Ini Adalah Apa Yang Kami Masih Ragu-Ragu Mengenai Samsung Galaxy S8

Ini Adalah Apa Yang Kami Masih Ragu-Ragu Mengenai Samsung Galaxy S8

Diterbitkan pada Mac 30, 2017 oleh .

Samsung Galaxy S8 dan S8 Plus dilancarkan secara rasmi dalam acara yang cukup meriah pagi tadi. Seperti beberapa maklumat yang tertiris sebelum ini, kedua-dua peranti dilengkapi skrin “infiniti” hampir tiada bezel yang memanjang. Ini menjadikannya peranti kedua selepas LG G6 dengan nisbah skrin yang memanjang seperti ini.

Di atas kertas Galaxy S8 mempunyai spesifikasi yang baik serta rekaan yang unik namun kami mempunyai beberapa kerisauan mengenai peranti utama Samsung ini.


01 – Skrin Memanjang

Skrin yang memanjang memang diakui kelihatan unik dan sesuai digunakan untuk menonton video pada peranti. Tetapi hakikatnya peranti pintar tidak digunakan sepanjang masa untuk menonton video. Pada skrin 5.5″ kami sudah menghadapi masalah mengakses keseluruhan permukaan skrin serta antaramuka. Skrin 5.8″ dan 6.2″ kedua-dua model Galaxy S8 ini pastinya lebih sukar untuk diakses dengan sebelah tangan. Ia antara rungutan kami ketika menggunakan Mi Mix tahun lalu.

Samsung Galaxy S8

Tambahan lagi ialah bagaimana dengan aplikasi Android sedia ada? Adakah grafik akan terpampang secara penuh pada skrin dengan mudah. Ketika pelancaran kami terlihat ada aplikasi dengan dua palang hitam pada sisi kerana tidak direka untuk skrin memanjang. Dari segi estetik ini mungkin kurang menyenangkan untuk dilihat. Kesesuaian kesemua aplikasi hanya akan kami ketahui apabila menggunakan S8 dalam masa beberapa minggu akan datang.


02 – Ketahanan Skrin Dan Kos Baik Pulih

Kami bernasib baik dapat menggunakan kesemua peranti dengan skrin sisi yang pernah dihasilkan oleh Samsung. Nasib kami bertambah baik kerana sepanjang tempoh ulasan tidak berlaku kemalangan dimana peranti terjatuh dan retak seribu. Peranti dengan skrin sisi lebih terdedah kepada bahaya ini kerana tidak mempunyai bahagian sisi yang melindunginya dari hentakan.

Samsung Bixby

Walaupun dengan kerangka tahan lasak sekalipun, kami sudah melihat beberapa kes skrin retak apabila terjatuh. Kos menggantikan skrin mencecah RM1000 pada S7. Dengan skrin yang lebih besar dan kompleks, kos menggantikan skrin S8 pastinya lebih menakutkan.


03 – Saiz Bateri

Saiz bateri yang digunakan ialah 3000 mAh pada Galaxy S8 dan 3500 mAh pada S8 Plus. Kedua-dua saiz bateri ini ialah lebih kecil berbanding 3600 mAh yang digunakan pada Galaxy S7 Edge. Tetapi harus diingatkan saiz skrin pada kedua-dua model S8 adalah lebih besar berbanding 5.5″ pada S7 Edge. Ini adalah merisaukan kerana dari pengalaman peribadi skrin peranti ialah komponen yang paling banyak menggunakan bateri.

Samsung Galaxy S8

Pada waktu yang sama S8 dilengkapi pemproses yang paling berkuasa pernah digunakan pada peranti keluarga S8. Kombinasi skrin bersaiz besar, pemproses berkuasa tinggi dan saiz bateri yang kecil ini agak merisaukan kami mengenai hayat penggunanya. Kami difahamkan Exynos 8895 tidak menggunakan bateri yang tinggi, kerana penggunaan rekaan 10nm untuk cip pemprosesannya. Tetapi kami rasakan dengan mengekalkan saiz bateri besar adalah lebih baik kerana akan menambah lagi hayat penggunaan peranti berkenaan.


04 – Kedudukan Pengimbas Cap Jari

Tiada lagi butang Home fizikal serta navigasi kapasitif fizikal pada Galaxy S8. Ketiga-tiga butang navigasi kini di atas skrin sepenuhnya. Oleh itu kedudukan pengimbas cap jari terpaksa diubah ke belakang dan mengambil alih kedudukan pengimbas nadi sebelum ini.

Samsung Galaxy S8

Dari pengalaman menggunakan Galaxy S5, S6 dan S7, kami lebih kerap tersentuh lensa kamera apabila cuba menggunakan pengimbas nadi. Apabila ditambah dengan saiz peranti yang lebih besar dan panjang, ini sedikit sebanyak meningkatkan tahap kesukaran mengakses pengimbas cap jari. Seperti biasa, kita hanya akan mendapat jawapan penuh untuknya selepas mencubanya sendiri pada tangan kami.


05 – Tiada Dwi-Kamera Seperti Pengeluar Lain

Trend semasa untuk peranti utama ialah penggunaan dwi-kamera. Sebelum ini saban tahun peranti keluarga Galaxy S tidak pernah ketinggalan untuk mengikut trend semasa. LG G6, Huawei P10 dan iPhone 7 Plus kesemuanya mempunyai fungsi ini. Kesemuanya turut dilancarkan berbulan lebih awal berbanding Galaxy S8. Adakah penggunaan kamera yang tidak mempunyai perbezaan dengan yang digunakan pada S7 langkah yang baik.

Harus diakui tahun lalu kamera S7 adalah yang terbaik di digunakan pada peranti mudah alih. Tetapi ia sudah berusia apabila dibandingkan dengan sistem dwi-kamera yang membawakan pelbagai fungsi yang tidak mampu dilakukan satu kamera – sebagai contoh untuk memberikan kemampuan zoom gambar yang lebih baik. Kemampuan kamera kini antara faktor utama yang diambil kira sebelum membeli peranti oleh pengguna. Dengan tidak menggunakan dwi-kamera Samsung mungkin melakukan perjudian kerana tidak mengikut trend semasa.


Ini ialah lima kerisauan kami mengenai Samsung Galaxy S8 dan S8 Plus pasca majlis pelancarannya. Kesemuanya hanya akan terjawab selepas kami menggunakan peranti ini sepanjang tempoh ulasan kelak. Teruskan bersama Amanz untuk ulasan Samsung Galaxy S8 dalam masa terdekat. Sementara itu apakah kerisauan (sekiranya ada) anda mengenai peranti utama Samsung ini?


TIPS & ULASAN