Cari @ Amanz

Teaser yang dikongsi oleh Oppo beberapa hari sebelum MWC memberikan petunjuk teknologi zoom pada kamera peranti mudah alih. Sekiranya Sony berbangga dengan teknologi Motion Eye yang mampu merakam 960 FPS. Oppo pastinya bangga dengan teknologi Dual Camera Zoom yang memberikan kemampuan zoom sehingga 5X nirhilang (lossless) mereka.

Dual Camera Zoom ini unik kerana menggunakan sistem periskop pada sistem dwi-kamera. Satu sensor mengambil gambar seperti biasa. Sebuah lagi sensor dipasang pada kedudukan 90 darjah dari permukaan satah kamera. Sistem periskop akan memantulkan cahaya kepada sensor kedua dan membolehkan zoom sebanyak 5X dilakukan. Oppo juga turut mengatakan yang mana dengan rekaan seumpama ini, ia membolehkan bonjolan pada bahagian kamera dikurangkan berbanding kebanyakkan kamera pada hari ini.

Memandangkan zoom yang digunakan adalah nirhilang, maka hasil rakaman adalah jauh lebih baik jikalau dibandingkan dengan pesaing lain. Malah kadar kekaburan juga sangat sedikit dan gambar masih jelas walaupun di zoom 5x.

Kali pertama sistem periskop seperti ini kami lihat ialah pada Zenfone Zoom ZX551ML yang memberikan zoom optikal sehingga 3X. Perbezaan paling ketara diantara sistem yang digunakan Oppo dan Zenfone ialah, sistem Oppo lebih kompak. Tiada cagak lensa besar yang terkeluar dari bahagian peranti.

Bagi mereka yang tidak gemar dengan “bonjolan” lensa kamera seperti pada iPhone 7 Plus. Inovasi terkini Oppo ini pastinya dinantikan kemunculannya pada peranti keluaran mereka.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd