MWC 2017 : LG G6 – Peranti Pertama Dengan Skrin Bernisbah 18:9
Artikel Berkaitan
LG

MWC 2017 : LG G6 – Peranti Pertama Dengan Skrin Bernisbah 18:9

Diterbitkan pada Mac 6, 2017 oleh .

Saban tahun, LG gemar mengeluarkan peranti-peranti pintar dengan gimik yang agak unik. Di antaranya LG G4 dengan cangkerang belakang yang diperbuat daripada kulit, manakala LG G5 pula hadir dengan mod yang boleh ditukar-tukar.

Spesifikasi

LG G6
Skrin 5.7″ IPS LCD 1440 x 2880 pixel
Pemproses Qualcomm Snapdragon 821
Cip Grafik Adreno 530
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 32/64 Gigabyte (MikroSD sehingga 256 GB)
Kamera Utama 13+13 Megapixel, OIS, f/1.8 + f/2.4
Kamera Depan 5 Megapixel f/2.2
Bateri 3300 mAh (Tidak boleh tanggal)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Bicu Audio Ya

Tahun ini tiba giliran LG G6 dan dengan peranti ini, nampaknya LG bakal lebih mementingkan fungsi daripada rekabentuk. Pertama sekali, peranti LG G6 mempunyai skrin paparan bersaiz 5.7 inci. Apa yang membuatkan paparan ini sedikit lain daripada yang lain ialah nisbah paparannya 18:9 dengan resolusi 2880×1440 pixel. LG menamakan paparan unik ini sebagai paparan FullVision dan melaluinya, LG G6 mampu melakukan pelbagai tugas multi-tasking dengan lebih mudah.

Nisbah paparan ini membolehkan pengguna membuka dua aplikasi pada masa yang sama, dan memberi setiap satu aplikasi ini ruang yang cukup besar untuk digunakan secara selesa. Dalam pada itu, reka-bentuk yang runcing ini membuat penggunaan satu tangan sangat mudah dan selesa, walaupun dengan saiz paparan sebesar 5.7 inci.

Paparan FullVision ini juga mempunyai satu lagi kelebihan, iaitu sokong HDR 10. Kebiasaannya untuk peranti kecil seperti telefon pintar, kami akan tanyakan mengapa perlu ditambah ciri yang selalunya orang kaitkan dengan televisyen bersaiz besar, dan persoalan minda ini dijawab oleh sebuah servis penstriman video yang sangat popular di seluruh dunia: Netflix.

Tidak lama lagi, Netflix bakal mengemaskini aplikasi mudah-alih mereka, dan kemaskini ini termasuklah penambahan ciri penstriman dengan menggunakan teknologi HDR. Menurut Netflix, buat masa ini, satu-satunya peranti pintar yang menyokong teknologi ini ialah LG G6, dan ini berkemungkinan besar kerana pada waktu Netflix sedang menguji ciri tersebut, hanya LG mempunyai peranti dengan paparan yang menyokong teknologi HDR ini.

Salah perkara yang mengecewakan kami tentang peranti LG G6 ini ialah penggunaan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 821. Terdapat banyak ura-ura yang mengatakan bahawa LG tidak dapat menggunakan cip Snapdragon 835 yang terbaru kerana Samsung telah memborong kesemua stok awal premproses ini untuk peranti Samsung Galaxy S8 mereka.

Cip pemprosesan Snapdragon 821 bukanlah calang-calang kebolehannya tetapi adalah aneh melihat peranti utama keluaran 2017 yang tidak dilengkapi pemproses paling terkini.

LG G6 ini dilengkapi RAM sebesar 4GB serta pilihan storan 32GB atau 64GB yang boleh ditambah menggunakan kad MikroSD. Anda juga tidak perlu risau tentang jangka-hayat bateri, kerana LG G6 ini hadir dengan bateri sebesar 3300mAh. Dari segi pengecasan pula, peranti ini menggunakan port USB 3.1 Type-C yang menyokong pengecasan pantas QuickCharge 3.0.

Sistem dwi-kamera akhirnya digunakan secara meluas pada peranti-peranti utama tahun lalu. LG antara pengeluar terawal menggunakannya pada G5 dan meneruskannya pada G6. Kedua-dua lensa ini mempunyai sensor 13MP dengan OIS dengan dua fungsi berbeza. Kamera pertama adalah kamera dengan lensa biasa, manakala kamera kedua mempunyai lensa sudut lebar yang membolehkan pengguna mengambil gambar-gambar yang lebih lebar. Kamera pandang hadapan kamera 5MP dengan lensa sudut lebar digunakan bagi mereka yang gemar mengambil gambar selfie secara berkumpulan.

Kamera LG G6 ini mempunyai beberapa fungsi-fungsi yang menarik, seperti mod 1:1, yang membolehkan anda mengambil gambar berbentuk segi empat sama yang sangat sesuai bagi mereka yang gemar menggunakan Instagram.

Seperti yang kami katakan sebelum ini, LG kini lebih mementingkan fungsi daripada rupa dan gimik. Selari dengan hala tuju baru ini, mereka telah menghentikan projek aksesori modular yang diperkenalkan dengan LG G5.

Rekabentuk

Rekabentuk LG G6 yang agak unik kerana bezel tepi peranti yang lebih nipis berbanding pada model sebelum ini. Sewaktu kami membelek telefon, ada masa apabila kami tersentuh paparan tersebut secara tidak sengaja. Ini membuatkan aplikasi yang digunakan melakukan sesuatu yang kami tidak mahu atau berhenti secara tiba-tiba ketika menatal skrin.

Kualiti binaan peranti LG G6 ini di antara yang terbaik kami lihat di MWC setakat ini kerana cangkerang logam yang dipadankan dengan rekaan bucu bulat membuatnya tidak kelihatan begitu agresif. Menurut jurucakap LG, rekaan sebegini dilakukan supaya jika peranti ini jatuh, kemungkinan retakan teruk berlaku dapat dikurangkan.

Sayang sekali denganrekaan terbaru ini, bateri tidak lagi boleh ditanggalkan seperti pada LG G4 dan LG G5. Akan tetapi, LG menutup kelemahan ini dengan menambah kemampuan kalis air dan debu dengan pengesahan IP68.

Setiap kali LG mengeluarkan peranti yang baru, ianya bagaikan mereka pergi ke meja lukisan dengan idea-idea yang baru. Kadang-kala ia berkesan dan kadang-kala ia tidak. Pada pendapat kami dengan G6, LG berada di landasan yang betul.

Rekabentuk peranti ini yang tirus dan mudah digunakan dengan satu tangan walaupun mempunyai skrin 5.7 inci yang agak besar. Ditambah pula dengan sokongan HDR, yang bakal dapat digunakan dengan aplikasi Netflix dan Amazon Video, ia pastinya akan menjadi peranti menonton media mudah alih yang hebat.

Antaramuka

Dari segi aplikasi pula, LG G6 hadir dengan beberapa ciri-ciri baru yang agak menarik. Pertama sekali ialah sokongan untuk Google Assistant, pembantu maya kecerdasan buatan Google yang terbaru. Kegunaannya sama seperti Google Now tetapi dengan perbezaan terbesar Google Assistant mampu berinteraksi serta menjawab semua pertanyaan anda secara bersahaja.

Pengguna turut boleh mengubahsuai home screen  dengan sokongan talam aplikasi ataupun tidak. Pilihan ini sangat bagus kerana ada di antara mereka yang mahukan antaramuka yang berbeza. Bercakap tentang antaramuka ini, pengguna juga mempunyai pilihan untuk menggunakan antaramuka dengan tema serta set ikon berbeza. Secara peribadi, saya kurang berminat dengan rekaan antaramuka asal LG, jadi pilihan-pilihan kustomasi ini sangatlah dialu-alukan.

Kesimpulan

Bagi kami, peranti LG G6 ini hanya mempunyai beberapa kelemahan yang ketara. Penggunaan cip pemprosesan Snapdragon 821 yang sudah agak ketinggalan dan harga jualan yang mencecah $ 800 menjadikan peranti yang kurang kompetitif. Cip Snapdragon 821 ini merupakan pemproses untuk kegunaan peranti utama tahun lalu dan harga jualannya tidak harus setinggi ini.

Kelemahan yang kedua? Jika peranti LG yang terdahulu boleh dijadikan sebagai kayu pengukur, ada kemungkinan besar LG G6 ini hanya akan tiba di pasaran tempatan enam bulan selepas pelancaran rasminya di Korea dan pasaran-pasaran utama yang lain.

Tetapi tidak dapat dinafikan dengan penggunaan skrin memanjang, sokongan HDR dan kemampuan kamera yang menarik LG G6 masih boleh melakar pasaran yang unik di pasaran. Tiada peranti seumpamanya dihasilkan oleh pengeluar lain. Oleh itu teruskan bersama Amanz untuk ulasan peranti ini setibanya ia di pasaran Malaysia kelak.


TIPS & ULASAN