Boleh dikatakan tanpa HTC, Android mungkin tidak wujud. Syarikat dari Taiwan ini menghasilkan HTC Dream (juga dikenali sebagai G1) yang merupakan peranti Android pertama pada tahun 2008. Nasib HTC naik dan turut seperti gelombang sinosodial sejak kebelakangan ini.
Dengan HTC U Ultra, mereka mencuba rekaan yang berbeza dari yang dilihat pada peranti keluaran mereka. Rekaan kerangka aluminium digantikan dengan panel kaca. Adakah perubahan rekaan ini akan membawakan perubahan nasib mereka di arena peranti pintar? Ini ialah ulasan penuh kami.
Spesifikasi
HTC U Ultra | |
---|---|
Skrin | 5.7″ Super LCD5 QHD (513 PPI) |
Pemproses | 2 x 2.15 + 2 x 1.6 GHz Snapdragon 821 |
Cip Grafik | Adreno 530 |
RAM | 4 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 64 Gigabyte (Kad MikroSD sehingga 2 TB) |
Kamera Utama | 12 Megapixel f/1.8, Ultrapixel, OIS |
Kamera Depan | 16 Megapixel |
Kalis Air | Tiada |
Bateri | 3000 mAh (Pengecasan Pantas) |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano / Hibrid |
Jalur LTE | 1/2 /3 /4 /5 /7 /8 /12 /17
/20 /28 /38 /39 /40 /41 |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tiada |
Pengimbas Cap Jari | Ya |
Harga Jualan | RM 2599 |
Tempoh Ulasan | 10 Hari |
Skrin 5.7″ Super LCD5 digunakan dengan resolusi QHD. HTC masih bertegas menggunakan teknologi LCD sedangkan pengeluar lain sudah mula berpindah ke teknologi OLED. Dari segi kualiti paparan ia masih lagi kelihatan menarik dan tajam. Tetapi dari segi penghasilan warna ia sedikit di belakang apa yang mampu dipaparkan pada skrin OLED. Seperkara lagi skrin LCD menggunakan lebih banyak bateri. Dengan kombinasi skrin besar dan bateri kecil ia mendatangkan kesan buruk ke atas U Ultra.
Menarik sekali pada U Ultra ialah ia turut mempunyai skrin sekunder di atas skrin utama. Skrin sekunder ini digunakan untuk memaparkan pintasan untuk aplikasi, notifikasi, peringatan memo dan juga pautan pantas kepada individu yang sering dihubungi. Ia berkongsi banyak fungsi dengan ditemui pada LG V20. Ia adalah jawapan HTC kepada sistem Always On Display dan Edge Screen Samsung.
Pemproses Snapdragon 821 dipadankan dengan RAM sebesar 4 Gigabyte dan storan sebesar 64 Gigabyte. Bagi yang memerlukan storan tambahan, kad MikroSD sehingga 2 Terabyte disokong. HTC ialah antara sebilangan kecil pengeluar yang menyokong storan kad MikroSD yang lebih besar dari biasa. Berita buruk di sini ialah slot kad MikroSD berkongsi dengan slot SIM nano kedua. Rekaan hibrid menghalang penggunaan dwi-SIM dan kad MikroSD secara serentak.
Kemampuan kamera pula ialah kamera utama utama 12-Megapixel f/1.8 dengan sokong OIS, PDAF dan laser. Pada bahagian hadapan pula kamera selfie sebesar 16-Megapixel disertakan. Tidak seperti pada HTC 10, kemera hadapan ini walaubagaimanapun tidak mempunyai sokongan OIS.
Dari segi bateri pula hanya bateri sebesar 3000 mAh disertakan. Ia menyokong sistem pengecasan pantas QuickCharge 3.0 melalui port USB-C. Seperti pada iPhone 7, U Ultra tidak mempunyai bicu audio. Kesemua sambungan audio memerlukan sambungan secara USB-C. Pihak HTC walaubagaimanapun tidak menyertakan penyesuai dengan setiap pembelian U Ultra.
Bagi yang suka mendengar audio terus dari peranti, terdapat sistem audio BoomSound. Konfigurasi pembesar suara sama seperti HTC 10 dengan satu di hadapan dan satu lagi di bahagian bawah bersebelahan port USB-C.
Terdapat sokongan untuk NFC tetapi tiada pemancar infra merah ataupun sokongan pengecasan tanpa wayar. Ia juga tidak mempunyai sebarang kemampuan kalis air serta debu seperti peranti-peranti utama lain di pasaran. Sedikit mengecewakan bagi kami.
Rekabentuk
Dari segi rekaan peranti ini tidak lagi menggunakan rekaan klasik HTC. Tubuh kerangka aluminium digantikan dengan panel kaca pada bahagian belakang. Sisi dibulatkan bagi meningkatkan keselesaan semasa peranti dipegang.
Dari segi positif rekaan U Ultra ini adalah jauh lebih selesa berbanding yang digunakan pada HTC 10 tahun lalu. Ia turut mengikut trend semasa menggunakan panel kaca dan tiada permukaan yang terlalu bersegi.
Dari segi negatif pula HTC kini kehilangan identiti. Rekaan peranti mereka tidak lagi unik dan hanya mengikut rekaan pengeluar lain. Permukaan kaca ini cantik tetapi amat mudah memerangkap cap jari serta debu. Ia juga tidak mengejutkan amat licin untuk dipegang. Penggunaan kerangka adalah amat disarankan bagi mengelakkan kerosakan jika peranti terjatuh. HTC menyertakan sebuah kerangka lutcahaya dengan pembelian bagi memastikan peranti mempunyai perlindungan sementara pengguna membeli kerangka lebih tahan lasak.
Bergantung kepada pengguna untuk menganggap rekaan ini baik ataupun tidak. Pada hemat kami rekaan U Ultra adalah baik dan amat selesa. Sebuah peningkatan berbanding rekaan peranti HTC sebelum ini yang bersegi dan kurang selesa.
Butang navigasi kapasitif fizikal diletakkan pada bahagian dagu. Butang home dengan pengimbas cap jari terbina dihimpit butang multitasking pada sebelah kanan dan back pada bahagian kiri. Oleh sebab itu susunan butang back dan multitasking ini tidak boleh dikustomasi oleh pengguna.
Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan suara. Butang kuasa mempunyai permukaan yang kasar bagi memudahkannya dibezakan apabila digunakan di dalam gelap. Talam SIM hibrid untuk dua SIM bersaiz nano diletakkan pada bahagian atas. Ia perlu dicucuk terlebih dahulu untuk mengeluarkannya dari tubuh peranti.
Kami tidak menggemari bonjol kamera pada bahagian belakang peranti. Ia menyukarkan peranti untuk diletakkan rata pada permukaan meja tanpa menggunakan kerangka. Lensa kamera juga terdedah kepada kerosakan kerana bonjol ini.
Sebagai kesimpulan rekaan HTC U Ultra adalah sedap mata memandang dan lebih sedap lagi untuk dipegang. Ia adalah anjakan paradigma di dalam rekaan HTC selama ini. Seperti kami katakan sebelum ini, ia bergantung kepada pengguna untuk menilai sama ada tindakan HTC untuk tidak lagi mengekalkan rekaan ikonik kerangka aluminium mereka ini sebagai baik ataupun buruk.
Antaramuka
Sistem operasi Android 7.0 digunakan dengan pelancar Sense. Tiada perubahan dilakukan berbanding Sense yang ditemui pada HTC 10. HTC tidak lagi menyertakan banyak aplikasi terpasang sebaliknya menggunakan aplikasi buatan Google. Bagi mereka yang tidak menyukai aplikasi gendut pada peranti, Sense ialah pelancar untuk anda. Antaramuka yang digunakan diubah sedikit berbanding Stock Android.
Antaramuka adalah amat lancar tanpa sebarang masalah sela masa. Tiada animasi yang berlebihan. Kekurangan yang ada ialah kami merasakan penggunaan ruang adalah kurang optimum. Ruang di antara ikon adalah terlalu besar. HTC Sense juga tidak membenarkan pengguna menetapkan resolusi peranti ataupun susunan grid. Ini cuma perkara kecil tetapi perlu kami nyatakan di sini.
Menerusi Sense beberapa fungsi tambahan disertakan bagi memberikan lebih nilai. Senarai fungsi yang disertakan adalah seperti di bawah.
HTC Sense Companion – Sistem pintar yang mempelajari tabiat pengguna. Ia boleh memberikan saranan bilakah bateri harus dicas, berita terkini dan laporan trafik terus dari talam notifikasi.
Motion Launch – Dari skrin tertutup lima aksi dapat dilakukan
- Dwi-Tap – Menyahkunci peranti terus dengan menekan skrin dua kali
- Tatalan ke atas – Menyahkunci peranti walaupun skrin tertutup.
- Tatalan ke bawah dua kali dengan pantas – Melancarkan aplikasi kamera dengan pantas
- Tatalan ke kanan – Melancarkan skrin BlinkFeed
- Tatalan ke kiri – Menyahkunci terus ke skrin home
BlinkFeed – Senarai lengkap berita dan status media sosial terkini dari satu hab khas.
Themes – Terdapat pelbagai pilihan tema dan setiap tema mempunyai dua rekaan berbeza iaiatu Classic Layout dan Freestyle Layout.
- Classic Layout – Ikon dan elemen antaramuka disusun rapi menggunakan sistem grid. Ikon aplikasi menggunakan ikon biasa yang anda lihat pada peranti Android lain.
- Freestyle Layout – Rekaan lebih bebas dan abstrak. Ikon aplikasi digantikan dengan pelekat pelbagai bentuk yang boleh diletakkan sesuka hati. Tiada sistem grid. Antaramuka kelihatan seperti gambar.
Skrin Sekunder
Skrin sekunder ialah gimik jualan HTC U Ultra. Sistem dwi-skrin ini dipelopori oleh LG V10. Pada skrin sekunder ini pengguna boleh meletakkan singkatan kepada individu yang paling kerap dihubungi. Tekan sahaja ikon wajah pengguna dan panggilan telefon dapat dilakukan.
Pintasan pantas kepada beberapa aplikasi kegemaran juga boleh digunakan pada skrin ini dan juga berita terkini. Notifikasi turut boleh dipaparkan sekiranya perlu. Pendek kata skrin sekunder ini adalah sama seperti Edge Screen yang digunakan pada peranti Samsung.
Secara ikhlas kami merasakan skrin sekunder ini kurang selesa digunakan. Kedudukannya pada bahagian atas skrin menukarkannya diakses apabila peranti digunakan dengan sebelah tangan. Seperti Edge Screen ia mungkin hanya digunakan untuk seketika sebelum ia mungkin dilupakan terus oleh kebanyakan pengguna.
Kamera
Kamera utama sebesar 12-Megapixel f/1.8 dengan sokongan OIS dipadankan dengan kamera hadapan 16-Megapixel. Kamerq32dew323b9
Rakaman gambar pada resolusi 12-Megapixel diambil pada nisbah 4:3. Untuk merakam pada tetapan 16:9, tetapan kamera diturunkan ke 9-Megapixel. Tetapan rakaman video tertinggi pula ialah 4K 30 FPS. Tetapan juga pilihan untuk resolusi FHD, HD, QVGA dan MMS.
Antaramuka kamera mudah difahami dan minimalis. Tetapi kami kurang menggemari skrin tetapan kamera. Terlalu banyak talan perlu dilakukan untuk menggunakan mod berbeza dan menukar resolusi gambar/video.
Tidak banyak mod tambahan disertakan selain mod video gerak perlahan dan hyperlapse. Mod gambar pula hanyalah panorama dan pro dengan sokongan mengambil gambar RAW.
Kualiti gambar yang diambil menggunakan kamera utama HTC U11 adalah mengecewakan. Seperti yang anda boleh lihat di bawah, di dalam situasi pencahayaan kurang baik kawasan yang terang hilang keperinciannya. Gambar juga menjadi kurang tajam dengan penghasilan warna yang kekuningan.
Seperkara lagi yang kami sedari ialah penghasilan semula warna juga tidak tepat. Warna di dalam gambar agak kusam dan tidak bermaya. Berbeza dengan warna pada imej sebenar. Kesemua gambar juga tidak berapa tajam apabila dibesarkan pada skrin. Berdasarkan pengalaman kualiti gambar HTC U11 ini lebih menyamai sebuah peranti kelas pertengahan dan bukannya sebuah peranti yang dijual pada harga RM 2599. Kualiti gambar diambil langsung tidak setanding dengan harga peranti.
Hanya kamera hadapan boleh dibanggakan. Kualiti selfie adalah tajam dan terang. Mod selfie panorama yang disertakan pula membolehkan mengambil gambar berkumpulan menjadi lebih mudah.
Audio
Sistem audio berkembar BoomSound disertakan bagi memberikan sokongan audio stereo. Dari segi kualiti, ia tidak mengecewakan. HTC masih tahu bagaimana menghasilkan peranti dengan pembesar suara yang baik. Tetapi pada waktu yang sama kedudukan salah satu dari pembesar suara pada bahagian bawah (bukannya hadapan seperti pada One M8) membuatkan kekuatan audio kurang seimbang. Namun jika dibandingkan dengan kebanyakan peranti lain, BoomSound masih lagi antara yang terbaik.
Mengikut trend semasa, HTC U Ultra tidak mempunyai bicu audio 3.5mm. Apabila muzik didengari menerusi fon telinga U-Sonic, kualiti audio sekali lagi adalah baik. Bass mantap berdentum dan tidak pecah. Suara gemeresik penyanyi juga jelas. Bagi penggemar muzik EDM, kualiti audio U Ultra tidak mengecewakan.
Tetapi realitinya masih ramai yang menggunakan output dengan bicu audio 3,5mm. Kesilapan paling besar HTC ialah tidak menyertakan penyesuai USB-C ke bicu audio di dalam kotak. Apple mempopularkan trend tiada bicu audio tetapi penyesuai disertakan. Penyesuai HTC perlu dibeli secara berasingan ini adalah mengecewakan bagi kami.
Penanda Aras
Pemproses Snapdragon 821 ialah pemproses yang paling berkuasa yang dihasilkan oleh Qualcomm tahun lalu. Ia digunakan pada HTC 10 dan juga Lenovo Moto Z sebelum ini. Walaupun Snapdragon 835 kini menggantikan tempatnya, ia masih lagi sebuah pemproses yang cukup berkuasa. Oleh itu apabila ujian penanda aras dilakukan ia mencatatkan 142199 markah pada Antutu dan 30374 markah pada Futuremark. Ini meletakkannya selesa di dalam senarai sepuluh peranti paling berkuasa diuji di Makmal Amanz.
Kuasa memproses ini dapat dilihat dengan jelas ketika menggunakan peranti. Tiada masalah sela masa kami temui dan aplikasi dilancarkan dengan cukup pantas. Masalah panas juga berapa ketara dan hanya disedari ketika menggunakan aplikasi GPS.
Bateri
Bateri 3000 mAh yang digunakan jatuh ke dalam kategori kecil bagi sebuah peranti dengan skrin sebesar 5.7″ dengan sebuah skrin sekunder. Tidak mengejutkan oleh sebab itu hayat penggunaan peranti adalah amat mengecewakan. Pada penggunaan paling ringan ia mampu bertahan sekitar 26 jam tetapi skrin terpasang hanya selama 3 jam 46 minit. Pada pengguna berat pula peranti bertahan selama 10 jam dengan skrin terpasang selama 3 jam 45 minit.
Dalam kedua-dua kes skrin menggunakan jumlah bateri terbesar. HTC U Ultra ialah peranti yang memerlukan anda membawa sebuah power bank untuk ia beroperasi sepanjang hari. Berita baik ialah sistem pengecasan pantas QuickCharge 3.0 disokong dan bateri boleh dicas sehingga penuh dalam masa 100 minit.
Pesaing
Kerana penggunaan pemproses dari generasi sebelum ini, adalah adil untuk meletakkan Huawei Mate 9 Pro dan Samsung Galaxy S7 Edge sebagai peranti pesaingnya. Dari segi spesifikasi kami merasakan kedua-dua peranti ini juga tidak banyak berbeza dengan U Ultra.
Peranti Pesaing | ||
---|---|---|
HTC U Ultra | Huawei Mate 9 Pro | Samsung Galaxy S7 Edge |
5.7″ SLCD5 QHD+ (513 PPI) | 5.5″ AMOLED QHD (534 PPI) | 5.5″ SAMOLED QHD (534 PPI) |
2.15 x 2 + 1.6 x 2 GHz Snapdragon 821 | 2.4 x 4 + 1.8 x 4 GHz HiSilicon Kirin 960 | 2.3 x 4 + 1.6 x 4 GHz Exynos 8890 |
Adreno 530 | Mali-G71 MP8 | Mali T880 MP12 |
4 Gigabyte | 6 Gigabyte | 4 Gigabyte |
64 Gigabyte (2 TB MikroSD) | 128 Gigabyte | 32 Gigabyte |
Kamera Utama 12 Megapixel f/1.8, OIS, PDAF, Laser | Kamera Utama 12+20 Megapixel f/1.8. OIS | Kamera Utama 12 Megapixel, f/1.7, OIS |
Kamera Hadapan 16 Megapixel | Kamera Hadapan Kamera Hadapan 8 Megapixel f/1.9 | Kamera Hadapan 5 Megapixel, f/1.7 |
3000 mAh (Pengecasan Pantas) | 4000 mAh (Pengecasan Pantas) | 3600 mAh |
RM 2599 | RM 3399 | RM 3099 |
Kesimpulan
HTC U Ultra ialah sebuah peranti dengan spesifikasi yang baik tetapi dicacatkan oleh dua kelemahan yang agak besar. Pertama sekali ialah bateri yang terlalu kecil untuk skrin yang digunakan. Akibatnya ialah peranti ini mempunyai masa skrin terpasang di bawah empat jam. Bagi kami peranti utama harus mempunyai hayat skrin terpasang sekitar lima jam untuk menjadikannya praktikal untuk kegunaan harian.
Kelemahan kedua ialah prestasi kamera yang kurang memuaskan. Bagi sebuah peranti dengan harga melangkaui RM 2000, kami mengharapkan kemampuan kamera yang lebih tinggi. Warna gambar yang diambil agak kusam. Prestasi dalam situasi gelap pula langsung tidak membanggakan. Terdapat beberapa peranti kelas pertengahan seperti Lenovo Moto M yang mampu mengambil gambar yang lebih baik.
Skrin sekunder yang disertakan pada hemat kami hanyalah gimik yang tidak berapa digunakan. Ia hanya menambah penggunaan bateri yang seperti kami katakan berkapasiti rendah.
Perkara positif yang boleh kami katakan mengenai HTC U Ultra ialah ia mempunyai rekaan yang cantik. Ia berbeza dari rekaan peranti HTC sebelum ini. Panel kaca melengkung dipadankan dengan sisi yang dibulatkan. Amat selesa sekali memegangnya di dalam telapak tangan. Tetapi pada waktu yang sama panel kaca ini memerangkap cap jari dan kotoran dengan terlalu mudah.
Ketika dilancarkan di Malaysia beberapa bulan yang lalu ia dijual pada harga RM2999. Kemudian harga dikurangkan ke RM 2599. Pada harga yang lebih murah ini kami masih sukar untuk menyarankannya kepada pembaca. Bagi peranti pada tanda harga sebegini, kelemahan-kelemahan yang kami senaraikan sepatutnya tidak ada. Terdapat peranti lain dengan kemampuan kamera dan bateri yang baik dijual pada harga lebih munasabah. Dengan kata lain HTC U Ultra bukanlah peranti yang harus dibeli oleh U ataupun I.
Kelebihan | Kekurangan |
|
|