. Kamera hadapan pula adalah 5 Megapixel f/1.9 dengan lensa sudut lebar. Bateri lebih kecil digunakan iaitu 3000 mAh berbanding 3220 mAh tahun lalu. Berita baik di sini ialah sistem pengecasan pantas berwayar dan tanpa wayar kedua-duanya disokong. Trend penggunaan bateri yang lebih kecil ini sekali lagi ini kami katakan adalah aneh.

S Pen kali ini mempunyai mekanisme spring yang menolaknya keluar dari tempat simpanan apabila ditekan. Mekanisme ini jugalah yang menyebabkan ianya akan tersekat di dalam tempat simpanan sekiranya anda secara tidak sengaja memasukkannya secara terbalik.

Dari segi rekaan beberapa penambahbaikan diberikan berbanding model tahun lalu tetapi pada waktu yang sama beberapa pengurangan dilakukan. Note 5 adalah peranti tercantik di dalam keluarga Note. Rekaannya yang bauk turut membuatkannya selesa untuk dipegang dengan sebelah tangan sugguhpun mempunyai saiz yang besar. Tiada lagi sokongan pemancar infra merah, bateri boleh tanggal dan penambahan memori dalaman. Terpulang kepada anda untuk merasakan sama ada pengurangan ini boleh dianggap negatif ataupun positif. Kepada kami yang tidak memerlukan slot penambahan memori dalaman dan pemancar infra merah kehilangan dua fungsi ini tidak dirasai.

Antaramuka TouchWiz

Galaxy-Note-5--screen-1Android 5.1.1 digunakan dengan antaramuka TouchWiz. Tiada perbezaan dari segi rekaan kami sedari pada versi ini dan yang kami lihat pada Galaxy S6, Tan S2 dan A8. Kesemua fungsi asas yang kami lihat pada S6 masih lagi dikekalkan dengan beberapa penambahan khas untuk peranti keluar Note disertakan. Ini akan kami sentuh di dalam perenggan di hadapan.

Oleh itu tidak banyak boleh kami katakan mengenai rekaan TouchWiz baru ini. Ianya masih lagi pantas, kemas, mudah digunakan, lancar dan mesra pengguna. Ia mungkin tidak secantik Android Lollipop Vanilla tetapi sekurang-kurangnya ia tidak menyakitkan mata. Sekiranya anda mahukan rekaan yang lebih menghampiri Android Vanilla ada beberapa tema yang boleh anda muat turun dari aplikasi Theme Store Samsung.

Sepanjang tempoh ulasan peranti berfungsi dengan tanpa masalah. Penukaran aplikasi berlaku hampir sekelip mata kerana saiz RAM yang amat besar. Tiada langsung sela masa dan segalanya responsif.

Samsung akhirnya menyedari pengenalan fungsi baru saban tahun tidak dimahukan oleh pengguna. Pengenalan fungsi baharu secara kecil-kecilan adalah lebih baik dari melambakkan pelbagai fungsi baru dengan implementasi yang kucar kacir. Setiap fungsi lama yang sedia ada ada diperhalusi bagi membuatkannya lebih pantas digunakan. Sebagai contoh antaramuka Air Command kini lebih lancar dan kekal lebih lama selepas S Pen dikeluarkan dari tempat simpanan. Menambahkan pintasan untuk melancarkan aplikasi menerusi Air Command juga kini disertakan. Melancarkan Pop Up Window juga tidak lagi tersekat-sekat seperti dahulu.

Inilah yang dilakukan oleh Apple saban tahun. Mereka sudah lama menyedari kelancaran peranti harus menjadi keutamaan dan bukan gimik baru. Pengguna Android mungkin gemar membuat jenaka iPhone ketinggalan dari segi fungsi tetapi hakikatnya iOS melakukan perkara-perkara asas jauh lebih baik berbanding peranti Android.

Galaxy-Note-5--screen-2 Galaxy-Note-5--screen-3 Galaxy-Note-5--screen-4

Air Command Baru

Samsung-Galaxy-Note-Air-COmmandPenambahbaikan antaramuka Air Command adalah amat kami hargai. Sebelum ini Air Command akan muncul setiap kali S Pen dikeluarkan dari tempat simpanan. Pengguna kemudian memilih apakah fungsi yang akan dipilih dari menu Air Command. Selepas pemilihan antaramuka Air Command akan hilang dan untuk mengaktifkannya semula butang pada S Pen perlu ditekan dan diapungkan pada skrin peranti. Sesiapa yang biasa menggunakan S Pen akan mengetahui ini bukanlah cara yang paling pantas dan mesra pengguna

Air Command kini muncul dengan pembaharuan estetik dan ergonomik. Apabila ia muncul pada skrin latar belakang skrin menjadi kabur dan kesemua pilihan pada S Pen. Selepas fungsi dipilih sebuah ikon kecil berbentuk bulat akan muncul pada sisi skrin. Ikon ini separa lutsinar dan tidak mengganggu pemandangan skrin. Ia boleh ditekan pada bila-bila masa untuk mengembalikan antaramuka Air Command. Proses menulis nota, mengambil gambar skrin dan melancarkan fungsi spesifik S Pen kini semakin pantas.

Air Command juga kini boleh dikustomasi dengan menambah pintas pantas aplikasi tertentu. Sebelum ini Air Command hanya mempunyai empat pilihan yang tidak boleh diubah. Dengan antaramuka baru beberapa pintasan untuk aplikasi lain seperti Chrome ataupun Google Keep boleh ditambah.

Samsung Galaxy Note 5 20151002_151143

Fungsi Tambahan Lain

Fungsi asas itu penting tetapi fungsi tambahan akan menarik minat pengguna dan membuatkan peranti menjadi lebih unik berbanding apa yang ditawarkan oleh pesaing. Empat fungsi tambahan yang kami rasakan menjadikan Note 5 unik berbanding pesaing ialah Screen Off Memo, Long Screenshot, Multi Window dan One Handed Mode. 

Fungsi Screen Off Memo membenarkan lakaran pada skrin secara terus walaupun skrin tidak dihidupkan. Ini dilakukan dengan mengeluarkan S Pen dari simpanan dan melakar terus pada skrin. Proses mencatatkan nota penting kini lebih pantas dan intuitif. Selepas nota ditulis, masukkan semula S Pen dan apa yang tertulis akan disimpan secara automatik. Anda kemudian boleh membacanya semula melalui aplikasi S Note.

Fungsi kedua yang tak kurang bijaknya ialah pengambilan rakaman skrin yang panjang – Long Screenshot. Ini dilakukan dengan menekan butang Screen Write pada Air Command selepas S Pen dikeluarkan. Pengguna kemudian boleh mengambil beberapa lagi rakaman skrin yang kemudiannya disimpan sebagai sebuah gambar yang panjang. Buat masa ini fungsi ini hanya boleh diaktifkan dengan mengeluarkan S Pen. Kami berharap Samsung membenarkan mod ini digunakan dengan menekan butang suara atas dan kuasa seperti yang dilakukan oleh Oppo pada peranti keluarga R7. Sistem mengambil rakaman skrin panjang Oppo lebih mesra pengguna pada hemat kami.

Cara Multi WIndow dilancarkan juga diubah. Butang multi tasking perlu ditekan selama beberapa saat dan skrin akan terus terbahagi kepada dua tetingkap. Terdapat pilihan aplikasi apakah yang boleh dilancarkan di dalam dua tetingkap ini.

Akhir sekali ialah One Handed Mode yang diaktifkan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali. Saiz paparan skrin mengecil ke saiz sekitar 4″ untuk memudahkan penggunaan.  Cara ianya diaktifkan sekarang lebih mudah dilakukan berbanding mentatal dengan pantas dari sisi skrin sebelum ini.

Samsung-Galaxy-Note-5-screenies-notes

 

 

Pengimbas Cap Jari dan Pengesan Nadi

Galaxy Note 5 SamplesSamsung-Galaxy-Note-5-Unbox-002Pengimbas cap jari Note 5 terbina pada butang home. Dengan sistem imbasan baru pengguna tidak perlu lagi mentatal jari untuk diimbas. Hanya letakkan jari pada pengimbas dan ianya akan dibaca dengan pantas. Ianya sistem yang terpantas pada peranti Android pernah kami cuba setakat ini. Proses merakam cap jari juga pantas dan mesra pengguna.

Pengesan nadi terbina pula mampu mengesan nadi dan kandungan oksigen (SpO2) di dalam darah. Kami akui kami bukan manusia paling menjaga kesihatan dan melakukan senaman. Tetapi selepas menggunakan aplikasi S Health untuk muncul minat untuk mula bersenam dan peduli tentang kesihatan. Kami menjadi lebih rajin berjalan dan mengira masa aktif seharian. Pengimbas nadi masih lagi belum menjadi standard pada kebanyakan peranti tetapi sekiranya anda mahu mengesan tahap kesihatan (dan tidak mahu membeli jam pintar berasingan), pengimbas nadi ini sangat-sangat berguna.

Telefoni

Ya selain kesemua fungsi di atas peranti ini juga mampu melakukan panggilan telefon dan menghantar SMS. TouchWiz ialah antara peranti Android terakhir yang mempunyai fungsi panggilan video terbina pada aplikasi panggilan telefonnya. Panggilan telefon yang dilakukan adalah jelas dan terang kerana menyokong fungsi HD Voice. Panggilan menggunakan pembesar suara juga jelas kerana pembesar suara mono yang disertakan mampu menghasilkan bunyi yang lantang.

Kamera

Kamera utama Note 5 ialah sama seperti yang digunakan pada S6. Ianya masih lagi dianggap sebagai kamera peranti mudah alih terbaik di pasaran. Kamera utama sebesar 16 Megapixel f/1.9 ini mempunyai sokongan OIS serta VDIS (Video Digital Image Stabilisation) yang mengurangkan gegaran ketika kamera digunakan. Kamera hadapan pula sebesar 5 Megapixel f/1.9 dengan sokongan Wide Selfie. Kemampuan merakan video pada kamera utama ialah resolusi 4K manakala kamera hadapan 1080P

Antaramuka aplikasi kamera Note 5 adalah kemas dan mudah difahami. Elemen antaramuka adalah kecil dan tidak menghalang pengguna melihat objek yang ingin diambil gambarnya. Pada resolusi penuh 16 Megapixel gambar diambil dengan nisbah 16:9. Sekiranya anda mahukan gambar bernisbah 4:3 resolusi kamera perlu diturunkan ke 12 Megapixel. Terdapat 9 pratetapan yang terpasang pada peranti. Sekiranya anda mahukan lebih banyak pratetapan ia boleh dimuat turun dengan mudah. Di dalam mod Pro sokongan mengambil gambar RAW disertakan.

Galaxy-Note-5--Cameras

Berikut adalah beberapa gambar yang sempat kami ambil menggunakan kamera ini. Penghasilan warna, ketajaman serta kepantasan kamera adalah amat baik. Warna sangat hidup tanpa sebarang masalah white balance. Pada waktu malam kualiti gambar masih lagi baik dengan noise yang amat rendah. Kamera hadapan mungkin hanya sebesar 5 Megapixel tetapi kualitinya lebih baik berbanding kamera utama beberapa peranti kelas pertengahan yang pernah kami lihat. Jika anda gemar mengambil selfie, pengimbas nadi di belakang boleh digunakan sebagai pengatup kamera. Letakkan hari pada pengimbas dan kamera akan mengambil gambar. Fungsi ini amat kami gemari. Kecemerlangan kamera S6 dilihat sekali lagi di dalam Note 5.

Apakah perkara negatif yang boleh kami katakan tentang kamera yang digunakan? Mungkin ruang simpanan peranti akan mudah penuh kerana anda seronok mengambil gambar dengan banyak. Kamera Note 5 adalah sangat baik ia menggantikan kamera yang biasanya kami gunakan untuk melakukan tugasan luar. Ianya cukup bagus dan kompak.

Galaxy Note 5 Samples20150909_153825Galaxy Note 5 Samples20150909_154038

Galaxy Note 5 Samples20150908_122208 Galaxy Note 5 Samples20150910_202519Galaxy Note 5 Samples20150909_120947    Galaxy Note 5 Samples20150926_104108

Video

Rakaman video 4K, 1080P 60 FPS dan gerak perlahan 120 FPS disokong oleh peranti ini. Kombinasi sistem OIS dan VDIS jelas menggurangkan gegaran ketika video dirakam. Sungguhpun begitu di dalam mod rakaman 4K dan 1080P 60 FPS sistem VDIS tidak boleh diaktifkan. Di bawah ialah contoh rakaman video 1080P dengan sistem VDIS diaktifkan.

Penanda Aras

Pemproses Exynos 7420 Gaalaxy S6 yang merajai carta penanda aras Amanz digunakan semula di dalam Note 5. Tidak mengejutkan markah yang dicatatkan apabila ujian penanda aras dilakukan menunjukkan Note 5 juga mempunyai kemampuan yang tinggi.Markah yang dicatatkan adalah seperti berikut. 3728 markah pada Quadrant, 68042 markah pada Antutu dan 23807markah pada Futuremark Unlimited. Ini meletakkannya di tangga teratas peranti paling berkuasa pernah diulas di makmal Amanz.

Pada penggunaan seharian selama beberapa hampir sebulan kami tidak menemui sebarang masalah pada peranti ini. Kesemua aplikasi yang dimuat turun berjalan dengan lancar. Tidak ada sekalipun masalah aplikasi terhenti atau tidak sesuai digunakan. Aplikasi permainan juga dapat dilancarkan dengan pantas kerana kombinasi pemproses dan RAM yang tinggi.

Mengenai kepanasan pula kami hanya menyedari ia berlaku ketika peranti dicas dengan pengecas pantas yang disertakan. Ketika menggunakan aplikasi GPS dan menggunakan pemproses yang tinggi masalah kepanasan tidak berapa ketara. Secara keseluruhan memang tiada masalah kami sedari dengan Note 5 dalam penggunaan sepanjang tempoh ulasan.

Samsung-Galaxy-Note-5-Benchies

Galaxy-Note-5-Benchies-2

 


 

Bateri

Bateri sebesar 3000 mAh yang digunakan adalah lebih kecil berbanding 3220 mAh yang digunakan pada Note 4. Tetapi dari segi kemampuan bateri Note 5 adalah lebih baik. Pada penggunaan berat peranti mampu beroperasi melebihi 10 jam dengan skrin terpasang lebih dari 5 jam. Pada penggunaan ringan pula peranti mampu bertahan melebihi 24 jam dengan skrin terpasang hampir 6 jam. Pemproses mungkin lebih berkuasa dan bateri lebih kecil tetapi ketahanan bateri Note 5 adalah amat baik. Ini adalah sebelum kami menggunakan mod Power Saver. Sekiranya ini diaktifkan jangka hayat peranti akan semakin bertambah.

Ketahanan bateri yang baik ini disokong pula dengan sistem pengecasan pantas Adaptive Charging yang mengecas peranti dalam masa sekitar 70 minit. Pengecasan tanpa wayar pantas juga disokong. Anda tidak perlu risau peranti akan kehabisan bateri sepanjang hari dan sekiranya ia berlaku ia mampu dicas semula sepantas kilat.

Galaxy-Note-5-battery


Pesaing

Terdapat beberapa phablet dengan saiz skrin setanding dengan Note 5. Kami memilih Nexus 6P dan Meizu Pro 5 kerana kedua-duanya adalah peranti dengan spesifikasi yang juga hampir setanding.

* = Harga diubah dari Dollar Amerika

Peranti Utama
Samsung Galaxy Note 5 Google Nexus 6P Meizu Pro 5
5.7″ SAMOLED QHD (515 PPI) 5.7″ IPS LCD QHD (515 PPI) 5.1″ AMOLED FHD (386 PPI)
2.1 X 4 + 1.5 X 4 GHz Exynos 7420 2.0 x 4 + 1.5 x 4 GHz Snapdragon 810 2.1 x 4 + 1.5 x 4 GHz Exynos 7420
Mali-T760MP8 Adreno 430 Mali-T760MP8
4 Gigabyte 3 Gigabyte 3/4 Gigabyte
32 Gigabyte 32/64/128 Gigabyte 32/64 Gigabyte
Kamera Utama 16 Megapixel OIS, f/1.9 Kamera Utama 12.3 Megapixel OIS, f/2.0 Kamera Utama 21 Megapixel f/2.2 PDAF Laser
Kamera Hadapan 5 Megapixel f/1.9 Kamera Hadapan 8 Megapixel Kamera Hadapan 5 Megapixel f/2.0
3000 mAh (Tidak boleh dibuka) 3450 mAh (Tidak boleh dibuka)
3050 mAh (Tidak boleh dibuka)
RM 2699 RM 2224* RM 1924*

Kesimpulan

Samsung Galaxy Note 5 meneruskan kecemerlangan  Samsung di dalam arena penghasilan peranti phablet. Note 4 yang merupakan phablet terbaik tahun lalu diperhalusi dan ditambah baik untuk menjadikannya lebih hampir kepada kesempurnaan. Masih ada beberapa kekurangan seperti kehilangan fungsi lama (bateri boleh tanggal, slot kad MikroSD dan pemancar IR) dan peranti yang kini sedikit licin untuk dipegang. Tetapi kekurangan ini diimbangi oleh rekaan yang lebih premium, antaramuka lebih pantas, kemampuan kamera yang menakjubkan serta stylus terbaik di dalam arena peranti mudah alih.

Jika anda mahukan phablet terbaik di pasaran dengan kemampuan menakjubkan jangan fikir dua kali dan masukkan Note 5 ke dalam senarai peranti harus anda miliki. Mungkin ada phablet lain dengan skrin lebih besar dan binaan lebih premium di pasaran sekarang. Namun dari segi fungsi tambahan dan nilai kepada setiap wang ringgit yang anda belanjakan, Note 5 masih sukar dikalahkan. Samsung Galaxy Note 5 ialah antara peranti terbaik dikeluarkan tahun ini dan dengan mudah kami sarankan pembeliannya kepada anda.

Galaxy Note 5 SamplesSamsung-Galaxy-Note-5-Unbox-015

PRO dan Kelebihan
  • Kemasan dan kualiti binaan yang premium.Tubuh aluminium dengan panel kaca melengkung membuatkannya selesa dipegang walaupun mempunyai saiz yang besar.
  • Kemampuan memproses yang tinggi dan saiz RAM 4 Gigabyte membuatkannya peranti yang mudah untuk melakukan proses multi tasking.
  • Fungsi-fungsi lama diperhalusi membuatkannya lebih mesra pengguna dan hanya beberapa fungsi baru yang diperkenalkan tidak terasa seperti gimik.
  • Pengecasan pantas berwayar dan tanpa wayar.
  • Kemampuan kamera yang baik.
KONTRA dan Kekurangan
  • Pembesar suara mono
  • Pilihan muatan dalaman hanya 32 Gigabyte. Tiada sokongan kad MikroSD membuatkan ruang simpanan ini akan cepat dipenuhi.

Skor-Samsung-Galaxy-Note-5

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd