Metal Gear Survive Diumumkan – Permainan Pasukan Atas Talian Menentang Zombie

Metal Gear Survive Diumumkan – Permainan Pasukan Atas Talian Menentang Zombie

Diterbitkan pada Ogos 18, 2016 oleh .

Ura-ura Konami akan menghasilkan permainan baru menggunakan nama Metal Gear sudah lama didengari. Mereka sudahpun melancarkan mesin pachinko MGS3 beberapa bulan lalu yang menerima cemuhan peminat siri yang dipopularkan oleh Hideo Kojima. Semalam Konami melancarkan trailer permainan baru Metal Gear Survive dan sekali lagi reaksi peminat secara majoritinya turut negatif.

Ini bukan pengembaraan terkini Big Boss atau Solid Snake. Sebaliknya dari trailer pendek ini ia adalah permainan pasukan atas talian yang meletakkan pemain sebagai askar menentang gerombolan makhluk seakan zombie. Sungguhpun tidak memaparkan watak kegemaran Big Boss, Survive berlaku selepas insiden letupan Mother Base di akhir Metal Gear Solid V : Ground Zeroes. Empat orang pemain membentuk sebuah pasukan yang cuba kekal hidup selepas disedut portal ke dunia yang dipenuhi makhluk zombie. Ia akan hadir pada PlayStation 4, Xbox One dan PC.

Sebagai peminat siri Metal Gear, apa yang dilakukan oleh Konami terhadap Kojima adalah tidak dapat dimaafkan. Pada waktu yang sama kami mahukan permainan baru MG untuk dimainkan. Seperti siri filem, jalan cerita baru oleh pengarah berlainan kadang kala boleh memberikan pengalaman baru yang menarik. Penggunaan zombie ini bukanlah perkara yang aneh kerana watak-watak musuh di dalam siri MG ada yang lebih aneh (seperti pasukan parasit Skulls dan unit Beauty and The Beast ). Kami hanya akan mengomen lebih lanjut mengenai Survive apabila lebih banyak maklumat diketahui. Apa pula pendapat anda? Adakah anda berminat dengan premis Survive?


TIPS & ULASAN