Elon Musk merupakan salah satu nama yang tidak asing dalam arena teknologi hari ini, dimana beliau adalah disebalik beberapa syarikat dengan idea yang futuristik. Antaranya adalah Tesla dengan fokus terhadap kenderaan elektrik dan tenaga bateri, SpaceX pula dengan sasaran eksplorasi angkasa dan membawa manusia ke planet Marikh, selain syarikat yang fokus terhadap arena tenaga solar dan juga pengangkutan yang bergerak pantas. Terkini, beliau dilaporkan turut telah memulakan sebuah lagi syarikat baru yang dinamakan Neuralink Corp.
Neuralink ini memfokuskan kepada sokongan menyatukan komputer dengan minda atau otak manusia – sekaligus membawa keupayaan manusia setahap lebih tinggi. Elon Musk memanggil teknologi ini dengan nama “neural lace”, dimana sebuah implan kecil akan dipasang pada otak manusia.
Untuk fasa awal, Neuralink ini dijangka akan memfokuskan kepada implan untuk mengatasi beberapa penyakit yang sukar berkaitan dengan otak – sebelum beralih ke langkah seterusnya yang membolehkan implan dipasang pada otak untuk membawa potensi tambahan untuk otak manusia, lebih-lebih lagi pada era kecerdasan buatan kini.
Walaubagaimanapun, pelbagai pembangunan perlu dilalui, termasuk dalam usaha mencari kaedah bagaimana memasang implan berkenaan dengan selamat selain mengekalkan ia stabil dalam otak manusia.