Cari @ Amanz

Peranti dengan RAM sebesar 6 Gigabyte masih lagi minoriti di pasaran Malaysia. OnePlus 3 ialah peranti pertama yang menggunakan RAM sebesar ini di Malaysia. Kini tiba giliran Samsung Galaxy C9 Pro pula muncul di pasaran dengan saiz RAM yang sama. Apakah yang menarik dengan peranti ketiga Samsung yang dilancarkan di Malaysia tahun ini?

Spesifikasi

Samsung Galaxy C9 Pro
Skrin 6″ SAMOLED FHD (367 PPI)
Pemproses Snapdragon 653
Cip Grafik Adreno 510
RAM 6 Gigabyte
Muatan Dalaman 64 Gigabyte (Kad MikroSD sehingga 256 GB)
Kamera Utama 16 Megapixel f/1.9
Kamera Depan 16 Megapixel f/1.9
Kalis Air Tidak
Bateri 4000 mAh (Pengecasan Pantas)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano / Bukan HIbrid
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Pengimbas Cap Jari Ya
Bicu Audio Ya
Harga RM 2299

Skrin SAMOLED sebesar 6″ dengan resolusi HD penuh digunakan pada peranti ini. Ia adalah sedikit lebih besar dari yang ditemui pada Galaxy A7 2017 yang turut di pasaran sekarang.

Pemproses Snapdragon 653 dipadankan dengan RAM sebesar 6 Gigabyte dan storan 64 Gigabyte. Bagi yang mahukan storan tambahan kad MikroSD sehingga 256 Gigabyte boleh digunakan. Talam khas disediakan untuk MikroSD dan ia tidak akan mengganggu penggunaan dwi-SIM Secara serentak. Hanya satu sahaja model ditawarkan di Malaysia dengan pilihan warna hitam, emas dan ros merah.

Kamera sebesar 16-Megapixel f/.9 dengan PDAF digunakan pada panel belakang. Kamera hadapan juga sebesar 16-Megapixel f/1.9 tetapi tiada sokongan flash. Sungguhpun dilengkapi pemproses Snapdragon 653, rakaman video hanya boleh dilakukan pada resolusi maksimum 1080P 30 FPS sahaja. Pemproses ini cukup berkuasa untuk melakukan rakaman 4K 30FPS dan 1080P 60FPS. Ini boleh dianggap merugikan kerana kuasa pemproses tidak digunakan dengan penuh.

Bergerak kepada bateri, sebuah bateri dengan kapasiti 4000 mAh digunakan. Ia menyokong pengecasan pantas Adaptive Fast Charging melalui port USB-C.

Bicu audio 3.5mm masih disertakan begitu juga dengan sistem NFC dan pengimbas cap jari pada dagu peranti. Sedikit aneh disini ialah walaupun mempunyai NFC dan pengimbas cap jari, Galaxy C9 Pro nampaknya tidak menyokong Samsung Pay. Tidak seperti Galaxy A 2017, ia tidak mempunyai kemampuan kalis air IP68.

Oleh itu bolehlah dikatakan Samsung Galaxy C9 Pro mempunyai skrin lebih besar, pemproses lebih berkuasa, RAM lebih besar dan tubuh logam berbanding Galaxy A 2017. Tetapi ia kehilangan sokongan Samsung Pay dan kemampuan kalis air IP68.

Rekabentuk

Wujud pepatah melayu “pelanduk dua serupa”. Di dalam kes C9 Pro pepatan baru “peranti tiga serupa” boleh digunakan. Tidak dapat dinafikan C9 Pro mempunyai rekaan seperti sebuah Oppo R9s Plus dan Apple iPhone 7.

Panel logam pada bahagian belakang mempunyai garis antena yang sama seperti pada  R9S. Kemasan belakang tidak terlalu licin dan tidak memerangkap cap jari dengan mudah. Lensa kamera pada panel belakang ini sedikit terkeluar dan ini menyukarkannya untuk diletakkan rata pada permukaan meja. Aneh sekali sensor kamera yang sama digunakan pada A7 2017 tetapi pada peranti ini kamera tidak terkeluar dari panel belakang.

Sisi bulat dipadankan dengan skrin 2.5D serta panel belakang yang agak melengkung membuatkan peranti selesa dipegang. Kerana keseluruhan peranti diperbuat daripada logam, ia tidak terasa licin jika dibandingkan dengan peranti keluarga Galaxy A 2017 yang mempunyai panel kaca.

Pada sisi kiri terdapat butang kuasa yang terdiri dari dua butang berbeza. Kedua-duanya diperbuat daripada logam. Pada sisi kanan pula terdapat butang kuasa, talam dwi-SIM dan talam kad MikroSD. Kedua-dua talam memerlukan jarum untuk dikeluarkan dari kerangka peranti.

Pada bahagian bawah terdapat port pengecasan UBS-C dan satu pembesar suara. Galaxy C9 Pro menyokong audio stereo dengan terdapat pembesar suara pada panel hadapan. Ini ialah sistem yang sama seperti yang ditemui pada HTC U Ultra dan iPhone 7.

Pengimbas cap jari merangkap butang home diletakkan pada bahagian dagu. Ia dihimpit dengan butang back pada bahagian kiri dan butang multi tasking pada bahagian kanan. Kedua-dua butang navigasi kapasitif ini mempunyai sokongan lampu. Tiada masalah menggunakan C9 Pro pada waktu malam.

Samsung Galaxy C9 Pro mempunyai rekaan yang selesa dipegang. Kemasan adalah baik tetapi pada hemat kami ia tidak secantik peranti keluarga Galaxy A 2017. Walaupun mempunyai skrin bersaiz 6″, ia masih selepas dipegang kerana mempunyai panel belakang melengkung dan sisi dibulatkan. Tiada masalah ia mudah terlepas dari tangan kerana kemasan yang tidak licin.

Antaramuka

Android 6.0.1 Marshmallow digunakan dengan pelancar Grace UX yang kini digunakan pada kesemua peranti Android Nougat Samsung. Ini membuatkan peranti kelihatan lebih kemas dan minimalis. Kami sedikit kecewa kerana Samsung masih menggunakan Marshmallow pada peranti yang dijual pada tahun 2017. Ini ialah rungutan yang sama untuk peranti Galaxy A 2017 sebelum ini. Ya kami sedari C9 Pro dilancarkan November tahun lalu tetapi dengan Android O sudah semakin hampir ingin dilancarkan, penggunaan Marshmallow adalah amat dikesali.

Perkara positif yang boleh dikatakan tentang peranti Samsung ialah kesemua fungsi yang wujud pada peranti utama kini mula disertakan pada peranti kelas pertengahan atas. Antaramuka Grace UX digunakan pada Nougat dam Marshmallow. Berikut ialah fungsi-fungsi tambahan yang disertakan pada Galaxy C9 Pro.

  • Info
  • Palm Capture – Menangkap gambar paparan skrin dengan menggunakan telapak tangan.
  • Info
  • Smart Stay – Skrin tidak akan terpadam selagi ia mengesan mata anda memandang skrin.
  • Info
  • Direct Call – Peranti melakukan panggilan telefon secara automatik apabila ia diletakkan ke telinga pengguna.
  • Info
  • Easy Mute – Mematikan nadi dering dengan meletakkan tangan di atas skrin atau menelangkupkan peranti.
  • Info
  • Multi WIndow – Memaparkan dua aplikasi serentak dengan skrin terbahagi kepada dua.
  • Info
  • Quick Launch Camera – Melancarkan kamera dengan pantas dengan menekan butang home sebanyak dua kali.
  • Info
  • One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin bagi memudahkan penggunaan sebelah tangan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali.
  • Info
  • Themes – Kustomasi antaramuka dengan tema-tema baru yang boleh dimuat turun.
  • Info
  • Game Launcher – Kemudahan merakam video aplikasi permainan serta mematikan kesemua notifikasi apabila ia diaktifkan.
  • Info
  • Screen Grid – Menetapkan saiz grid susunan ikon. Terdapat pilihan 4×4, 4×5 atau 5×5.
  • Info
  • Second Space – Menghalang akses kepada folder tertentu dengan menguncinya dengan cap jari. Second Space juga membenarkan dua aplikasi yang sama seperti WhatsApp digunakan pada satu peranti.

Kesimpulan

Samsung Galaxy C9 Pro ialah peranti yang bersaing secara terus dengan Oppo R9s Plus yang turut baru sahaja dilancarkan. Dari segi saiz, rekaan dan spesifikasi, kedua-dua peranti ini mempunyai spesifikasi yang setanding. Perkara positif yang boleh kami katakan setakat ini ialah peranti berfungsi dengan cukup lancar dengan pelbagai fungsi tambahan yang kini menjadi kebiasaan pada peranti Samsung. Slot dwi-SIM dan kad MikroSD yang tidak berkongsi adalah menarik bagi mereka yang kurang menggemari talam hibrid.

Kemampuan kamera adalah sama seperti yang dilihat pada Samsung Galaxy A7 2017 dan A5 2017. Jika ketiga-tiga peranti dibandingkan C9 Pro mempunyai kelebihan pada saiz skrin, RAM dan bateri yang lebih besar. Tetapi ia kehilangan sokongan Samsung Pay dan kalis air IP68. Jadi terpulang kepada pengguna untuk memilih fungsi manakah yang lebih diperlukan.

Dengan harga jualan RM 2299, ia adalah sedikit lebih murah berbanding Oppo R9s Plus yang dijual pada harga RM 2498. Kedua-dua peranti dua serupa ini bersaing di dalam kategori yang sama. Nantikan ulasan penuh untuk Samsung Galaxy C9 Pro dari kami dalam masa terdekat.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd