Akses Neflix Dihalang Di Indonesia Kerana Isu Penapisan Kandungan

Akses Neflix Dihalang Di Indonesia Kerana Isu Penapisan Kandungan

Diterbitkan pada Jan 28, 2016 oleh .

Netflix dilancarkan di 130 negara bulan lalu dengan menggunakan hashtag #NetflixEverywhere. Malaysia dan Indonesia ialah antara negara di rantau Asia Tenggara di mana ia kini boleh diakses. Tiada lagi keperluan menggunakan VPN dan membeli akaun dari pihak ketiga. Secara peribadi saya sangat berpuas hati dengan perkhidmatan penstriman video ini. Kandungan eksklusifnya membuatkan kami menghabiskan masa menonton di rumah sehingga terlupa melakukan kerja rumah.

Netflix

Seperti di Malaysia, perkhidmatan Netflix menerima tentangan dari beberapa pihak. Pihak berkuasa Republik Garuda juga merasakan kandungan Netflix seharusnya ditapis sebelum boleh beroperasi di negara mereka. Pada waktu yang sama mereka mahu Netflix membayar permit penyiaran seperti pengamal media Indonesia yang lain. Netflix enggan menapis kandungan kerana menurut mereka sistem penapisan kandungan oleh ibu bapa dan sistem pengkelasan setiap rancangan sudah memadai. Berkenaan permit pula mereka tidak menggagap diri mereka sebagai saluran TV tradisional dan oleh itu tidak memerlukan permit operasi. Oleh sebab itu akses kepada Netflix kini dihalang kepada pengguna pembekal perkhidmatan internet Telkom. Telkom ialah ISP terbesar di Indonesia dan akses kepada Netflix ini melibatkan ramai pengguna. Kerajaan Indonesia dijangka akan mengeluarkan keputusan tentang status perkhidmatan Netflix bulan hadapan. Buat masa ini ianya masih dibenarkan beroperasi dan diakses oleh pengguna ISP yang lain. Kami di Amanz berharap ISP di Malaysia tidak akan melakukan perkara yang sama di negara kita.


TIPS & ULASAN