Telefon selular apa awalnya dikawal dengan menggunakan papan bernombor fizikal sebelum berubah kepada kawalan skrin sesentuh sekarang. Setiap evolusi kawalan peranti membawakan fungsi baru bagi membolehkan peranti dikawal dengan lebih intuitif. Kesemua peranti pintar turut mempunyai fungsi kawalan suara tetap ia kadang kala kurang tepat.
Di HTC mereka merasakan kedua-dua cara kawalan peranti di atas boleh diperhalusi lagi dengan pengenalan fungsi kawalan Edge Sense yang diaktifkan dengan menggenggam peranti. Berikut ialah pandang pertama kami mengenai HTC U11 yang baru sahaja dilancarkan dan fungsi Edge Sense yang dikatakan akan merevolusikan bagaimana peranti dikawal.
Spesifikasi
HTC U11 | |
---|---|
Skrin | 5.5″ QHD Super LCD5 (534 PPI) |
Pemproses | Qualcomm Snapdragon 835 |
Cip Grafik | Adreno 540 |
RAM | 6 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 128 Gigabyte (MikroSD sehingga 2 TB) |
Kamera Utama | 12 Megapixel ,Sensor Ultrapixel, OIS, f/1.7 |
Kamera Depan | 16 Megapixel f/2.0 |
Bateri | 3000 mAh (QuickCharge 3.0) |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano (Talam Hibrid) |
Jalur LTE | 1/3/4/5/7/8/12/17/20/28/32/38/39/40/41 |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tiada |
Kalis Air | IP67 |
Harga Jualan | RM 3099 |
Tempoh Ulasan | 15 Hari |
Kita mulakan dengan spesifikasi. Di atas kertas HTC U11 mempunyai spesifikasi yang tinggi setanding dengan peranti-peranti utama keluaran Samsung, Huawei, Sony, LG dan Xiaomi tahun ini. Pelancarannya yang agak lewat membolehkah HTC menggunakan komponen yang paling berkuasa di pasaran.
Skrin 5.5″ Super LCD5 dengan resolusi QHD digunakan. Ini meletakkan skrin U11 di antara saiz skrin U Ultra (5.7″) dan HTC 10 (5.2″). Paparan adalah tajam dan terang pada peranti ini. Pihak HTC masih belum bersedia untuk berhijrah ke skrin OLED seperti kebanyakan pengeluar lain tahun ini. Sungguhpun mempunyai skrin QHD, U11 tidak tersenarai sebagai peranti yang boleh menggunakan platform Google Daydream buat masa ini.
Skrin dipadankan dengan pemproses Snapdragon 835, RAM 6 Gigabyte dan storan 128 Gigabyte. Bagi yang memerlukan storan tambahan U11 menyokong kad MikroSD sehingga 2 Terabyte. Kad MikroSD ini walaubagaimanapun berkongsi dengan slot nano SIM kedua.
Sedikit melawan arus, HTC U11 mengekalkan konfigurasi hanya satu kamera utama pada bahagian belakang sebesar 12-Megapixel. Kamera ini menggunakan sensor 12 Ultrapixel. OIS ,lensa f/1.7 serta sistem pemfokusan pantas Ultra Speed Auto Focus. Seperkara lagi yang menarik ialah kamera utama ini merakam audio secara tiga dimensi. Ini bagi memberikan audio yang sehampir mungkin kepada dunia sebenar.
Bergerak ke bahagian hadapan, kamera selfie sebesar 16-Megapixel f/2.0 digunakan. Malang sekali ia tidak mempunyai sistem OIS seperti yang ditemui pada HTC 10 tahun lalu. Di dalam dunia di mana penggunaan kamera hadapan semakin meningkat kerana penstriman secara langsung, fungsi OIS pada HTC 10 menerima banyak pujian. Ketiadaannya adalah sedikit dikesali kerana ia sebenarnya mampu memberikan kelebihan kepada U11 berbanding pesaing-pesaing lain.
Dari segi bateri ia hanya dilengkapi bateri sebesar 3000 mAh. Bateri ini kami rasakan terlalu kecil untuk sebuah peranti dengan skrin 5.5″ serta pemproses yang amat berkuasa. Berita baik di sini ialah ia menyokong sistem pengecasan pantas QuickCharge 3.0. Menurut wakil HTC, QuickCharge 4.0 tidak digunakan kerana QuickCharge 3.0 sudah cukup pantas untuk bateri yang digunakan. Seperti Samsung, HTC tidak mengaktifkan sistem pengecasan terpantas QC 4.0 walaupun menggunakan pemproses Snapdragon 835 yang menyokongnya. Pengecasan dilakukan menggunakan port USB-C.
Ya seperti HTC U Ultra, U11 tidak mempunyai bicu audio. Tetapi HTC mempelajari dari kesilapan U Ultra dan menyertakan penyesuai USB-C ke bicu audio 3.5mm di dalam kotak. Bicu audio ini unik kerana mempunyai DAC terbina. Ini bagi mengekalkan kualiti audio apabila isyarat digital diubah kepada analog. Seperkara lagi, penyesuai USB-C ini turut boleh digunakan pada kesemua peranti Android dengan USB-C bagi memberikan audio yang lebih bertenaga.
Sebuah pengimbas cap jari diletakkan pada bahagian dagu dan ia diapit dengan butang back pada bahagian kiri dan multitasking pada bahagian kanan. Tiada pilihan untuk menyusun semula kedudukan butang navigasi kapasitif pada U11. Walaupun mempunyai port pengecasan terbuka, HTC U11 masih memenuhi piawaian kalis air dan debu IP67.
Rekabentuk
Rekaan tidak banyak berubah dari yang ditemui pada U Ultra yang memasuki pasaran Malaysia Februari yang lalu. Panel hadapan menggunakan kaca Gorilla 5 dengan bucu dibulatkan bagi memberikan kesan 2.5D. Panel belakang yang juga melengkung menggunakan kaca Gorilla 3.
Kemasan bahagian belakang U11 adalah amat menarik perhatian. Rekaan yang diberi nama Liquid Surface ini berubah-rubah warna mengikut pantulan cahaya. Lima pilihan warna diberikan dengan warna merah yang paling menyerlah.
Dua panel kaca ini menutupi bahagian sisi yang diperbuat daripada bahan aluminium. Butang kuasa dan suara terletak pada bahagian kanan peranti. Bagi membezakan dua butang ini, butang kuasa mempunyai tekstur yang lebih kasar. Bergerak ke sisi kiri pula terdapat slot untuk talam dwi-SIM dan kad MikroSD. Talam ini perlu dicucuk untuk dikeluarkan.
Pada bahagian bawah pula terdapat port pengecasan USB-C dan satu pembesar audio. Sistem audio stereo disokong seperti pada U Ultra dan HTC 10. Perbezaan kali ini ialah sistem audio BoomSound Hi-Fi Edition yang memberikan audio lebih nyaring berbanding model terdahulu. Walaupun hanya satu pembesar suara terletak pada bahagian hadapan, BoomSound Hi-Fi Edition memastikan bunyi stereo yang dihasilkan adalah seimbang.
Kerana rekaan sisi yang dibulatkan serta panel belakang yang sedikit melengkung peranti ini selesa dipegang walaupun pada jangka masa yang lama. Ia juga kelihatan menarik serta sedap mata memandang. Tetapi pada waktu yang sama panel kaca yang berkilat pada bahagian belakang memerangkap kotoran dengan terlalu mudah.
Berita baik di sini ialah pihak HTC menyertakan satu kerangka lut cahaya dengan setiap pembelian bagi memastikan panel belakang ni tidak mudah mengalami kerosakan.
Antaramuka
Android 7.1.1 digunakan dengan pelancar HTC Sense. Tiada perubahan drastik dilakukan pada antaramuka peranti ini jika dibandingkan dengan HTC 10 dan U Ultra sebelum ini. Reka letak elemen antaramuka masih lagi mempunyai perisa HTC dengan integrasi aplikasi keluaran Google seperti Photos dan Calendar.
Tidak mengejutkan kerana kombinasi perisian yang telah dioptimasi serta spesifikasi yang baik, peranti ini berfungsi dengan cukup lancar. Tiada masalah sela masa kami sedari dan melancarkan aplikasi juga pantas. DI Malaysia model dengan RAM sebesar 6 Gigabyte akan dipasarkan. Saiz RAM yang besar ini akan memastikan masalah kekurangan RAM tidak akan berlaku. Berikut ialah beberapa fungsi yang disertakan pada HTC U11 menerusi pelancar HTC Sense.
HTC Sense Companion – Sistem pintar yang dengan bijak mempelajari bagaimana pemilik menggunakan peranti. Ia boleh mengingatkan pengguna supaya mengecas peranti, memulakan perjalanan dan mengingatkan mereka tentang jumlah langkah yang telah diambil setiap hari.
Motion Launch – Dari skrin tertutup lima aksi dapat dilakukan
- Dwi-Tap – Menyahkunci peranti terus dengan menekan skrin dua kali
- Tatalan ke atas – Menyahkunci peranti walaupun skrin tertutup.
- Tatalan ke bawah dua kali dengan pantas – Melancarkan aplikasi kamera dengan pantas
- Tatalan ke kanan – Melancarkan skrin BlinkFeed
- Tatalan ke kiri – Menyahkunci terus ke skrin home
BlinkFeed – Senarai lengkap berita dan status media sosial terkini dari satu hab khas.
Themes – Terdapat pelbagai pilihan tema dan setiap tema mempunyai dua rekaan berbeza iaitu Classic Layout dan Freestyle Layout.
- Classic Layout – Ikon dan elemen antaramuka disusun rapi menggunakan sistem grid. Ikon aplikasi menggunakan ikon biasa yang anda lihat pada peranti Android lain.
- Freestyle Layout – Rekaan lebih bebas dan abstrak. Ikon aplikasi digantikan dengan pelekat pelbagai bentuk yang boleh diletakkan sesuka hati. Tiada sistem grid. Antaramuka kelihatan seperti gambar.
Edge Sense
Mari tumpukan perhatian kita kepada Edge Sense kerana ia ialah fungsi paling unik pada U11. Dengan Edge Sense keseluruhan sisi kanan dan kiri pada bahagian bawah peranti mampu mengesan tekanan. Sebagai analogi ia bolehlah dikatakan seperti Force Touch tetapi pada bingkai peranti.
Sebelum ia diaktifkan pengguna boleh melakukan tetapan terlebih dahulu bagi memudahkan fungsi ini diaktifkan. Terdapat meter penunjuk yang memperlihatkan tahap kekuatan genggaman pengguna. Selepas ditetapkan terdapat skrin yang membolehkan pengguna melatih menggunakan sistem ini. Secara peribadi kami dengan mudah membiasakan diri menggunakan Edge Sense selepas hanya beberapa minit. Terdapat dua jenis genggaman boleh diprogramkan iaitu genggaman pendek dan panjang.
Kami hanya berharap lebih banyak aksi dapat dilakukan menggunakan sistem kawalan baru ini. HTC menjanjikan sebuah aplikasi pada bulan Julai yang menambah kustomasi Edge Sense di dalam aplikasi pihak ketiga. Sekiranya mereka menepati janji, ia akan membuatkan Edge Sense lebih dari sekadar gimik. Buat masa ini pilihan fungsi masih sedikit dan hanya akan digunakan oleh golongan tertentu sahaja.
Berikut ialah beberapa fungsi menarik yang boleh diprogramkan pada Edge Sense.
Pelancaran Aplikasi Pantas – Aplikasi kegemaran boleh dilancarkan terus dari mana-mana skrin.
Kamera – Melancarkan kamera dari skrin terkunci dengan menggenggam bingkai U11. Selepas kamera dilancarkan, gambar boleh diambil dengan sekali lagi menggenggam bingkai peranti. Mengambil gambar selfie kini lebih pantas.
Melancarkan Lampu Suluh – Genggam bingkai dengan lebih lama dan lampu suluh boleh diaktifkan dengan pantas.
Melancarkan Google Assistant – Google Assistant boleh dilancarkan dengan menekan butang home atau kawalan suara “Ok Google”. Tetapi dengan Edge Sense ia boleh diprogramkan untuk dibuka dengan menggenggam. Amat berguna apabila skrin basah ataupun pengguna sedang memakai sarung tangan
Kamera
Kamera utama sebesar 12-Megapixel f/1.7 dengan sokongan OIS dipadankan dengan kamera hadapan 16-Megapixel. Kamera hadapan aneh sekali tidak mempunyai sistem OIS seperti HTC 10 tahun lalu.
Rakaman gambar pada resolusi 12-Megapixel diambil pada nisbah 4:3. Untuk merakam pada tetapan 16:9, tetapan kamera diturunkan ke 9-Megapixel. Tetapan rakaman video tertinggi pula ialah 4K 30 FPS. Tetapan juga pilihan untuk resolusi FHD 60FPS, HD, QVGA dan MMS.
Antaramuka kamera mudah difahami dan minimalis. Tetapi kami kurang menggemari skrin tetapan kamera. Terlalu banyak tatalan perlu dilakukan untuk menggunakan mod berbeza atau menukar resolusi gambar/video.
Tidak banyak mod tambahan disertakan selain mod video gerak perlahan dan hyperlapse. Mod gambar pula hanyalah panorama dan pro dengan sokongan mengambil gambar RAW.
Sistem Acoustic Focus diperkenalkan. Dari nama ini anda mungkin boleh mengagak rakaman audio akan berubah mengikut tetapan zoom. Apabila pengguna menumpukan zoom pada sesuatu objek, U11 akan menumpukan rakaman audio dari objek dan meredam bunyi lain dari persekitaran. Sekaligus membolehkan rakaman audio yang lebih jelas.
Sebuah lagi fungsi menarik ialah HDR Boost. Dengan fungsi ini rakaman gambar di dalam mod HDR dapat dilakukan dengan lebih pantas tanpa perlu menanti ia diproses. Kepada pembaca yang kerap menggunakan mod HDR, anda pasti sudah lali dengan penantian beberapa saat untuk gambar HDR diproses sebelum pengatup kamera boleh ditekan semula. Sistem baru ini akan menyelesaikan masalah ini.
Kualiti gambar yang diambil menggunakan kamera utama HTC U11 adalah baik. Tetapi adakah ia layak diberikan 90/100 mengikut skala DXOMark? Dari pengamatan kami kualiti kamera adalah tidak setanding Galaxy S8 yang menerima hanya 88/100 mengikut skala DXOMark. Dalam situasi pencahayaan yang baik, kualiti gambar adalah hampir sekata dengan gambar dari S8 sedikit lebih tajam. Warna yang diambil menerusi U11 adalah tepat. Tidak kelihatan hyper-real seperti yang dilihat pada gambar yang diambil menggunakan peranti Samsung sejak turun temurun.
Di waktu malam perbezaan mula dilihat. Kami menyedari apabila menggunakan mod automatik, gambar yang diambil pada waktu malam menjadi terlalu terang (over exposed) sehingga keperincian pada objek hilang dari pandangan. Gambar pada waktu malam yang diambil di bawah memerlukan kami menurunkan tahap dedahan (exposure level) sehingga paling minimum untuk memastikan kenderaan di atas jalan raya masih boleh dilihat. Ini mengakibatkan bahagian langit menjadi terlalu gelap pula. Pengguna perlu bijak mengimbangi tahap dedahan apabila U11 digunakan pada waktu malam.
Kami akui kami adalah manusia pemalas. Kami lebih gemar sekiranya aplikasi kamera melakukan kerja bagi pihak kami. Oleh sebab itulah Galaxy S8 pada hemat kami lebih baik untuk digunakan pada waktu malam. Masalah dedahan berlebihan tidak pernah berlaku kerana perisian kamera yang lebih mudah digunakan.
Bagaimana pula dengan selfie? Dengan sensor sebesar 16-Megapixel kualiti selfie memang amat baik. Mengambil gambar selfie juga mudah kerana hanya perlu menggenggam peranti bagi mengaktifkan Edge Sense.
Audio
Sistem audio berkembar BoomSound HiFi Edition disertakan bagi memberikan sokongan audio stereo. Ia memang tidak mengecewakan kerana perubahan yang dilakukan pada kebuk audio. HTC masih yang terbaik dalam dunia audio untuk telefon pintar. Tetapi pada waktu yang sama kedudukan salah satu dari pembesar suara pada bahagian bawah (bukannya hadapan seperti pada One M8) membuatkan kekuatan audio kurang seimbang. Pembesar suara pada bahagian bawah lebih kuat berbanding bahagian atas. Kesan bunyi Stereo akibatnya sedikit terjejas. Namun jika dibandingkan dengan kebanyakan peranti lain, sistem audio U11 adalah yang terbaik.
Mengikut trend semasa, HTC U11 tidak mempunyai bicu audio 3.5mm. Ini ialah percaturan yang menerima reaksi negatif sejurus selepas peranti diperlihatkan. Tetapi harus kami akui fon telinga U-Sonic yang disertakan adalah yang terbaik pernah kami gunakan setakat ini. Bass mantap berdentum dan tidak pecah. Suara gemeresik penyanyi juga jelas kedengaran.
Fon telinga U-Sonic juga menyokong sistem active noise cancellation sekaligus mengelakkan gangguan bunyi luar ketika pengguna asyik mendengar muzik kegemaran. Perisian yang disertakan dengan pantas melakukan tetapan audio mengikut telinga pengguna tanpa perlu dilakukan secara manual seperti pada peranti lain.
Pada U Ultra kami merungut penyesuai USB-C ke bicu audio tidak disertakan. HTC mendengar dan penyesuai dengan DAC terbina disertakan dengan setiap pembelian Kualiti audio yang baik ini sedikit sebanyak melegakan kekecewaan ketiadaan bicu audio.
Penanda Aras
Pemroses Snapdragon 835 yang digunakan ialah yang paling berkuasa dan terkini yang dihasilkan oleh Qualcomm. Ia dipadankan pula dengan memori sebesar 6 Gigabyte dan storan 128 Gigabyte. HTC U11 ialah antara peranti dengan spesifikasi yang terbaik di pasaran sekarang. Oleh itu apabila ujian penanda aras dilakukan ia mencatatkan 167692 markah pada Antutu dan 39671 markah pada Futuremark. Ini meletakkannya selesa di dalam senarai dua peranti paling berkuasa pernah diuji di makmal Amanz. Markah Futuremark yang dicatatkan pula ialah yang tertinggi pernah kami lihat setakat ini.
Apabila digabungkan dengan antaramuka hampir stock, kelancarannya jelas kelihatan. Kami tidak mengalami sebarang masalah memuat turun aplikasi dan melancarkannya. Kesemua selicin mentega. Masalah pemanasan juga tidak kami temui. Pemproses dengan teknologi FinFET 10 nm ini memang mampu berfungsi dengan sejuk.
Bateri
Bateri 3000 mAh yang digunakan pada hemat kami adalah kecil bagi peranti dengan spesifikasi tinggi. Pada HTC U Ultra dan Samsung Galaxy S8, kapasiti bateri yang kecil adalah kelemahan utama dua peranti yang berkuasa ini. Kami cukup risau pisang akan berbuah tiga kali dengan HTC U11.
Cukup mengejutkan pengurusan bateri pada U11 adalah amat baik. Pada penggunaan berat ia bertahan selama 7 jam 17 minit dengan skrin terpasang selama 5 jam 57 minit. Pada penggunaan sederhana hayat penggunaan meningkat ke 14 jam 2 minit dengan skrin terpasang selama 7 jam 14 minit. Ini ialah hayat bateri yang baik apabila dibandingkan dengan U Ultra dan Galaxy S8 yang hayat skrin terpasang gagal mencecah 5 jam.
Apabila kehabisan bateri, peranti ini menyokong sistem pengecasan pantas QuickCharge 3.0 Masa untuk mengecas bateri sehingga penuh pula ialah sekitar 100 minit.
Pesaing
Sebagai peranti utama yang membawa panji HTC tahun ini, kami bandingkan U11 dengan Huawei P10 Plus dan Samsung Galaxy S8. Ketiga-tiganya mempunyai spesifikasi serta harga yang hampir setanding.
Peranti Pesaing | ||
---|---|---|
HTC U11 | Huawei P10 Plus | Samsung Galaxy S8 |
5.5″ SLCD5 QHD (535 PPI) | 5.5″ IPS NEO QHD (534 PPI) | 5.5″ SAMOLED QHD+ (567 PPI) |
2.45 x 4 + 1.9 x 4 GHz Snapdragon 835 | 2.4 x 4 + 1.8 x 4 GHz HiSilicon Kirin 960 | 2.3 x 4 + 1.7 x 4 GHz Exynos 8895 |
Adreno 540 | Mali-G71 MP8 | Mali-G71 MP20 |
6 Gigabyte | 6 Gigabyte | 4 Gigabyte |
128 Gigabyte (2 TB MikroSD) | 128 Gigabyte (256 GB MikroSD) | 64 Gigabyte (256 GB MikroSD) |
Kamera Utama 12 Megapixel f/1.7, OIS, PDAF | Kamera Utama 12+20 Megapixel f/1.8. OIS | Kamera Utama 12 Megapixel, f/1.7, OIS |
Kamera Hadapan 16 Megapixel | Kamera Hadapan Kamera Hadapan 8 Megapixel f/1.9 | Kamera Hadapan 8 Megapixel, f/1.7, Autofokus |
3000 mAh (Pengecasan Pantas) | 3750 mAh (Pengecasan Pantas) | 3000 mAh (Pengecasan Pantas) |
RM 3099 | RM 3099 | RM 3299 |
Kesimpulan
HTC U11 memperbaiki pelbagai kesilapan yang dilakukan oleh HTC pada U Ultra. Spesifikasi yang tinggi dipadankan dengan rekaan peranti yang menarik. Panel belakang U11 yang berubah-rubah warna mengikut sudut ia dilihat adalah amat unik berbanding peranti pesaing. Dengan sisi yang dibulatkan serta panel belakang yang melengkung, ini adalah peranti yang selesa dipegang. Berbeza dari rekaan HTC 10 tahun lalu yang agak bersegi.
Gimik jualan U11 ialah sistem kawalan Edge Sense. Secara ikhlas jumlah fungsi yang disertakan setakat ini masih amat terhad. Aplikasi yang membenarkan lebih banyak kustomasi hanya akan boleh dimuat turun pada bulan Julai hadapan. Buat masa ini fungsi yang disokong walaupun terhad adalah amat berguna bagi kami. Kami amat kerap menggunakan fungsi kawalan suara melancarkan Google Assistant dengan Edge Sense. Kami berharap di masa hadapan, lebih banyak fungsi akan ditambah.
Kemampuan kamera U11 adalah baik tetapi pada hemat kami masih di belakang Galaxy S8. Menurut DXOMark ia kamera terbaik di pasaran sekarang tetapi realitinya adalah berbeza. Dalam situasi gelap, gambar yang diambil menjadi terlalu terang sehingga keperincian pada objek hilang dari gambar. Apabila mod manual digunakan, image softening adalah amat ketara.
Ketahanan bateri juga baik bagi sebuah peranti dengan bateri hanya sebesar 3000 mAh. Pada penggunaan harian selama dua minggu, kami berjaya mendapatkan SOT di antara 6-7 jam.
Kekurangan paling ketara ialah ketiadaan bicu audio. Yang mengubat kekecewaan ini ialah sistem audio yang baik dengan menggunakan fon telinga U-Sonic dan BoomSound Hi Fi Edition. Sekiranya anda seorang penggemar muzik, U11 adalah peranti yang akan menggembirakan anda.
Pada harga jualan RM 3099, HTC U11 dijual pada harga yang kompetitif dengan peranti pesaing di pasaran. Kami menyarankannya kepada pengguna yang mementingkan audio berkualiti tinggi, kemampuan kamera, bateri yang tahan lama dan tidak peduli tiada bicu audio.
Kelebihan | Kekurangan |
|
|