Cari @ Amanz

Moto M
Chipset MediaTek Helio P15
CPU 8 x Cortex-A53 2.2 GHz
GPU Mali-T860MP2
Memori 4GB RAM
Storan 32GB, microSD sehingga 128GB
Kamera Utama 16MP f/2.0, 1080p@30fps
Kamera Hadapan 8MP, 1080p@30fps
Skrin 5.5″ IPS LCD, 1080p, 401 ppi
Sambungan Bluetooth 4.1, WiFi b/g/n/ac
Sistem Android 6.0 Marshmallow
Bateri 3050 mAh
Berat & Ketebalan 163g, 7.9mm

Jenama Motorola tidak asing bagi kita, sebuah jenama lagenda yang pernah bersaing dengan jenama telefon Nokia ketika waktu dahulu. Seperti Nokia, Motorola melalui pelbagai cabaran, terutama ketika awal era telefon dengan sokongan skrin sentuh (kapasitif) berkembang. Mereka pernah hadir dengan telefon pintar Android mereka sendiri (di bawah tahun 2012), namun rekaan peranti tidak begitu menarik, antaramuka yang tidak dioptimasikan dengan begitu baik, telah menyukarkan penjualan peranti mereka kepada orang ramai. Pada tahun 2012, Motorola Mobility telah diambil-alih oleh Google, dalam memberi nafas baru pada rekaan dan tampilan antaramuka untuk peranti Motorola.

Ketika di bawah Google, Motorola banyak menghasilkan peranti menarik, seperti siri Moto E, Moto G, dan Moto X. Di antara ketiga-tiga siri tersebut, siri Moto G boleh dikatakan antara siri terbaik sewaktu Motorola di bawah Google, dengan penawaran peranti Android yang berasaskan pengalaman seumpama stock bersama penawaran nilai dan spesifikasi menarik.

Pada Oktober 2014, Motorola Mobility telah diambil-alih oleh Lenovo pula, namun citarasa peranti daripada Motorola-Google masih dikekalkan, dengan pembawakan antaramuka berasaskan seperti stock bersama tampilan rekaan peranti yang ringkas dan moden. Moto M adalah salah satu siri peranti yang dibangunkan Lenovo-Motorola, selepas Moto Z yang terkenal dengan sokongan aksesori modular.

Moto M adalah siri yang mirip seperti Moto G, namun disasarkan untuk pasaran Asia. Ia membawakan spesifikasi kelas pertengahan, yang mana turut dibawa pada keluarga Moto G sebelum ini. Ia juga tampil dengan rekaan logam, yang mana turut hadir pada keluarga Moto G5 setelah dilancarkan pada awal tahun ini. Moto M didatangkan dengan spesifikasi yang amat seimbang dan menarik, seperti kehadiran skrin 5.5-inci, cip pemprosesan lapan teras, memori 4GB RAM, kamera 16MP dan sokongan penataan audio Dolby Atmos. Namun dengan harga RM1199, bolehkah ia memberi nilai yang terbaik pada harga peranti sekelasnya?

Rekabentuk

Moto M dilihat menawarkan peranti kelas pertengahan dengan rekaan yang begitu menarik, melalui elemen binaan yang elegan seperti yang hadir pada peranti Moto yang lalu. Sekilas pandang, ia membawakan rekaan seperti Moto G4, namun kini hadir di bawah model “M” (M mewakili “metal”) dengan binaan berasaskan logam. Tidak seperti peranti terdahulu, ia kini membawa jenama Moto sahaja tanpa sebarang logo Motorola pada tubuh peranti.

Rekaan hadapannya diperbuat daripada kaca 2.5D, sedikit sebanyak menaikkan imej penampilan peranti ini lebih ke hadapan. Apa yang membezakannya dengan Moto G4, ia tidak lagi hadir dengan pengimbas cap jari di bahagian bawah (yang agak hodoh dengan rekaan berkotak), sebaliknya meletakkannya di bahagian belakang dengan rekabentuk bulat. Panel paparan IPS LCD sebesar 5.5-inci yang menghiasi bahagian hadapan peranti dilihat cukup terang dan tajam, melalui resolusi standard 1080p.

Rekaan di bahagian belakang banyak mengambil inspirasi daripada rekaan Moto G4 terutama dari segi kedudukan kamera dan flash. Ia membawakan kedudukan kedua-duanya secara menegak, yang mana hadir dengan rekaan sedikit tersembul keluar. Di bahagian bawah ini menempatkan pengimbas cap jari, yang mana kelajuannya sekitar 0.5s. Ia tidak perlahan dan tidak terlalu pantas, dan saya boleh kata prestasinya menyerupai Redmi Note 4.

Salah satu perkara yang menjadi fokus pada peranti ini adalah kehadiran pembesar suara stereo dengan sokongan Dolby Atmos yang terletak di bawah peranti. Bunyinya sememangnya benar-benar imersif, seolah-olah ia berada berdekatan dengan telinga, apabila menikmati kandungan yang dioptimasikan untuk teknologi audio ini. Berhampiran dengan pembesar suara ini ialah sambungan USB-C bagi menggantikan Micro USB, satu kehadiran yang sangat diterima baik untuk peranti kelas pertengahan.

Pada bahagian atas peranti masih menawarkan earphone jack 3.5mm bersama-sama dengan satu lubang kecil untuk mikrofon. Agak mengecewakan sekali, ia tidak didatangkan dengan fungsi IR blaster (untuk menjadikan peranti sebagai alat kawalan jauh) seperti yang terdapat pada kebanyakan peranti kelas pertengahan yang lain. Aspek lain seperti kedudukan butang pelarasan suara dan butang kuasa ditempatkan di lokasi yang mudah dicapai, iaitu berada bahagian sisi kanan peranti.

Moto M untuk pasaran tempatan hanya didatangkan dengan satu versi sahaja, iaitu versi 32GB + 4GB RAM. Ia dijual pada harga RM1199 melalui pengedar rasmi Lenovo dengan dua tawaran pilihan warna, iaitu Gold dan Grey. Ia juga mempunyai sokongan dwi-sim dengan rekaan berasaskan hibrid, yang mana dikongsi dengan kad microSD (sehingga 128GB) pada ruang sim kedua.

Sistem

Moto M masih mengekalkan penawaran antaramuka seperti peranti Moto sebelum ini dengan penampilan seumpama stock, melalui penggunaan sistem operasi Android 6.0 Marshmallow. Pada antaramuka Moto Home launcher, ia masih mengekalkan paparan dengan app drawer yang mana keseluruhan besarnya menyerupai tampilan Google Now Launcher, tanpa bahagian Google Now di sisi. Ia masih mengekalkan rekaan ikon asal untuk aplikasi luaran serta menampilkan widget jam berbentuk bulat yang cukup sinonim dengan telefon jenama Moto.

Untuk antaramuka utama, Lenovo turut menambah network status indicator pada WiFi, yang mana tidak didatangkan pada antaramuka stock seperti pada peranti Pixel/Nexus. Paparan notification drawer dan Settings juga masih mengekalkan antaramuka stock, tanpa sebarang pengubahsuaian yang dibuat.

Moto M turut membawakan beberapa fungsi tambahan seperti File Manager tersendiri dan FM Radio yang memerlukan sambungan earphone untuk berfungsi. Ia juga kebolehan mengubah warna skrin melalui tetapan Color Mode serta kebolehan melancarkan fungsi kamera dengan menekan butang kuasa sebanyak dua kali. Satu lagi fungsi menarik ialah kehadiran aplikasi Dolby Atmos yang membolehkan anda menetapkan tetapan audio mengikut kegunaan ketika menonton video, mendengar muzik, atau ketika memainkan permainan.

Aplikasi-aplikasi asas seperti Calendar, Gallery, dan Email dilihat telah menggunakan alternatif daripada Google sepenuhnya melalui Google Calendar, Google Photos, dan Gmail. Ia suatu tindakan yang cukup dipuji kerana tidak membebankan peranti dengan aplikasi lain yang turut menawarkan fungsi yang sama. Dari segi bloatware pula, hanya aplikasi daripada Microsoft sahaja yang diletakkan di dalam peranti ini secara tidak diundang seperti Microsoft Office (Word, PowerPoint, Excel, OneNote), Outlook, Skype, dan OneDrive. Kesemua aplikasi ini walau bagaimanapun boleh dibuang sekiranya anda tidak ingin menyimpan atau menggunakannya.

Prestasi

Moto M telah dijana dengan cip pemprosesan MediaTek Helio P15, yang mana merupakan versi kemaskini daripada MediaTek Helio P10. Ia didatangkan dengan binaan 8 teras, yang kesemuanya terdiri daripada Cortex-A53 2.2 GHz. Ia tidak seperti cip 8 teras MediaTek Helio P10 yang mana didatangkan dua kluster berbeza, menerusi 4 x Cortex-A53 1.8 GHz dan 4 x Cortex-A53 1.0 GHz.

Dari segi bacaan benchmark, MediaTek Helio P15 menunjukkan sedikit peningkatan mata melalui AnTuTu Benchmark, dengan mata sekitar 49,091. Jika dibandingkan dengan peranti Flash Plus 2 yang menggunakan cip Helio P10, ia mencatatkan mata sekitar 42,180. Dengan jurang perbezaan mata sekitar 6,911, ia tidak begitu jauh untuk sebuah cip pemprosesan yang dinaiktaraf.

Prestasi di dunia sebenar, MediaTek Helio P15 masih pantas untuk menggalas tugasan harian seperti pembukaan dan membuat penukaran dari aplikasi ke aplikasi. Membuka beberapa aplikasi harian seperti Twitter, Instagram, dan Chrome tidak memerlukan masa yang lama, apatah lagi dengan penampilan antaramuka berasaskan stock yang sememangnya tidak begitu berat.

Prestasi permainannya juga amat sedikit mengejutkan kerana ia sebenarnya boleh memainkan permainan berat seperti Bully: Anniversary Edition dan GTA: San Andreas dengan begitu lancar. Bacaan frame rate yang dipersembahkan daripada kedua-dua permainan ini dilihat begitu konsisten pada tetapan grafik “High”, malah masih boleh dimainkan dengan baik apabila ditukarkan kepada tetapan “Max”. Memainkan permainan kegemaran saya yang lain seperti Dream League Soccer 2017 dan Assassin’s Creed: Identity juga mampu memberikan kelancaran permainan yang sangat memuaskan.

Kamera

Kamera Moto M dijana dengan sensor 16MP f/2.0 bersama sokongan flash dengan dwi-pencahayaan CCT untuk membantu anda mengambil gambar malam. Menariknya, setiap pembelian peranti ini turut didatangkan dengan storan Google Photos tanpa had secara percuma (selama dua tahun) untuk kebolehan memuat-naik gambar pada resolusi original.

Prestasi yang dipersembahkan oleh kamera peranti ini dilihat baik untuk penggambaran harian, melalui pencahayaan imej yang cukup terang untuk kebanyakan situasi penggambaran. Cuma warnanya kadangkala agak sedikit pudar apabila terdapat cahaya berlebihan di belakang objek. Tetapi apabila cahayanya “berpadanan” dengan objek, hasil warna yang dipersembahan menjadi amat sekata dengan perwarnaan yang hampir kepada neutral.

Keperincian imejnya juga kadangkala boleh menjadi sedikit soft sekiranya terdapat berlebihan cahaya di belakang objek. Tetapi untuk penggambaran untuk siang atau keadaan yang mempunyai cahaya yang memadai, hasilnya boleh dirumuskan agak tajam. Prestasi low-light peranti ini juga dilihat mampu mengurangkan sejumlah noise dengan agak baik, cuma warnanya menjadi sedikit oversatured.

Aplikasi kamera pada Moto M menawarkan beberapa fungsi menarik seperti Art Nightscape yang membolehkan pengguna memilih empat preset untuk penggambaran malam seperti City nightscape, Moving People, Stage, dan Indoor low light. Fungsi lain yang hadir adalah Panorama dan Effects yang menampilkan pelbagai jenis filter untuk dipadankan pada gambar pengguna.

Ia juga menawarkan fungsi Pro yang menawarkan kawalan manual seperti kawalan white balance, focus, dan exposure. Pengguna juga diberi pilihan untuk menetapkan shutter speed dari 1/3200 hingga 2/3, dan kawalan ISO dari 100 sehingga 1600. Bagi memudahkan anda mengambil gambar, anda juga boleh mengaktifkan Guidelines (4/9 grid atau Equiangular spiral) dan Triaxial Levelling untuk mememastikan gambar yang diambil di dalam keadaan lurus, tepat, dan seimbang.

Seperti kebanyakan peranti pertengahan, ia juga masih menawarkan rakaman video 1080p@30fps yang mana masih bersesuai untuk penggunaan hari ini. Tetapi apabila bercakap mengenai futureproof, adalah lebih baik untuk mendapatkan peranti lain seperti Xiaomi Mi Max yang mana telah didatangkan dengan sokongan rakaman 4K. Ia juga tidak didatangkan dengan sebarang fungsi tambahan lain seperti rakaman timelapse dan slow-motion yang mana amat menjadi perkara kontra dalam bahagian kamera ini.

Bateri

Moto M telah didatangkan dengan kapasiti bateri sebesar 3050 mAh, iaitu kapasiti standard yang didatangkan pada kebanyakan peranti 5.5-inci. Melalui pengalaman menggunakan peranti dengan kapasiti sebesar ini seperti Flash Plus 2, rata-ratanya mampu mencapai penggunaan sepanjang hari dengan bacaan Screen-on-Time (SoT) yang begitu baik.

Ketahanan bateri Moto M dilihat mampu memberikan bacaan Screen-on-Time (SoT) sekitar 5 jam 12 minit, iaitu sebuah bacaan SoT yang sangat baik kerana melebihi 4 jam, untuk masa bertahan peranti sekitar 24 jam. Apabila dibandingkan dengan Flash Plus 2, ia mampu mencatatkan bacaan SoT sekitar 4 jam 57 minit, yang juga dengan masa bertahan yang sama.

Masa pengecasan peranti pula dilihat amat memuaskan yang mana mengambil masa sekitar 1 jam 48 minit sahaja untuk mengecas peranti ini dari 0-100%. Ia dibantu dengan penggunaan pengecas rapid charger 10W yang mana turut didatangkan bersama-sama dengan peranti ini.

Rumusan

Moto M menawarkan sebuah pakej peranti yang menarik, terutama dari segi rekaannya yang tampil kemas dan elegan. Binaan hadapan yang moden, binaan belakang yang ringkas, menjadikan peranti ini salah satu peranti kelas pertengahan yang hadir dengan rekaan yang menyerlah. Ia juga membawakan salah satu ciri menarik untuk peranti kelas pertengahan, seperti sokongan Dolby Atmos yang memberikan pengalaman pendengaran audio yang cukup imersif.

Walaupun ramai yang skeptik dengan cip daripada MediaTek, Moto M sebenarnya membawakan sudut yang positif dari segi prestasinya. Ia sememangnya benar-benar pantas, terutama dari kelancaran pembukaan aplikasi dan juga memainkan permainan terkini. Begitu juga dari segi jangka hayat baterinya, dengan bacaan SoT sekitar 5 jam 12 minit, ia mampu memberikan penggunaan sepanjang hari dengan masa bertahan yang begitu lama. Dengan kehadiran antaramuka yang kepada stock dan sambungan USB-C, ia memberikan kelebihan bagi yang gemarkan antaramuka dan sambungan moden seperti ini.

Pro
  • Hadir dengan rekaan yang kemas dan elegan.
  • Mampu menawarkan prestasi harian dan permainan yang lancar.
  • Pengimbas cap jari mampu memberi masa tindak balas dengan begitu baik.
  • Menawarkan ketahanan bateri sepanjang hari.
  • Hadir dengan Android 6.0 Marshmallow bersama tampilan ke arah stock.
  • Menyokong sambungan USB-C.
Kontra
  • Hasil penggambaran tidak konsisten dari segi warna dan keperincian imej.
  • Tidak hadir dengan slot sim & microSD secara berasingan.
  • Tiada NFC.

Dari segi kekurangan, prestasi kameranya dilihat mampu mengambil harian yang baik, cuma kadangkala hasilnya tidak begitu konsisten dari segi warna dan keperincian imejnya. Ia juga tidak menyokong NFC, yang mana menyukarkan anda menggunakan peranti sebagai medium pembayaran atau menghubungkan aksesori dengan teknologi ini. Satu lagi perkara adalah kehadiran slot sim hibrid, yang menyukarkan penggunaan memanfaatkan penggunaan kedua-dua sim dan kad microSD secara serentak.

Namun begitu, Moto M masih sebuah peranti harian yang begitu baik, dengan penampilannya yang elegan, prestasinya yang lancar, dan menawarkan jangka hayat bateri sepanjang hari. Ia bersaing dengan beberapa peranti seperti Oppo F1s dan Honor 6X yang juga ditawarkan pada harga sekitar peranti ini. Melalui tawaran harga Moto M yang dijual pada harga RM1199, ia memberikan sebuah peranti kelas pertengahan yang mempunyai rekaan yang menarik bersama spesifikasi yang cukup seimbang untuk kegunaan harian anda.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd