Cari @ Amanz

Pada awal tahun yang lalu kami ada menulis artikel mengenai 10 Fungsi Yang Harus Wujud Pada Semua Peranti 2016. Antara yang kami senaraikan ialah rekaan premium pada peranti kelas pertengahan, sistem pengecasan pantas dan pengimbas cap jari. Kita kini di bulan September dan kebanyakan cadangan yang kami berikan kini sudah menjadi realiti. Asus Zenfone 3 ZE552KL ialah sebuah peranti kelas pertengahan dengan rekaan premium, menyokong pengecasan pantas dan mempunyai pengimbas cap jari terbina. Ia adalah salah satu dari tujuh model Zenfone 3 yang mula dijual di Malaysia sejak beberapa minggu yang lalu. Adakah ia peranti yang berbaloi dimiliki? Berikut ialah ulasan kami mengenai peranti ini.

Spesifikasi

Asus Zenfone 3 ZE552KL
Skrin 5.5″ Super IPS+ FHD (401 ppi)
Chipset Qualcomm Snapdragon 625
CPU 2.0 GHz Cortex A-53 Lapan Teras
GPU Adreno 506
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 64 Gigabyte (Sokongan sehingga 2 TB)
Kamera Utama 16 Megapixel OIS, f/2.0, Laser
Kamera Depan 8 Megapixel f/2.0
Bateri 3000 mAh (Pengecasan pantas)
SIM Nano+Mikro SIM
Jalur LTE 1/2/3/5/7/8/18/19/26/28/38/39/40/41
NFC Tiada
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 1699

Asus Zenfone 3 ZE552KL dilengkapi skrin 5.5″ Super IPS+ dengan resolusi HD penuh. Ini dipadankan dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 625 dengan lapan teras dengan kelajuan 2.0 GHz, RAM sebesar 4 Gigabyte dan storan sebesar 64 Gigabyte. Kepada yang inginkan storan tambahan, kad MikroSD sehingga 2 Terabyte disokong.

Kemampuan optik pula ialah kamera utama 16 Megapixel f/2.0 dengan sistem OIS dan pemfokusan laser. Kamera selfie pula sebesar 8 Megapixel f/2.0. Kamera utama mampu merakam video pada resolusi 4K. Ini menjadikan Zenfone 3 sebagai peranti kelas pertengahan pertama yang menyokong rakaman pada resolusi UHD ini.

Dari segi bateri pula ia dilengkapi bateri sebesar 3000 mAh. Tidak seperti model Zenfone sebelum ini, panel belakang peranti ini tidak boleh ditanggalkan. Saiz bateri yang digunakan adalah agak kecil bagi saiz skrin yang digunakan. Sungguhpun begitu Zenfone 3 menyokong pengecasan QuickCharge 3.0 yang mampu mengecas pada kelajuan yang amat pantas melalui port USB-C.

Tiada sokongan NFC ataupun pemancar infra merah disertakan. Dwi-SIM disokong dengan satu slot untuk SIM Nano dan sebuah lagi bersaiz Mikro. Talam slot SIM adalah dari jenis hibrid dan apabila kad MikroSD digunakan, slot Nano SIM tidak boleh digunakan.

Rekaan

Perubahan yang amat mendadak dilihat dari Zenfone 2 ke Zenfone 3. Panel plastik dan sisi logam digantikan dengan tubuh logam dengan panel belakang yang menggunakan kaca Gorilla 3. Tidak melampau untuk mengatakan Zenfone 3 kini kelihatan seperti sebuah peranti Samsung. Ini bukanlah perkara negatif kerana kualiti binaan yang premium, rekaan yang selesa dan kemasan yang terperinci amat sinonim dengan Samsung. Dengan Zenfone 3, Asus meninggalkan imej peranti murah kerana penggunaan bahan binaan plastik sebelum ini. Kaca 2.5D digunakan pada panel hadapan dan belakang. Pergerakan jari kini lancar dari skrin ke sisi peranti. Ikhlas kami katakan rekaan Zenfone 3 bukan sahaja selesa tetapi kelihatan agak seksi.

Kerangka logam yang digunakan dibulatkan bagi meningkatkan keselesaan ketika dipegang. Pada sisi kanan terdapat butang suara dan kuasa yang turut diperbuat daripada logam. Tiada lagi butang kawalan suara pada panel belakang seperti yang dilihat pada Zenfone 2. Ini adalah sedikit mengecewakan kerana kami menggemari rekaan lama ini. Sebaliknya sebuah pengimbas cap jari berbentuk bujur kini menggantikan lokasi butang kawalan suara.  Pada sisi kiri terdapat slot untuk talam SIM dan kad MikroSD. Bergerak ke atas terdapat sebuah bicu audio 3.5mm. Sebuah port pengecasan USB-C dan pembesar suara mono pula terletak pada bahagian bawah.

 

Zenfone 320160809_135150-008

Tiga butang navigasi kapasitif terletak pada dagu peranti. Sekali lagi Asus tidak meletakkan lampu pada ketiga-tiga butang. Pada peranti ini butang home dihimpit butang back pada sebelah kiri dan butang multi tasking pada sebelah kanan. Tidak seperti pada Xiaomi Mi 5, tiada pilihan untuk mengubah kedudukan dua butang ini. Kami sudah biasa menggunakan peranti dengan butang back pada sebelah kanan dan ini menimbulkan sedikit kekeliruan pada awal penggunaan.

Kombinasi bahan binaan logam dan kaca menjadikan peranti ini amat cantik dilihat. Walaupun diklasifikasikan sebagai peranti kelas pertengahan, ia lebih menyerupai sebuah peranti utama. Kemasan peranti ini jauh lebih berkualiti dari yang kami temui pada Xiaomi Mi 5. Ia amat selesa dipegang walaupun sedikit licin kerana kewujudan panel kaca.

Pada waktu yang sama panel belakang Zenfone 3 memerangkap cap jari seperti magnet. Dengan mudah ia akan berubah menjadi comot. Seperti biasa apabila membeli peranti dengan panel kaca, kami menyarankan pembelian kerangka tahan lasak. Peranti akan lebih selamat dari terjatuh dan kurang comot kerana kerap dipegang.

ZenUI 3.0

Sistem operasi Android 6.0 Marshmallow digunakan dengan pelancar ZenUI 3.0. Ini mungkin peranti baru tetapi antaramuka ZenUI 3.0 tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara berbanding yang digunakan pada Zenfone 2. Perubahan kecil dilihat pada rekaan sesetengah ikon (kini lebih bulat) dan pengurangan aplikasi gendut. Aplikasi terpasang masih banyak kerana menghampiri 20 tetapi berita baik ialah kali ini majoriti boleh dinyahpasang sekiranya tidak dikehendaki. Kepada yang biasa menggunakan peranti Asus, perubahan yang kecil ini memudahkan mereka untuk menggunakan Zenfone 3.

Berikut ialah beberapa fungsi tambahan yang terbina di dalam ZenUI.

Themes – Mengubah teman antaramuka peranti. Pelbagai tema baru boleh dimuat turun secara percuma ataupun dibeli.

One Hand Mode – Mengecilkan saiz skrin bagi memudahkan penggunaan sebelah tangan. Tekan butang home sebanyak dua kali untuk mengaktifkan mod ini.

Motion Gesture – Mengawal peranti dengan pergerakan peranti.

  • Flip – Menutup deringan telefon dengan menelangkupkan peranti.
  • Hands Up – Menjawab telefon dengan meletakkannya terus ke telinga.

Touch Gesture – Melancarkan aplikasi dengan melakukan sentuhan atau lakaran jari pada skrin.

  • Dwi-tap – Menghidupkan atau mematikan skrin dengan menekan skrin sebanyak dua kali.
  • Gesture – Lakaran huruf tertentu pada skrin yang dimatikan akan melancarkan aplikasi dengan pantas. Sebagai contoh lakaran huruf “C” akan melancarkan aplikasi kamera.

Screen Capture – Merakam paparan skrin dengan menekan butang multi tasking selama beberapa saat.

Kids Mode – Menetapkan akses kepada aplikasi tertentu sahaja apabila digunakan kanak-kanak.

Zenfone-3-UI-1 Zenfone-3-UI-2 Zenfone-3-UI-3

Pengimbas Cap Jari

Zenfone 3001Pengimbas cap jari pada panel belakang berbentuk bujur dan sentiasa aktif. Untuk mengimbas ia tidak perlu ditekan terlebih dahulu seperti yang digunakan pada Xiaomi Mi 5 dan Samsung Galaxy S7 Edge. Masa mengimbas adalah pantas setanding dengan peranti kelas pertengahan lain seperti Xiaomi Redmi Note 3. Sungguhpun begitu ia masih tidak sepantas yang kami temui pada Oppo F1 Plus.

Dari segi ketepatan pula kami rasakan ia masih perlu dipertingkatkan. Kadang kala ia gagal mengimbas jari yang diletakkan sehingga menyebabkan sistem keselamatan diaktifkan. Apabila ini berlaku pengimbas cap jari terus dinyahaktif dan pengguna perlu memasukkan kod khas untuk menyahkunci peranti.

Selain menyahkunci peranti ia turut boleh digunakan untuk melakukan fungsi di bawah. Ini amat kami hargai kerana seperti yang dilihat pada peranti Huawei, fungsi tambahan ini akan menjadikan pengimbas lebih bermanfaat kepada pengguna.

  • Menjawab panggilan – Menjawab panggilan dengan meletakkan jari pada pengimbas.
  • Melancarkan kamera – Melancarkan aplikasi kamera dengan pantas dengan menekan pengimbas cap jari sebanyak dua kali.
  • Pengatup kamera – Menangkap gambar dengan meletakkan jari pada pengimbas. Berguna ketika mengambil gambar selfie.

Kamera

Kamera utama 16 Megapixel f/2.0 dengan OIS dan sistem pemfokusan laser dipadankan dengan kamera selfie 8 Megapixel f/2.0. Seperti yang ada sebutkan sebelum ini, kamera utama Zenfone 3 adalah unik bagi peranti kelas pertengahan kerana sokongan OIS dan kemampuan merakam video pada resolusi 4K. Pada tetapan 16 Megapixel gambar diambil pada nisbah 4:3. Untuk menangkap gambar pada nisbah 16:9, resolusi kamera diturunkan ke 12 Megapixel. Pilihan rakaman video pula ialah 4K 30FPS, 1080P 30 FPS, HD dan SD. Kami sedikit terkilan dengan ketiadaan mod rakaman 1080P 60 FPS.

Antaramuka kamera adalah mudah difahami dengan butang mengambil gambar dan video sentiasa terpapar pada skrin. Terdapat beberapa pratetapan disertakan untuk mengambil gambar seperti Super Resolution yang mengambil gambar pada resolusi 64 Megapixel, Low Light dan Children yang mengesan wajah anak kecil untuk rakaman automatik. Pratetapan untuk video juga disertakan untuk mod rangkapan perlahan, pantas dan masa bergerak secara terbalik.

Paling menarik bagi kami ialah pelbagai mod untuk rakaman selfie. Wajah pengguna boleh diubah menggunakan perisian kecantikan terbina. Pipi boleh dikuruskan, kedut boleh diratakan, kulit boleh diputihkan, solekan boleh dikenakan dan mata boleh dibesarkan sehingga menjadi seperti watak anime. Kepada penggemar selfie yang narsis, pelbagai tetapan yang disertakan akan memastikan gambar wajah anda sentiasa sempurna walaupun palsu.

Zenfone-3-Camera-UI

Kualiti gambar yang diambil menggunakan kamera utama pada pendapat kami kurang memuaskan. Apabila menghasilkan peranti kelas pertengahan, kemampuan kamera yang baik ialah perkara pertama yang sering dikorbankan oleh kesemua pengeluar. Gambar yang diambil adalah gelap dengan penghasilan warna yang tidak bermaya tanpa mengira situasi pencahayaan.

Tahap pemfokusan pula tidak tajam dengan tahap keperincian gambar yang kurang memuaskan. Fenomena noise yang ketara dapat dilihat di dalam situasi pencahayaan yang kurang baik. Kemampuan kamera boleh dikategorikan sebagai sederhana sahaja. Sesuai bagi mereka yang hanya ingin memuat naik gambar ke media sosial.

Kualiti kamera hadapan pula tidak sebaik utama. Tetapi ini dijangka kerana saiz sensor lebih kecil. Namun jika dibandingkan dengan kualiti kamera hadapan peranti pesaing ia sekali lagi adalah setanding.

Zenfone 3 004

Zenfone 3 003Zenfone 3003Zenfone 3 001 Zenfone 3 002 Zenfone 3002Zenfone 3001

 

Penanda Aras

Zenfone 3 ZE552KL ialah antara peranti terawal menggunakan pemproses Snapdragon 625. Hanya Galaxy C7 dan Lenovo Vibe P2 diumumkan menggunakan pemproses kelas pertengahan ini. Dari markah penanda aras di bawah, jelas kemampuan memprosesnya di bawah Snapdragon 650 (Xiaomi Redmi Note 3 dan Sony Xperia X) dan Snapdragon 652 (Vivo V3 Max). Markah yang dicatatkan pada Quadrant ialah 38938, Antutu ialah 62467 markah dan Futuremark ialah 13839 markah.

Bagaimana pula dengan penggunaan harian? Zenfone 3 ZE552KL ialah peranti Android Marshmallow pertama yang kami sedari mempunyai sedikit sela masa. Apabila skrin ditatal, animasi pergerakan skrin adalah tidak berapa lancar. Apabila beberapa aplikasi dilancarkan serentak sela masa ini semakin jelas kelihatan. Sebagai contoh apabila beberapa aplikasi sudah dilancarkan dan kami melancarkan kamera, aplikasi ini hanya muncul di skrin selepas sesaat. Ini mungkin bukan masa yang lama tetapi sepanjang tahun ini kami tidak menemui masalah sela masa yang serupa pada peranti lain yang diulas. Apabila ianya berlaku ia amat mudah dilihat.

Sepanjang tempoh ulasan tiada masalah kepanasan melampau berlaku. Aplikasi dapat dipasang tanpa ia tertutup secara tiba-tiba. Kelemahan hanyalah sela masa yang berlaku apabila terlalu banyak aplikasi dilancarkan. Apa yang berlaku ini agak mengecewakan kerana peranti ini dilengkapi RAM sebesar 4 Gigabyte.

Zenfone-3-Benchies-2

 


Bateri

Bateri sebesar 3000 mAh yang digunakan tidak boleh ditanggalkan. Pada pengguna biasa peranti dapat bertahan sehingga 22 jam dengan skrin terpasang hampir 8 jam. Ini ialah jangka hayat peranti yang boleh dianggap  baik sekarang sejak penggunaan cip pemproses yang kurang menggunakan bateri serta pengenalan Doze menerusi Android Marshmallow.Terdapat sokongan pengecasan pantas dan pengguna tidak perlu menunggu lama untuk mengecasnya sehingga seratus peratus.

 


Pesaing

Kami membandingkan Zenfone 3 ZE552KL dengan dua lagi peranti kelas pertengahan yang sudahpun memasuki pasaran Malaysia iaitu Sony Xperia X dan Xiaomi Redmi Note 3. Kedua-dua peranti ini dipilih kerana bersaing di dalam pasaran yang sama tetapi dijual pada harga lebih mahal dan murah berbanding Zenfone 3. Ini bagi memberikan anda gambaran apakah yang boleh anda miliki dengan dua bajet berbeza.

Peranti Pesaing
Asus Zenfone 3 ZE552KL Sony Xperia X Xiaomi Redmi Note 3
5.5″ Super IPS+ FHD (401PPI) 5.0″ IPS LCD FHD (441 ppi) 5.5″ IPS LCD FHD (403 PPI)
2.0 x 8 GHz Snapdragon 625 1.8 x 2 + 1.4 x 2 GHz Snapdragon 650 1.8 x 2 + 1.4 x 2 GHz Snapdragon 650
Adreno 506 Adreno 510 Adreno 510
4 Gigabyte 3 Gigabyte 3 Gigabyte
64 Gigabyte 32 Gigabyte (256 GB MikroSD) 32 Gigabyte (128 GB MikroSD)
Kamera Utama 16 Megapixel f/2.0, OIS, Laser Kamera Utama 23 Megapixel f/2.0, PDAF Kamera Utama 16 Megapixel f/2.0, PDAF
Kamera Hadapan 8 Megapixel f/2.0, Kamera Hadapan 13 Megapixel, f/2.0 Kamera Hadapan 5 Megapixel f/2.0
3000 mAh (Tidak boleh dibuka) 2620 mAh (Tidak boleh dibuka) 4000 mAh (Tidak boleh dibuka)
RM 1699 RM 2499 RM 849

Kesimpulan

Mari bercakap tentang perkara yang kami sukakan mengenai Zenfone 3 ZE552KL. Ia adalah peranti kelas pertengahan dengan rekaan paling premium yang pernah kami gunakan. Malahan kualiti kemasan yang digunakan lebih baik dari beberapa peranti utama yang kami temui. Kombinasi kerangka logam dan panel kaca membuatkannya selesa untuk dipegang. Zen UI 3.0 pula menyertakan pelbagai fungsi tambahan yang akan memudahkan penggunaannya. Mod satu tangan mengecilkan paparan skrin dengan hanya menekan butang home sebanyak dua kali. Pengimbas jari pada panel belakang boleh digunakan untuk melancarkan kamera dengan pantas dan menjadi butang pengatup untuk menangkap gambar. Ketahanan bateri juga memuaskan dengan skrin terpasang hampir 8 jam pada penggunaan sederhana. Sokongan pengecasan pantas memastikan bateri dapat dicas tanpa menunggu dengan lama.

Perkara negatif pertama yang ingin kami sentuh ialah masalah lama yang ditemui pada model-model Zenfone sebelum ini. Masih tiada sokongan lampu pada butang navigasi kapasitif. Aplikasi gendut juga masih terlalu banyak walaupun jumlahnya sudah berkurangan berbanding yang kami temui pada Zenfone 2 tahun lalu. Masalah sela masa juga boleh dilihat selepas beberapa aplikasi dilancarkan. RAM sebesar 4 Gigabyte tidak menyelesaikan masalah ini.

Zenfone 320160809_134918-007

Kemampuan kamera hanya sederhana dan setanding peranti kelas pertengahan lain yang kami ulas tahun ini. Gambar yang diambil tidak berapa tajam dengan penghasilan warna yang agak kelam. Ia hanya sesuai untuk kegunaan muat naik di media sosial. Apabila gambar dilihat pada skrin komputer, kelemahannya mula terserlah.

Secara keseluruhan Zenfone 3 ia peranti kelas pertengahan yang mempunyai binaan yang menakjubkan tetapi masih dihantui pelbagai kelemahan Zenfone 2. Asus memberikan tubuh luaran yang menakjubkan tetapi tidak memberikan perhatian kepada perisian yang masih bermasalah dan aplikasi terpasang yang tidak diperlukan. Diharap dengan Zenfone 4 kelak mereka akan mendengar maklum balas pengguna dengan lebih teliti. Jika anda mahukan peranti dengan binaan yang amat baik ini peranti untuk anda asalkan anda tidak kisah dengan sedikit sela masa dan kamera yang hanya berkemampuan sederhana.

Kelebihan Kekurangan
  • Kualiti bahan binaan kemasan yang amat baik. Setanding dengan majoriti peranti utama yang kami lihat tahun ini.
  • Selesa dipegang kerana menggunakan rekaan bulat pada sisi dan kaca 2.5D pada bahagian hadapan.
  • ZEN UI 3.0 memberikan pelbagai fungsi tambahan yang tidak ditemui pada Stock Android.
  • Hayat bateri yang agak baik.
  • Kamera dengan sistem OIS.
  • Masih tiada sokongan lampu pada butang navigasi kapasitif di bahagian dagu.
  • Sela masa masih berlaku apabila banyak aplikasi dilancarkan sedangkan RAM 4 Gigabyte digunakan.
  • Masih terlalu banyak aplikasi gendut disertakan.

Skor-Amanz-Zenfone-3

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd