Cari @ Amanz

Netflix melakukan kejutan besar di CES2016 pagi tadi dengan mengumumkan ia kini boleh diakses secara global. Perkhidmatan penstriman siri TV dan filem ini kini boleh diakses di 190 negara termasuk Malaysia. Sekiranya anda membuka laman media sosial kegemaran anda pagi ini anda pasti akan melihat pengguna iFlix dan Netflix bertanyakan satu soalan penting. Yang manakah lebih berbaloi untuk dilanggan oleh pengguna Malaysia. Kami sudahpun mencuba kedua-dua perkhidmatan ini dan kami akan menyenaraikan pro dan kontra dua perkhidmatan ini. Diharap dengan artikel ini anda akan mampu memilih perkhidmatan manakah yang memenuhi kehendak anda. Kita mulakan terlebih dahulu dengan harga.

Harga

Harga adalah amat penting dan kerap menjadi faktor pertama yang diambil kira. Di Malaysia harga langganan iFlix adalah seperti berikut.

  • Bulanan – RM10 – Pada 5 peranti
  • Setahun – RM 96 (RM 8 Sebulan) – Pada 5 Peranti

Harga langganan Netflix pula ialah

  • Bulanan SD – RM 33
  • Bulanan HD – RM 42 – pada 2peranti
  • Bulanan UHD – RM 51 – pada 4 peranti

Dari segi harga iFlix adalah jauh lebih mampu milik dan membolehkan lebih ramai pengguna melakukan penstriman melalui satu akaun serentak.

Filix-win

Pilihan Rancangan

iflix-netflix-webFaktor kedua yang biasanya menjadi faktor pemilihan ialah pilihan rancangan. iFlix Malaysia menawarkan ratusan siri TV dan filem pelbagai genre. Dari apa yang kami lihat kebanyakan siri TV mempunyai episod yang lengkap membolehkan penonton untuk iFlix dan lepak sepanjang hari. Friends, Big Bang Theory, How I Met Your Mother, Mr Robot, Gotham dan Flash kesemuanya anda. Pilihan filem juga mencecah angka ratusan. Kami yakin anda pasti menemui rancangan yang ingin anda tonton menerusi perkhidmatan ini.

Netflix di Malaysia setakat ini mempunyai pilihan siri TV yang agak terhad. Dari maklumat yang kami terima dari beberapa pengguna yang menggunakan VPN untuk mengakses perkhidmatan ini, pilihan yang diberikan jauh lebih kecil berbanding apa yang ditawarkan di Amerika Syarikat dan Eropah. Aneh sekali siri popular Netlix House of Cards adalah antara siri TV yang tidak ditawarkan. Tetapi sir lain eksklusif Netflix seperti Orange is The New Black, Masters of None. Jessica Jones dan Narcos disertakan. Ini mungkin kerana hak penyiaran House of Cards sudah dibeli oleh sebuah syarikat TV kabel tempatan. Pilihan filem juga adalah lebih kecil jika dibandingkan dengan apa yang ditawarkan iFlix. Agak aneh Godfather Part I dan Godfather Part II ditawarkan tetapi Godfather Part III tidak pula ada di dalam senarai. Ini sedikit sebanyak mencacatkan peluang mereka yang mahu menonton siri filem dengan lengkap.

Jadi siapa yang menang di dalam kategori ini? Sekiranya anda sukakan siri dari CBS, NBC ataupun siri-siri klasik seperti Friends misalnya kami rasakan iFlix akan memberikan lebih banyak kepuasan. Sekiranya anda mahukan siri eksklusif Netflix (kecuali House of Cards) anda hanya boleh menontonnya menerusi Netflix. Jika dipaksa memilih kami merasakan iFlix lebih berbaloi kerana jumlah pilihan yang jauh lebih banyak. Oleh itu “iFlix dan lepak” di Malaysia lebih baik dari “Netflix and chill”.

Filix-win

Pilihan Rancangan Tempatan

iflix-localsPerkhidmatan penstriman atas talian tidak seharusnya berkiblatkan barat. Oleh itu kandungan tempatan juga perlu ditawarkan bagi memberikan pilihan lebih meluas. iFlix mempunyai kandungan siri TV tempatan yang menarik seperti siri TV Gol dan Gincu, Kami, I Love You Mr Arrogant, Supermak dan Kopitiam. Kesemua siri TV ini tidak dapat dimiliki dalam bentuk DVD dan tidak ditayangkan semula di kaca TV. Inilah satu-satunya cara untuk peminat menonton semula episod-episod kegemaran ataupun yang mereka terlepas. Kandungan siri TV dari Hong Kong, Filipina dan Korea juga ditawarkan. Kami hanya sedikit terkilan pilihan untuk siri TV Jepun dan tamil tidak wujud sama sekali. Kami mahu sangat menonton semula Power Office Girls, GTO dan Long Vacation. Pilihan filem tempatan pula kurang meriah kerana hanya terdapat 29 judul. Tiada filem dari zaman kegemilangan P Ramlee ataupun yang lebih terkini seperti Songlap. Yang ada adalah filem klasik seperti Sembilu, Mari Mariana dan Senario Lagi. Pasaran untuk filem Melayu lama wujud. Kami berharap seksyen filem Melayu boleh ditambah. Kepada peminat filem Asia pula pilihan nampaknya lebih kepada filem Korea dan Filipina. Terdapat beberapa filem Tamil tapi tiada pula filem Hindi. Filem dari negara matahari terbit juga tidak ditawarkan. Jadi kualiti pilihan rancangan tempatan dan rantau Asia iFlix adalah baik walaupun kurang konsisten.

Di Netflix tiada pilihan siri TV ataupun filem Malaysia. Yang wujud adalah beberapa filem Hindi (Singh is King) dan Korea. Jika pilihan rancangan tempatan dan serantau iFlix adalah kurang konsisten, pilihan Netflix pulang adalah hampir tidak wujud.

iFlix mungkin tidak mempunyai pilihan rancangan tempatan dan serantau sebesar rancangan dari barat namun ianya jauh lebih baik dari apa yang ditawarkan Netflix. iFlix memenangi kategori ini tanpa perlu melakukan sesuatu yang luar biasa.

Filix-win

Penapisan Kandungan

Faktor ketiga dan ini penting bagi kami ialah kandungan yang disunting ataupun tidak. Seperti yang pernah kami tulis pada artikel siri TV paling banyak dicetak rompak 2015, penonton Malaysia memuat turun Game of Thrones kerana ianya ditapis dengan terlalu agresif di saluran HBO Malaysia.

Rancangan TV dan filem di iFlix disunting tetapi tidak seteruk yang dilakukan stesen TV Malaysia. Sebagai contoh dengan asmara, mencarut dan bercium tidak ditapis di iFlix. Hanya babak membabitkan terlalu banyak manusia bogel disunting. Sebagai insan dewasa yang sudah mengundi, berkahwin dan mempunyai anak kami rasakan polisi menyunting babak sebegini adalah sedikit kelakar. Tetapi kami sedari di Malaysia adegan yang melibatkan pendedahan tubuh manusia masih lagi dianggap sensitif dan harus dihormati. Bagaimana pula dengan aksi ganas di iFlix? Kami menyedari tiada pula suntingan dilakukan pada aksi ganas. Di dalam filem Face Off adegan kepala dan tubuh ditembak berkali-kali sama seperti BluRay yang kami miliki. Jadi di iFlix penapisan terhad kepada adegan manusia berbogel secara melampau.

Tiada penapisan dilakukan pada kesemua rancangan TV dan filem di Netflix. Mereka menetapkan anda perlu berusia 18 tahun ke atas untuk melanggan  perkhidmatan mereka dan melayan anda sebagai seorang dewasa yang  matang. Sekiranya anda risau dengan kandungan sensitif, anda boleh meletakkan saringan kandungan pada skrin tetapan. Mereka memberikan pilihan kepada pengguna dan ini amat kami hargai.

Pada hemat kami Netflix memenangi kategori ini. Jika anda mahukan menonton tanpa sebarang suntingan hanya Netflix pilihan anda.

Netfix-wn

Kualiti Visual

Kebanyakan pengguna kini mempunyai peranti dan TV  yang menyokong resolusi minimum 1080P. Rancangan TV pada resolusi SD nampak amat huduh apabila ditonton menerusi televisyen HD penuh sebesar 40 inci. Kami secara peribadi tidak lagi mampu menonton rancangan TV Malaysia kerana kesemuanya masih lagi pada resolusi SD. Bagaimana pula dengan iFlix dan Netflix.

Majoriti kandungan iFlix masih belum boleh ditonton pada resolusi HD Penuh. Kami difahamkan resolusi 480P adalah yang tertinggi. Pihak iFlix sudahpun mengumumkan mereka akan menaik taraf kepada resolusi HD Penuh dalam masa terdekat. Pengumuman ini dilakukan Julai yang lalu. Sekiranya anda melakukan penstriman pada telefon pintar, resolusi yang rendah ini tidak akan kelihatan ketara. Kami melakukan penstriman menerusi Chromecast dan kualiti video adalah kurang memuaskan.

Netflix menawarkan pilihan penstriman pada resolusi SD, HD dan UHD. Kualiti visual yang ditonton adalah amat baik. Pada resolusi HD, kualiti visual adalah jauh lebih tajam berbanding yang ditawarkan pada HyppTV ataupun Astro. Harus diingatkan untuk menikmati penstriman pada resolusi HD anda memerlukan perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi. Kami secara peribadi menggunakan talian 30 Mbps dan penstriman HD  adalah amat lancar. Penstriman UHD pula masih tidak cukup lancar pada kelajuan ini.

Kualiti Netflix memang tidak dapat dinafikan. Dengan mudah kategori ini dimenangi mereka tetapi awas dan perlu melanggan perkhidmatan internet jalur lebar yang berkelajuan tinggi untuk menikmatinya.

Netfix-wn

Sari Kata

Subtitles-2

Pemahaman Bahasa Inggeris kami adalah agak baik tetapi kami masih memilih menonton dengan sari kata Inggeris kerana kadang kala tidak mendengar apa yang diucapkan pelakon. Oleh itu pilihan sari kata adalah amat penting bagi pengguna seperti kamil. iFlix bukan sahaja menawarkan sari kata Inggeris malah mempunyai sari kata Bahasa Malaysia dan Thai. Fungsi sari kata tiga bahasa ini malangnya tidak diberikan kepada kesemua rancangan yang boleh ditonton. Dalam beberapa kes hanya sari kata Thai boleh dipilih. Tidak boleh dimaafkan syarikat tempatan gagal menyertakan sari kata Bahasa Malaysia tetapi mampu memberikan sari kata bahasa asing.

Netflix menawarkan sarikata dalam bahasa Inggeris, Sepanyol, Perancis, Jerman dan Cina. Mereka turut memberikan audio pelbagai bahasa pada rancangan tertentu. Tiada pilihan sari kata dalam Bahasa Malaysia setakat ini.

Siapakah menang di dalam kategori ini bergantung kepada apa yang anda diperlukan pengguna. Jika anda memerlukan sari kata Bahasa Malaysia maka iFlix adalah pilihan anda. Jika anda mahukan sari kata Inggeris, Perancis dan Cina pula Netflix adalah pilihan anda. Oleh itu tiada siapa memenangi kategori ini kerana ia bergantung kepada pengguna.

draw-netflix-iflix

Tontonan Offline

Anda sedang menonton siri TV tetapi tiba-tiba perlu keluar dari rumah. Di dalam situasi ini adalah agak tidak munasabah untuk melakukan penstriman menggunakan perkhidmatan data. Oleh itu fungsi tontonan secara offline adalah perlu. iFlix seperti Amazon Prime membenarkan pengguna memuat turun apa yang ingin mereka tonton untuk tontonan secara offline. Terdapat tiga pilihan saiz boleh dipilih iaitu tinggi, sederhana dan rendah. Saiz fail sebuah filem pada resolusi paling tinggi ialah sekitar 600 Megabyte. Ini adalah saiz yang munasabah untuk dimuat turun pada peranti mudah alih. Sungguhpun begitu tidak semua rancangan dan filem di iFlix boleh dimuat turun. Mengapa ini berlaku tidak pula kami ketahui.

iflix-download

Netflix tidak akan menawarkan tontonan secara offline. Ia tidak ada di dalam perancangan mereka dalam masa terdekat? Menurut CPO Netflix Neil Hunt, mereka tidak menawarkan fungsi ini kerana percaya kepada konsep “Paradox Pilihan”. Menurut konsep kadang kala pilihan terlalu banyak bukanlah pilihan yang baik untuk pengguna. Dengan ketiadaan tontonan secara offline mereka percaya penonton akan lebih mudah menonton tanpa gangguan dan berterusan.

Dengan mudah kami berikan kemenangan kepada iFlix untuk kategori ini. Dengan data peranti alih yang mahal dan terhad di Malaysia kami mahu memuat turun dahulu di rumah sebelum menontonnya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Filix-win

 

Aplikasi Peranti Pintar

Aplikasi-iflix-netflixKita kini hidup di dunia pasca PC. Aplikasi adalah perlu kerana semakin ramai pengguna memilih untuk menonton menerusi peranti pintar mereka. Aplikasi iFlix boleh dimuat turun oleh pemilik peranti Android dan iOS. Kami mengalami beberapa masalah pada aplikasi Android iFlix. Ia tidak berfungsi dengan baik pada beberapa peranti yang kami miliki. Tiada masalah dengan peranti Sony ataupun OnePlus tetapi kami langsung tidak dapat menonton menerusi peranti Samsung. Aneh sekali akaun langganan percuma iFllix yang kami gunakan diterima menerusi pembelian Samsung Galaxy S6 Edge+. Sungguh menjengkelkan peranti yang memberikan langganan percuma tidak boleh digunakan untuk menonton. Apabila ianya berfungsi dengan baik kami tidak mempunyai masalah menonton. Senarai rancangan dengan mudah dapat dicari dan antaramuka aplikasi adalah kemas. Kami berharap iFlix dapat lebih memperbaiki aplikasi Android mereka. Pada platform iOS tiada masalah kami temui ketika menggunakannya pada iPhone 6S Plus dan iPad Mini. Aplikasi iFlix nyata lebih stabil pada iOS.

Aplikasi Netflix berfungsi dengan baik pada kesemua peranti Android yang kami cuba. Pada platform iOS aplikasi Netflix turut berfungsi dengan baik. Netflix sudah wujud lebih lama berbanding iFlix dan mereka sudah memperbaiki kesemua kelemahan yang wujud hasil dari maklum balas pengguna.

Netflix dengan mudah memenangi kategori ini. Aplikasi mereka kelihatan lebih menarik, berfungsi dengan lebih lancar dan tidak mendatangkan sebarang masalah perlu menjadi contoh kepada iFlix sekiranya mereka mahu bersaing di dalam pasaran yang sama.

Netfix-wn

Pilihan Peranti Tontonan

Netflix-PS4

Anda pastinya tidak mahu hanya menggunakan perkhidmatan ini pada peranti pintar. Kami secara peribadi lebih selesa menonton pada skrin TV. Oleh itu pilihan peranti tontonan adalah penting. iFlix hanya boleh ditonton pada skrin TV menggunakan Chromecast. Kami difahamkan aplikasi Apple TV sedang dibangunkan tetapi tarikh bilakah ia kan dilancarkan masih belum diumumkan.

Netflix boleh ditonton menggunakan Chromecast, Apple TV, televisyen pintar, PlayStation 3, PlayStation 4, Xbox 360 dan Xbox One. Pilihan platform Netflix amat sesuai bagi mereka yang mempunyai kesemua peranti yang kami senaraikan tadi.

Netflix memenangi kategori ini kerana lebih banyak pilihan. Sebagai pemilik konsol PlayStation 3 dan 4 sokongan Netflix lebih sesuai dengan kami.

Netfix-wn


Kesimpulan

Kami berharap dengan kategori yang kami sertakan di atas anda dapat membuat pilihan bijak perkhidmatan penstriman video manakah sesuai untuk anda. Kami rasakan di Malaysia kedua-dua perkhidmatan ini mempunyai keunikan sendiri bagi menarik kumpulan pelanggan yang berbeza. Setelah membaca artikel perkhidmatan manakah yang lebih menarik minat nada. Kongsikan di ruangan komen di bawah.

iflix netflix both20160107_174645

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd