P1 telah menjenamakan perkhidmatan mereka kepada nama webe pada minggu lepas. Walaupun mengumumkan penjenamaan, pihak webe tidak memperkenalkan sebarang penawaran pakej telekomunikasi ketika itu, dan pada masa yang sama menidakkan ketirisan yang berlaku beberapa minggu lepas.
Pihak webe masih tidak berkongsi tarikh pelancaran rasmi perkhidmatan mereka kepada umum, dan sekadar mengatakan ia akan dilancarkan secara rasminya sekitar Mei atau Jun 2016 ini. Namun, sebagai persiapan, pihak webe telah mula menguji perkhidmatan telekomunikasi mereka dikalangan pengguna terpilih dan menawarkan pakej khusus – webe Pioneer Plan.
Daripada penemuan kami bersama rakan di Lowyat.NET, halaman untuk pendaftaran bagi mereka yang dijemput telah pun aktif. Laman khusus ini disediakan untuk pendaftaran akaun webe bagi mereka yang dijemput dan tiada paparan info yang diperlihatkan pada bahagian antaramuka. Sebaliknya, sekiranya pengguna melihat kod sumber (View Page Source), pelbagai info lanjut bersama-sama FAQ diperlihatkan untuk perkhidmatan webe. Kami bersama rakan di Lowyat.net telah sama-sama melihat apakah yang ditawarkan oleh webe untuk pelanggan dan pengguna terawal mereka dibawah pelan webe Pioneer Plan.
- Perhatian : webe Pioneer Plan hanya untuk pengguna terpilih webe yang aktif sehingga 31 Julai, sebelum ia diubah kepada webe Commercial Plan.
Pakej ini ditawarkan untuk pendaftaran oleh sejumlah pengguna antara 31 Mac 2016 hingga 6 Mei 2016, dimana melaluinya, seperti tertiris sebelum ini, pelanggan perlu membayar RM10.60 untuk menikmati 20GB data inernet, 1000 minit panggilan dan 1000 SMS ke nombor domestik.
Melalui laman berkenaan, ia dilihat webe Pioneer Plan hanya akan beroperasi sehingga 31 Julai 2016 sahaja, dan selepas itu, semua pengguna sedia ada akan diubah kepada webe Commercial Plan – yang mana mungkin adalah pelan sama seperti pelanggan lain.
Pihak webe melalui FAQ juga mengatakan sokongan untuk kod SMS dari nombor 5 angka hanya akan berfungsi daripada bulan Mei 2016 sahaja – membuatkan ia tidak boleh digunakan untuk menerima nombor TAC dan sebagainya buat masa ini.
Untuk penawaran data, pengguna webe Pioneer Plan akan disediakan dengan 20GB data, dan selepas tamat penggunaannya, ia akan dikurangkan kepada 128kbps. Penawaran webe juga agak berbeza dengan penyedia telekomunikasi tempatan yang lain, dimana sekiranya ingin berkongsi talian dengan tether, maka mereka perlu membuat bayaran tambahan. FAQ menyatakan pengguna perlu melanggan Personal WiFi Pass pada harga RM6.36 untuk tempoh 2 jam bagi menggunakan fungsi tethering kepada sehingga 5 peranti lain.
webe turut mengatakan perkhidmatan mereka boleh digunakan untuk memuat-turun dalam bentuk P2P atau torrent, tetapi ia dihadkan kepada kelajuan maksima 64kbps.
Pada laman yang sama, pihak webe berkongsi lanjut mengenai rangkaian mereka. webe 4G beroperasi menggunakan spektrum 850 Mhz. Ini bermakna, pengguna perlu mempunyai peranti yang selari dengan spektrum ini untuk menikmati rangkaian 4G daripada webe. Sekiranya peranti anda tidak menyokong spektrum tersebut, maka ia akan sekadar berhubung ke rangkaian 2G atau 3G sahaja. Daripada peta yang diterbitkan di laman webe ini, ia dilihat liputan 4G mereka masih tidak begitu menyeluruh seperti beberapa penyedia yang lain.
- Layari : Peta Liputan webe 4G
Pihak webe juga dilihat menyediakan pakej untuk perayauan yang perlu diaktifkan oleh pengguna terlebih dahulu sekiranya tidak ingin menanggung kos penggunaan yang tinggi.
webe masih belum berkongsi akan bilakah mereka akan melancarkan perkhidmatan mereka ini secara rasminya kepada pengguna umum. Dengan ujian yang lebih meluas yang telah dimulakan dikalangan pekerja Telekom Malaysia, tidak mustahil untuk kita melihat ia dilancarkan kepada umum dalam sebulan dua lagi.
Namun, seperti biasa, semestinya salah satu perkara yang dinantikan ramai adalah apakah yang akan ditawarkan oleh pakej komersial webe ini untuk pengguna umum. Adakah kita akan melihat webe hadir dengan pakej yang kompetitif ataupun sekadar pakej biasa sahaja?
- Info daripada laman webe ini adalah untuk Pioneer Plan yang berbeza dengan pelan akhir kelak untuk pengguna. Namun, ia secara kasar memberikan idea mengenai apa yang bakal dibawakan oleh penyedia talian telekomunikasi baru ini.