Bermula Januari 2017, peranti 4G yang dijual di Indonesia perlu mematuhi keperluan 30% “komponen” buatan tempatan. Ini boleh wujud dalam bentuk pemasangan, pembuatan dan penghasilan perisian di dalam Indonesia. Kerana syarat keperluan ini Apple iPhone 7 masih belum dijual secara rasmi di negara jiran Indonesia. Penantian penjualan secara rasmi ini akhirnya berakhir bagi peminat Apple di Indonesia.
Apple dilaporkan melakukan pelaburan bernilai $44 Juta (~Rupiah 590 Billion) untuk membuka sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan di Indonesia. Berita pembinaan pusat ini telah kami laporkan November lalu dan jumlah pelaburan yang dilakukan hanya diketahui hari ini. Sijil kandungan tempatan diterima oleh Apple bulan lalu dan disahkan oleh I Gusti Putu Suryawirawan – Direktur Jenderal Industri Logam, Mesin, Alat Transportasi, dan Elektronika Indonesia.
Dengan jumlah penduduk mencecah 250 Juta, Indonesia ialah pasaran yang lumayan bagi pengeluar peranti pintar kerana peratusan penggunaannya yang tinggi. Samsung merajai pasaran Indonesia dengan pegangan 26% diikuti oleh Oppo dengan 19%.