Carian
Oppo R11 Dan R11 Plus Dilancarkan – Dwi Kamera 20+16 Megapixel Dan Kamera Selfie 20 Megapixel
June 9, 2017 Effi Saharudin

Oppo R11 dan R11 Plus dilancarkan secara rasmi di China dan adalah peranti pertama Oppo dengan sistem dwi-kamera pada bahagian hadapan. Sebelum ini Oppo F3 Plus dilancarkan dengan dwi-kamera selfie.  Rekaan peranti bukan lagi misteri setelah ia diperlihatkan di laman rasmi Oppo.

Oppo R11 hadir dengan skrin bersaiz 5.5-inci dengan paparan resolusi HD penuh, dilengkapi cip pemprosesan Snapdragon 660, memori 4GB RAM, dan ruangan storan 64GB dengan sokongan kad MikroSD sehingga 256 GB

Untuk rakaman gambar, Oppo R11 dilengkapi dwi-kamera belakang yang menggabungkan lensa 20-megapixel (f/2.6) dan juga 16-megapixel (f/.7). Penawaran dwi-kamera ini dilengkapi sokongan zoom optikal 2x, dan pemprosesan dilakukan menggunakan Qualcomm Spectra. Walaubagaimanapun sistem zoom optikal nirhilang yang diperlihatkan di MWC tidak digunakan. Selain zoom, Oppo R11 juga menawarkan sokongan rakaman mod potret seumpama di iPhone.

Pada bahagian hadapan pula, Oppo R11 menggunakan kamera 20-megapixel f/2.0. Melengkapkan peranti ini juga adalah bateri 3000mAh yang menyokong format pengecasan pantas VOOC melalui port MikroUSB. Sebuah bicu audio 3.5mm disertakan pada bahagian bawah bagi mereka yang masih belum bersedia untuk berhijrah ke kehidupan tanpa wayar.

Oppo R11 Plus pula hadir dengan skrin bersaiz 6 inci, memori 6GB RAM, dan bateri sebesar 4000 mAh. Spesifikasi yang lain adalah sama seperti R11. Kedua-duanya juga menggunakan sistem operasi Android 7.1,1 dengan antaramuka Color OS 3.1.. Tiada maklumat mengenai harga setakat ini.

Komen