Masalah Batterygate nyata lebih serius dari yang disangka. Sehingga hari ini enam peranti gantian dengan bateri “selamat” dilaporkan meletup secara tiba-tiba. Bagi mengelakkan insiden yang lebih teruk berlaku Samsung akhirnya mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai Note 7 hari ini. Mereka menyeru kesemua pemilik untuk menghentikan penggunaan peranti secara serta merta.
Penjualan Galaxy Note 7 serta program tukar ganti turut akan digantung buat masa ini. Semalam Samsung mengeluarkan kenyataan akan menjadualkan semula jualan Note 7 untuk seketika. Mereka turut akan bekerjasama dengan pihak berwajib untuk melakukan siasatan dan mencari sumber yang menyebabkan peranti phablet ini meletup.
Kemaskini – Untuk pengguna tempatan, anda boleh menghubungi Samsung Malaysia di talian 1-800-88-7799 untuk maklumat penuh berkaitan peranti Note 7 anda. Memandangkan ia masih belum dilancarkan secara rasmi di Malaysia, maka kuantiti yang terlibat adalah sangat sedikit berbanding negara-negara lain.