Ulasan Samsung Galaxy S8 – Anjakan Paradigma Rekaan Telefon Pintar

Ulasan Samsung Galaxy S8 – Anjakan Paradigma Rekaan Telefon Pintar

Diterbitkan pada Apr 20, 2017 oleh .

Kali pertama ura-ura Samsung akan menggunakan peranti hampir semua-skrin mula didengari pada Disember 2016. Rekaan hampir tanpa bezel ini ialah reaksi Samsung ke atas rekaan Xiaomi Mi Mix yang pada waktu tersebut amat luar biasa. Beberapa lagi gambar tertiris selepas itu dan mengesahkan rekaan peranti dengan skrin yang memanjang.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, adakah rekaan baru Samsung Galaxy S8 ini berfungsi dengan baik atau sekadar gimik jualan untuk membezakannya dari peranti lain di pasaran. Ulasan ini diharap akan dapat menjawab beberapa persoalan mengenainya.

Spesifikasi

Samsung Galaxy S8
Skrin 5.8″ SAMOLED WQHD+ (570 PPI)
Pemproses 2.3 X 4 + 1.7 x 4 GHz Exynos 8895
Cip Grafik Mali G71 MP20
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 64 Gigabyte (Kad MikroSD sehingga 256 GB)
Kamera Utama 12 Megapixel f/1.7, OIS
Kamera Depan 8 Megapixel f/1.7, Autofokus
Kalis Air IP 68
Bateri 3000 mAh (Pengecasan Pantas)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano / Hibrid
Jalur LTE  1 /2 /3 /4 /5 /7 /8 /17 /20 /28
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Pengimbas Cap Jari Ya
Harga Jualan RM 3299

Kita mulakan terlebih dahulu dengan spesifikasi. Skrin memanjang 5.8″ Infinity Display yang digunakan memberikan Galaxy S8 “wajah” yang amat unik berbanding peranti lain di pasaran tempatan.Skrin SAMOLED QHD+ ini mempunyai bucu bulat dengan nisbah skrin 18.5:9.

Ia juga kali kedua sebuah skrin yang menyokong paparan HDR digunakan pada peranti Samsung selepas Note 7. Sistem HDR10 disokong bagi memberikan dimensi baru dari segi keterangan dan warna skrin.

Pemproses lapan teras Exynos 8895 dipadankan dengan RAM sebesar 4 Gigabyte dan storan 64 Gigabyte. Terdapat model dengan RAM 6 Gigabyte dan storan 128 Gigabyte tetapi buat masa ini hanya ditawarkan untuk pasaran China dan Korea Selatan. Bagi yang memerlukan storan tambahan, kad MikroSD sehingga 256 Gigabyte disokong. Seperti Galaxy S7, S8 menggunakan talam dwi-SIM nano jenis hibrid. Hanya satu slot SIM boleh digunakan sekiranya kad MikroSD diperlukan.

Galaxy S8 tidak lagi mempunyai butang navigasi kapasitif pada bahagian dagu. Sebaliknya butang navigasi atas skrin digunakan sepenuhnya. Butang home di atas skrin ini mampu mengesan tekanan dan memberikan timbal balas haptik seperti yang kami temui pada iPhone 7. Sususan butang back dan multi-tasking boleh diubah mengikut keperluan pengguna. Pihak Samsung hanya memberikan ruang untuk tiga butang navigasi digunakan. Sebagai perbandingan pada peranti HTc, Huawei, Pixel dan LG, sehingga empat butang navigasi boleh ditetapkan oleh pengguna.

Oleh sebab itu pengimbas cap jari yang dahulunya terletak pada bahagian hadapan kini diubah ke panel belakang bersebelahan lensa kamera. Ia mengambil alih kedudukan pengimbas nadi yang telah wujud pada peranti Galaxy S sejak Galaxy S5.

Bergerak ke kemampuan kamera, kamera utama pada bahagian belakang sebesar 12-Megapixel f/1.7 dengan sistem OIS. Di atas kertas tiada perubahan mendadak dapat dilihat berbanding kamera pada S7 Edge tahun lalu. Pada bahagian hadapan pula terdapat kamera sebesar 8-Megapixel f/1.7 dengan sistem autofokus. Tahun lalu sensor sebesar 5-Megapixel digunakan tanpa sebarang sistem pemfokusan.

Membekalkan kuasa kepada peranti ialah bateri sebesar 3000 mAh. Sistem pengecasan pantas Adaptive Fast Charging disokong melalui port pengecasan USB-C. Ini menjadikan S8 peranti ke-lima Samsung yang menggunakan port USB-C.

Pada bahagian bawah turut terdapat sebuah pembesar suara. Apabila dipadankan dengan pembesar suara pada bahagian hadapan peranti, S8 menyokong audio stereo. Bagi yang tidak mahu mengganggu orang ramai ketika menonton video, Samsung masih mengekalkan penggunaan bicu audio 3.5 mm. Bagi yang sudah berhijrah kepada sistem audio tanpa wayar sepenuhnya, Galaxy S8 menyokong Bluetooth 5.0 yang membolehkan dua alat audio ditambat kepada peranti secara serentak.

Seperti biasa peranti Samsung akan menyertakan sokongan NFC dan juga Samsung Pay. Juga seperti tahun lalu, Galaxy S8 mempunyai tahap kalis air serta debu yang memenuhi piawaian IP 68.

 

Rekabentuk

Rekaan Galaxy S8 memperhalusi rekaan yang ditemui pada Galaxy Note 7 tahun lalu. Bahagian sisi kini lebih bulan dan begitu juga dengan bahagian bucu. Jejari bulatan bucu menyamai di jejari bulatan pada bucu skrin peranti.

Samsung tidak terlalu ekstrem dalam percubaan mengurangkan bezel. Masih terdapat bahagian dahi yang kecil yang menempatkan kamera hadapan dan juga kamera infra-merah yang digunakan untuk sistem imbasan anak mata. Sistem imbasan anak mata Galaxy Note 7 kemabali semula pada Galaxy S8. Tetapi seperti pada Note 7, sistem imbasan anak mata ini tidak menyokong pengguna yang memakai cermin mata. Sebagai alternatif sistem imbasan wajah turut disokong.

Sepanjang seminggu tempoh ulasan kami lebih selesa menggunakan sistem nyahkunci imbasan wajah. Peranti dapat dinyahkunci dengan amat pantas sebaik sahaja mata kami memandang skrin. Sebelum ini kami ada memaparkan artikel bahawa sistem imbasan wajah ini dapat dipintas menggunakan gambar. Tetapi pada peranti ulasan yang diterima, kami tidak mampu memintas sistem imbasan wajah ini menggunakan gambar maupun video. Sejak kelemahan sistem ini ditemui, pihak Samsung nampaknya telah berjaya memperbaiki sistem yang digunakan.

Sistem imbasan wajah dan anak mata yang disertakan mungkin akan menjadi pilihan kebanyakan pengguna. Ini adalah kerana sistem imbasan cap jari pada panel belakang adalah kurang mesra pengguna untuk digunakan. Kerap kali lensa kamera yang disentuh dan bukannya pengimbas cap jari.

Pada sisi kanan terdapat butang kuasa yang diperbuat daripada logam. Pada sisi kiri pula terdapat butang suara dan butang khas melancarkan pembantu maya Bixby. Butang Bixby ini tidak lagi boleh diprogramkan untuk melancarkan aplikasi lain selepas kemaskini terbaru diberikan.

Dari segi rekaan Galaxy S8 memang sebuah peranti yang cantik dengan rekaan yang futuristik. Tetapi seperti pengalaman kami menggunakan Xiaomi Mi Mix sebelum ini, rekaan yang cantik tidak semestinya praktikal untuk kegunaan setiap hari. Kerana skrin yang lebih tinggi dan binaan hampir kaca sepenuhnya, peranti ini agak canggung untuk digunakan secara sebelah tangan. Mengakses butang navigasi dan bahagian atas skrin memerlukan jari pengguna melakukan aksi akrobatik. Silap hari akrobatik boleh mengakibatkan peranti terjatuh kerana ia amatlah licin.

Pada S7 dahulu, bahagian sisi mempunyai kemasan matte. Ini mengurangkan kelicinan peranti. Pada S8 keseluruhan peranti bewarna hitam yang kami gunakan mempunyai kemasan warna hitam berkilat yang licin. Ini mengakibatkan peranti terjatuh beberapa kali sepanjang proses ulasan. Malang sekali kaca panel belakang tidak menggunakan panel kaca Gorilla seperti panel hadapan. Peranti yang kami ulas sudah retak selepas jatuh pada ketinggian sekitar lima kaki. Bagi mereka yang bercadang membeli Galaxy S8, kami sarankan anda membeli kerangka tahan hentakan pada kadar segera bagi mengelakkan kemalangan akibat peranti yang amat licin ini.

Antaramuka

Android 7.0 Nougat digunakan dengan pelancar Samsung Experience 8.1 yang membawakan beberapa perubahan berbanding Grace UX sebelum ini. Antaramuka bukan sahaja kelihatan lebih kemas dan minimalis, malah ia kini kelihatan amat futuristik. Kesemua ikon direka semula untuk digunakan pada S8.

Antaramuka sedap mata memandang dan lebih sedap lagi jari menatal. Animasi pada tahap minima dan aplikasi dilancarkan dengan cukup pantas. Lebih pantas berbanding pada S7 Edge dan Note 7 tahun lalu.

Seperti biasa Samsung menyertakan pelbagai fungsi tambahan pada peranti keluaran mereka. Kebanyakan fungsi tambahan ini tidak ditemui pada Android Stock. Berikut ialah senarai fungsi-fungsi yang disertakan.

Edge Panel – Sama seperti tahun lalu tetapi kini lebih banyak pilihan panel. Yang paling kami minati ialah Smart Select yang membolehkan GIF beranimasi dihasilkan terus dari skrin peranti.

Always On Display – Paparan notifikasi dan masa yang sentiasa terpasang apabila peranti dikunci.

Clear Badge – Membuang jumlah notifikasi mesej belum dibaca pada aplikasi tertentu.

Put To Sleep – Menyahaktifkan aplikasi sementara. Tidak lagi menggunakan data atau memberikan notifikasi apabila diaktifkan.

Palm Capture – Menangkap gambar paparan skrin dengan menggunakan telapak tangan.

Smart Stay – Skrin tidak akan terpadam selagi ia mengesan mata anda memandang skrin.

Direct Call – Peranti melakukan panggilan telefon secara automatik apabila ia diletakkan ke telinga pengguna.

Easy Mute – Mematikan nada dering dengan meletakkan tangan di atas skrin atau menelangkupkan peranti.

Multi Window – Memaparkan dua aplikasi serentak dengan skrin terbahagi kepada dua.

Mengakses Talam Notifikasi Dengan Pengimbas Cap Jari – Skrin yang memanjang pasti menyukarkan akses kepada talam notifkasi. Dengan mod ini talam boleh ditarik ke bawah dan ke atas dengan tatalan pada pengimbas jari seperti pada peranti Google Pixel.

Quick Launch Camera – Melancarkan kamera dengan pantas dengan menekan butang kuasa sebanyak dua kali. Ini menggantikan fungsi menekan butang home fizikal sebanyak dua kali yang tidak lagi wujud.

One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin bagi memudahkan penggunaan sebelah tangan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali dengan pantas.

Themes – Kustomasi antaramuka dengan tema-tema baru yang boleh dimuat turun.

Game Launcher – Kemudahan merakam video aplikasi permainan serta mematikan kesemua notifikasi apabila ia diaktifkan.

Grid – Menetapkan saiz grid susunan ikon. Terdapat pilihan 4×4, 4×5 atau 5×5.

Second Space – Menghalang akses kepada folder tertentu dengan menguncinya dengan cap jari. Second Space juga membenarkan dua aplikasi yang sama seperti WhatsApp digunakan pada satu peranti.

 

Bixby

Kita perlu bercakap mengenai Bixby kerana ia adalah fungsi yang diketengahkan di dalam setiap promosi jualan S8. Ia adalah pembantu maya dengan sistem kecerdasan buatan yang dibangunkan Samsung bagi bersaing dengan Google Assistant dan Siri. Sepanjang tempoh ulasan kami kurang berpuasa hati dengan Bixby. Ia mungkin tumit Achilles bagi Galaxy S8 kerana masih belum beroperasi secara sempurna. Masih tiada sokongan kawalan suara. Paparan berita dan kad pada Bixby juga terhad apabila dibandingkan dengan Google Now.

Sebagai pengguna tegar Google Now dan Google Assistant, Bixby masih jauh ketinggalan. Ia mengingatkan kami kepada sistem S Voice yang cuba bersaing dengan Google Now tetapi boleh dikategorikan sebagai gagal. Kami tahu apa yang ingin dilakukan oleh Samsung tetapi dari pandangan pengguna Bixby sebuah produk yang dilancarkan pra-matang.

Selepas beberapa hari kami terus tidak menggunakan Bixby dan hanya menggunakan Google Assistant yang dilancarkan dengan menekan butang home selama beberapa saat. Kami sedikit kecewa dengan keputusan Samsung menghalang pengguna untuk mengubah butang khas Bixby untuk melancarkan aplikasi lain. Mungkin kuasa sebenar Bixby hanya akan dapat dilihat apabila kesemua fungsinya diaktifkan pada akhir musim bunga kelak. Buat masa ini adalah Google Assistant adalah pembantu maya yang lebih boleh diandalkan.

Bixby

Kamera

Kamera utama sebesar 12-Megapixel f/1.7 dengan sokongan OIS dipadankan dengan kamera hadapan 8-Megapixel f/1,7 dengan sokongan auto fokus. Di atas kertas tidak perubahan mendadak dilakukan pada bahagian kamera. Samsung belum bersedia untuk menggunakan sistem dwi-kamera pada peranti ini.

Rakaman gambar pada resolusi 12-Megapixel diambil pada nisbah 4:3. Untuk merakam pada tetapan 16:9, tetapan kamera diturunkan ke 9.1-Megapixel. Tetapan rakaman video tertinggi pula ialah 4K 30 FPS. Tetapan juga pilihan untuk resolusi QHD, FHD 60 FPS dan FHD 30FPS.

Antaramuka kamera mudah difahami dan minimalis. Terdapat lapan pratetapan mod mengambil gambar disertakan. Seperti biasa pada aplikasi kamera Samsung, terdapat pilihan memuat pra-tetapan lain yang mungkin diperlukan pengguna. Fungsi terbaru yang diperkenalkan ialah topeng AR. Ia sama seperti fungsi filter Snapchat yang mengubah wajah anda apabila ia diaktifkan.

Mengambil selfie juga mudah dengan melakukan aksi tangan. Aplikasi mengesan kewujudan telapak tangan dan kemudian melakukan kiraan ke belakang selama 5 saat sebelum gambar diambil. Sistem autofokus yang digunakan memastikan gambar sentiasa tajam.

Tahun lalu Galaxy S7 Edge pada hemat kami mempunyai kemampuan kamera terbaik. Ia secara konsisten mengambil gambar yang tajam, terang dan berkualiti tinggi walau dalam situasi gelap.

Dengan Galaxy S8 kemampuan mengambil gambar pada peranti mudah alih sekali lagi dipertingkatkan. Samsung memperbaiki kemampuan mengambil gambar pada waktu malam walaupun masih lagi menggunakan lensa f/1.7 seperti tahun lalu. Apabila gambar yang sama diambil menggunakan S7 Edge dan iPhone 7 Plus, gambar yang diambil menggunakan S8 jauh lebih terang.

Penghasilan warna sedikit lebih baik dengan tidak warna yang lebih menyerlah. Komen negatif yang mungkin boleh diberikan ialah gambar yang terhasil mempunyai saturasi warna yang lebih terang berbanding dunia sebenar. Ini ialah cara gambar diproses pada peranti Samsung sejak beberapa tahun yang lalu. Kami di dalam kem yang menggemari gambar saturasi tinggi. Ia cantik dilihat pada skrin SAMOLED. Bagi yang menggemari gambar berwarna lebih semula jadi, gambar yang diambil mungkin akan kelihatan terlalu tajam.

Seperkara lagi kerana ketiadaan dua lensa, foto dengan kesan bokeh tidak kelihatan secantik yang mampu diambil menggunakan Huawei P10 Plus dan iPhone 7 Plus. Kesan bokeh digital yang terhasil tidak tajam dan kelihatan palsu.

Secara keseluruhan kamera Galaxy S8 ialah kamera yang berfungsi dengan baik untuk 90% situasi setiap hari. Di dalam mod automatik sekalipun gambar yang diambil lebih lagi memuaskan. Untuk tahun 2017, Galaxy S8 kini di hadapan peranti-peranti lain dari segi kualiti gambar.


Audio

Audio jarang kami ulas kerana ia bukan faktor yang diberikan keutamaan oleh majoriti pengguna. Pada S8 kami mengulas kualiti audio kerana Samsung bekerjasama dengan Harman untuk akhirnya menghasilkan peranti untuk golongan pencinta audio. Galaxy S8 audio PCM 32-Bit dan DSD64/128. Apabila menstrim audio pada kadar tertinggi 320 kbps Spotify Premium, jelas kedengaran perbezaan kualiti audio berbanding  Galaxy S7 Edge. Bunyi suara nyanyian lebih jelas dan gemeresik. Deruman bass juga lebih mantap dan tidak pecah terutamanya pada frekuensi pertengahan. Dentuman muzik EDM terasa menumbuk dada apabila dimainkan menggunakan S8 berbanding pada S7.

Sound separation lebih jelas dan tidak  lagi berkecamuk. Bagi mendengar kesemua saluran audio anda terlebih dahulu perlu mempunyai pembesar suara, fon kepala atau fon telinga yang menyokongnya. Berita baik bagi pemilik S8, Samsung menyertakan fon telinga AKG berkualiti tinggi setanding dengan kemampuan audio peranti ini sendiri.

Penanda Aras

Pemproses Exynos 8995 yang digunakan adalah pemproses paling berkuasa dihasilkan oleh Samsung menggunakan teknologi 10 nm. Ujian penanda aras mengesahkan kedudukannya sebagai pemproses paling berkuasa di pasaran buat masa ini. Markah yang dicatatkan adalah 171898 markah pada Antutu dan 31476 pada Futuremark.

Sepanjang tempoh ulasan peranti berfungsi dengan lancar amat lancar sekali. Samsung Galaxy S8 ialah peranti paling pantas dan lancar pernah kami ulas sejak kali pertama mengulas Galaxy Note hampir enam tahun yang lalu. Pertukaran aplikasi berlaku sekelip mata. Kami hanya menyedari peranti hanya menjadi panas apabila menggunakan Gear VR

 

Bateri

Bateri 3000 mAh yang digunakan menimbulkan sedikit kerisauan apabila spesifikasi diumumkan secara rasmi. Ia adalah terlalu kecil bagi sebuah peranti dengan skrin sebesar 5.8″. Kerisauan ini disahkan menjadi realiti sepanjang tempoh ulasan.

Pada pengguna paling berat dengan tambatan kepada jam tangan pintar Gear S3, Always On Display (AOD) diaktifkan, menggunakan aplikasi GPS dan resolusi WQHD+ peranti hanya dapat bertahan sekitar 11 jam. Skrin terpasang selama 4 jam 7 minit.  Pada penggunaan sederhana dengan AOD tidak diaktifkan dan skrin ditetapkan kepada FHD+ hayat penggunaan meningkat ke 21 jam dengan terpasang selama 4 jam 35 minit. Pada penggunaan paling ringan ia bertahan sehingga 26 jam dan skrin tetapi skrin masih belum mampu terpasang melebihi 5 jam. Ini hanyalah hayat penggunaan yang sederhana sahaja.

Ia lebih baik berbanding pengalaman kami menggunakan Galaxy S7 Edge tetapi jauh di belakang jaguh ketahanan bateri pada peranti utama iaitu iPhone 7 Plus. Pada peranti ini skrin terpasang melangkaui 10 jam pada penggunaan sederhana.

Untuk mengecas semula bateri, sistem pengecasan pantas Adapative Fast Charging memerlukan 104 minit untuk mengecas dari sifar ke seratus peratus. Terdapat juga sokongan pengecasan secara tanpa wayar pada peranti ini.

Sebagai kesimpulan hayat penggunaan S8 sedikit lebih baik berbanding S7 tetapi di belakang iPhone 7 Plus. Kami tidak sabar untuk mengulas S8+ yang mempunyai bateri yang lebih besar untuk melihat ketahanannya pula. iPhone 7 Plus mungkin bertahan lebih lama tetapi memerlukan sehingga tiga jam untuk dicas sehingga penuh berbanding 104 minit pada S8. Pengguna perlu memilih untuk bertahan lebih lama tetapi mengecas dengan perlahan atau sebaliknya. Terpulang kepada mereka untuk memilih fungsi manakah yang lebih penting.

Pesaing

Galaxy S8 ialah peranti utama dengan spesifikasi yang tinggi. Oleh itu pesaingnya yang terhampir dikeluarkan oleh dua pesaing Samsung iaitu Huawei dan Apple. Mari lihat perbandingan spesifikasi di antara S8, Mate 9 Pro dan iPhone 7 Plus.

Peranti Pesaing
Samsung Galaxy S8 Huawei Mate 9 Pro Apple iPhone 7 Plus
5.8″ SAMOLED WQHD+ (570 PPI) 5.5″ AMOLED QHD (534 PPI) 5.5″ IPS LCD FHD (401 PPI)
2.3 x 4+ 1.7 x 4 GHz Exynos 8995 2.4  x 4 + 1.8 x 4 GHz HiSilicon Kirin 960 Apple A10 Fusion
Mali-G71 MP20 Mali-G71 MP8 PowerVR Series 7XT GT7600 Plus
4 Gigabyte 6 Gigabyte 3 Gigabyte
64 Gigabyte (256 GB MikroSD) 128 Gigabyte 128 Gigabyte
Kamera Utama 12 Megapixel f/1.7, OIS Kamera Utama 12+20 Megapixel f/1.8. OIS Kamera Utama 12+12 Megapixel f/1.8 + f/2.8, OIS
Kamera Hadapan 8 Megapixel f/1.7, Autofokus Kamera Hadapan Kamera Hadapan 8 Megapixel f/1.9 Kamera Hadapan 7 Megapixel f/2.2, FLASH
3000 mAh (Pengecasan Pantas) 4000 mAh (Pengecasan Pantas) 2910 mAh
RM 3299 RM 3399 RM 4299

Kesimpulan

Rekaan Galaxy S8 yang amat drastik perubahannya berbanding Galaxy S7 ialah pertaruhan Samsung untuk merebut semula kepercayaan pengguna yang tergugat selepas kemelut Galaxy Note 7. Penggunaan skrin memanjang dengan hampir tiada bezel yang digunakan memberikan S7 “wajah” yang unik jika dibandingkan dengan peranti-peranti lain di pasaran. Dari segi estetik ia pada hemat kami peranti paling seksi di pasaran sekarang.

Keseksian ini dipadankan dengan spesifikasi yang cukup berkuasa dan perisian yang semakin matang. Tiada masalah kami temui sepanjang tempoh ulasan dilakukan. Melancarkan aplikasi terasa lebih pantas berbanding Galaxy S7. Rekaan futuristik dipadankan lagi dengan rekaan antaramuka yang amat moden dan pelbagai fungsi tambahan yang sinonim dengan telefon pintar keluaran Samsung.

Kemampuan kamera dipertingkatkan walaupun masih mengekalkan saiz sensor yang sama dan tiada fungsi dwi-kamera. Sekiranya anda mahu mengambil gambar yang cantik tanpa perlu melakukan tetapan manual, S8 adalah peranti untuk anda. Gambar yang ditangkap adalah tajam, jelas, warna menyerlah dengan mod waktu malam yang terbaik pernah kami lihat. Jika tahun 2016 ialah tahun S7, 2017 berkemungkinan besar ialah tahun S8 menjadi juara fotografi telefon mudah alih.

Tetapi S8 masih lagi bukan peranti yang sempurna. Dari pengalaman peribadi telefon sempurna masih lagi belum wujud. Rekaan futuristik S8 memerlukan pengguna belajar semula memegang peranti. Skrin yang lebih panjang menyukarkan keseluruhan permukaan skrin diakses dengan jari. Bukan itu sahaja, kedudukan pengimbas cap jari juga canggung. Dengan Galaxy S8, pemilik perlu belajar memegang peranti 18.5:9 seperti mana mereka belajar memegang peranti dengan nisbah skrin 16:9 selepas bertahun memegang peranti dengan nisbah skrin 4:3.

Mereka perlu belajar dengan pantas kerana kombinasi tubuh licin, skrin memanjang dan panel kaca tidak membenarkan mereka melakukan kesilapan. Sepanjang tempoh ulasan peranti beberapa kali terjatuh dari telapak tangan kerana kombinasi di atas. Bagi yang mahu membeli S8 kelak, kami sarankan anda membeli kerangka tahan hentakan pada kadar segera bagi mengelakkan sebarang kerosakan sekiranya peranti terjatuh.

Dengan harga jualan RM 3299 sebuah, Samsung Galaxy S8 ialah antara peranti termahal di pasaran. Dari senarai di bawah anda boleh lihat kelebihan masih melebihi kekurangan. Peranti ini ialah peranti yang terpantas, tercantik dan tercanggih yang pernah kami ulas dari Samsung. Ia kami sarankan kepada mereka yang mementingkan kemampuan kamera dan mahukan peranti dengan rekaan yang unik.

Kelebihan Kekurangan
  • Rekaan yang lain dari yang lain sekaligus membawakan perubahan kepada rekaan peranti semasa.
  • Skrin lebar dengan sokongan HDR10 sememangnya yang terbaik di pasaran. Imej lebih hidup, tajam dan warna lebih menyerlah.
  • Kemampuan kamera dipertingkatkan terutamanya pada waktu malam. Samsung mengekalkan takhta raja dunia fotografi telefon pintar.
  • Berfungsi dengan lancar dan amat pantas berbanding model tahun lalu.
  • Pelbagai fungsi tambahan yang sinonim dengan peranti Samsung.
  • Dilengkapi sistem pengecasan pantas.
  • Sistem imbasan wajah berfungsi dengan cukup pantas.
  • Pengimbas cap jari pada bahagian belakang sukar digunakan.
  • Agak canggung digunakan kerana skrin yang lebih besar dari biasa.
  • Terlalu licin untuk digunakan secara sebelah tangan.
  • Hayat bateri hanya sederhana jika dibandingkan dengan peranti pesaing sedia ada.

TIPS & ULASAN