Cari @ Amanz

Media PrimaMedia Prima merupakan salah satu nama yang tidak asing lagi dalam arena penerbitan dan media tempatan. Mereka sedia mempunyai saluran televisyen dan radio yang kukuh. Terkini, Media Prima dilihat ingin turut mengukuhkan kedudukan mereka dalam arena digital – dan dikatakan berminat untuk mengambil alih portal media digital yang dimiliki oleh Rev Asia Berhad.

Rev Asia Berhad merupakan salah satu unit penerbitan digital dibawah Catcha, dan memiliki sejumlah penerbitan, termasuk SAYS, OhBulan – dan baru-baru ini turut telah menambah Sirap Limau, My Resipi dan Kongsi Resipi dibawah portfolio mereka. Menurut The Star, nilai transaksi ini mungkin mencapai RM100 juta.

Selain daripada Rev Asia, kami sendiri mendengar beberapa desas-desus mengatakan Media Prima dalam perbincangan mengambil-alih beberapa portal media digital persendirian yang lain.

Dengan pengambil-alihan ini, ia dijangka akan dapat mengukuhkan kedudukan Media Prima dalam arena digital dengan nilai kunjungan yang tinggi – sekaligus membolehkan mereka menjana pendapatan yang lebih tinggi melalui penjualan pengiklanan.

Media Prima dijangka akan membuat pengumuman rasmi berkaitan dengannya dalam masa terdekat. Mereka telah menangguhkan transaksi saham mereka untuk sementara di Bursa Malaysia buat masa ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd