Ulasan Nubia M2 : Peranti Dengan Bateri Tahan Lama

Ulasan Nubia M2 : Peranti Dengan Bateri Tahan Lama

Diterbitkan pada July 11, 2017 oleh .

Nubia ialah jenama yang masih lagi baru di Malaysia. Ia mula dikenali selepas mengambil bintang bola sepak Portugal Cristiano Ronaldo sebagai duta mereka di China. Hari ini kami akan mengulas Nubia M2 yang merupakan sebuah peranti kelas pertengahan yang dilengkapi sistem dwi-kamera.

Ini ialah kelas peranti yang mendapat sambutan paling menggalakkan dari pengguna. Adakah Nubia M2 mempunyai kelebihan untuk bersaing dengan peranti-peranti lain di pasaran? Teruskan membaca ulasan ini.

Spesifikasi

Nubia M2
Skrin 5.5″ AMOLED HD Penuh
Pemproses Qualcomm Snapdragon 625
Cip Grafik Adreno 506
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 64 Gigabyte (MikroSD sehingga 200 GB)
Kamera Utama 13+13 Megapixel f/2.2
Kamera Depan 16 Megapixel f/2.0
Bateri 3630 mAh (NeoCharge 26vW)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
Jalur LTE 1/3/5/7/8/20/38/39/40/41
NFC Tiada
Infra Merah Tiada
Kalis Air Tiada
Harga Jualan RM 1699
Tempoh Ulasan 14 Hari

Nubia M2 dilengkapi skrin 5.5″ AMOLED dengan resolusi HD penuh. Bagi sebuah peranti kelas pertengahan, skrin yang digunakan adalah cukup baik dan pada waktu yang sama mengurangkan penggunaan bateri. Tiada komen negatif tentang skrin ini boleh kami berikan kerana umum diketahui skrin AMOLED memberikan paparan terbaik bagi peranti mudah alih semasa.

Ini dipadankan dengan pemproses Snapdragon 625, memori sebesar 4GB RAM dan storan sebesar 64 GB dengan sokongan kad MikroSD sehingga 200 GB. Ia dilengkapi talam dwi-SIM nano yang adalah dari jenis hibrid. Pemproses Snapdragon 625 ialah pemproses kelas pertengahan yang amat popular pada ketika ini dan ia pada hemat kami memberikan kemampuan memproses grafik dan ketahanan bateri yang seimbang berbanding pemproses lebih berkuasa di pasaran.

Kemampuan kamera pula ialah dwi-kamera 13-Megapixel f/2.2 yang dipadankan dengan kamera hadapan 16-Megapixel f/2.0. Sistem dwi-kamera yang digunakan menyokong fungsi bokeh yang sejak kebelakangan ini menjadi fitur terhangat pada peranti-peranti utama. Sensor RGB dan mono digunakan pada M2 seperti yang dilihat sebelum ini pada Huawei P10. Ini bermakna tiada fungsi zoom optikal disertakan

Seterusnya sebuah bateri sebesar 3630 mAh dengan sokongan pengecasan pantas 26 W NeoCharge. Port pengecasan USB-C digunakan pada peranti ini. Penggunaan port USB-C pada peranti kelas pertengahan mula dilihat tahun ini dan diharap dalam masa terdekat akan menggantikan penggunaan kabel MikroUSB.

Kerana ia sebuah peranti kelas pertengahan, tiada fungsi mewah seperti pengecasan tanpa wayar, kalis air ataupun NFC. Satu-satunya kemewahan yang disertakan ialah pengimbas cap jari pada bahagian dagu.

Rekabentuk

Rekaan Nubia M2 amat menarik pada pandangan kami. Kerangka logam sepenuhnya dengan sisi yang dibulatkan menjadikannya amat selesa di dalam genggaman. Skrin hadapan dengan rekaan 2.5D memudahkan jari bergerak dari sisi ke permukaan skrin.

Peranti yang diulas berwarna hitam dengan kemasan berwarna emas membuatkannya kelihatan amat ekslusif. Panel belakang yang pusam tidak memerangkap kotoran dengan mudah seperti peranti lain yang mempunyai kemasan berkilat.

Rekaan antena adalah cantik walaupun mendapat inspirasi dari peranti Meizu. Oppo dan iPhone. Perkara negatif yang ingin kami katakan mengenai rekaan adalah lensa kamera yang terkeluar dari tubuh. Agak sukar mencari kerangka untuk Nubia di pasaran sekarang dan lensa yang terkeluar ini terdedah kepada calar. Seperkara lagi yang kurang menarik ialah bulatan warna merah pada pengimbas cap jari di dagu peranti. Ia nampak sedikit canggung dan merosakkan estetik peranti pada hemat kami.

Nubia M2 masih lagi menggunakan butang navigasi kapasitif pada bahagian dagu. Butang home merangkap pengimbas cap jari dihimpit butang back pada sebelah kanan dan butang menu pada sebelah kiri. Ya Nubia tidak menyertakan butang multi tasking. Untuk mengakses skrin multi tasking butang back perlu ditekan selama beberapa saat. Butang menu pada sebelah kiri memberikan akses kepada kustomasi seperti widget dan menukar gambar latar belakang. Berita baik di sini ialah dua butang kapasitif ini boleh diubah kedudukannya dan berlampu bagi memudahkan navigasi pada waktu malam.

Butang kuasa terletak pada sisi kanan yang diperbuat daripada logam. Di atasnya terdapat slot talam SIM yang memerlukan jarum untuk dikeluarkan. Ini rekaan yang menjadi standard pada hampir 90% peranti di pasaran. Bergerak ke sisi kiri, terdapat dua butang kawalan suara yang turut diperbuat daripada logam.

Pada bahagian bawah terdapat slot pengecasan USB-C. Ia dihimpit dengan bicu audio 3.5 mm pada sebelah kanan dan pembesar suara mono pada sebelah kiri.

Ini mungkin sebuah peranti kelas pertengahan tetapi ia mempunyai kemasan yang premium yang menarik. Kemasan pusam pada bahagian belakang adalah sedikit kesat dan M2 tidak mempunyai masalah peranti yang licin untuk dipegang. Skrin 5.5″ tidak terlalu besar dan membuatkan peranti masih selesa digunakan hanya dengan sebelah tangan. Bagi mereka yang mementingkan peranti dengan estetik menarik, Nubia M2 akan memenuhi kehendak anda.

Antaramuka

Android Marshmallow digunakan dengan pelancar Nubia UI 4.0. Kerana ia sebuah peranti dari Tanah Besar China, Nubia M2 tidak dilengkapi dengan talam aplikasi. Penggunaan Android Marshmallow adalah mengecewakan kerana ia kini sistem operasi yang hampir berusia dua tahun.

Sungguhpun begitu rekaan elemen antamuka Nubia UI masih lagi kelihatan cantik dengan palet warna yang tidak menyakitkan mata seperti yang ditemui pada pelancar dari negara China yang lain. Peranti ini tidak dilengkapi trinity butang home, back dan multi tasking.

Sebaliknya ia masih menggunakan konfigurasi butang home, back dan menu. Kedudukan butang menu dan back boleh diubah mengikut kehendak pengguna. Bagi mengakses skrin multi tasking, pengguna perlu menekan butang back selama beberapa saat. Kami sudah biasa menggunakan peranti dengan butang multi tasking dan sistem lama Nubia UI ini adalah kurang mesra pengguna.

Sepanjang tempoh ulasan kami tidak menemui sebarang masalah dengan antaramuka peranti ini. Ia berfungsi dengan lancar tanpa sebarang sela masa.

Berikut ialah beberapa fungsi menarik yang boleh ditemui pada Nubia M2.

Gesture – Mengawal peranti dengan beberapa pergerakan jari.

  1. Dwi-Tap – Menyahkunci peranti terus dengan menekan skrin dua kali.
  2. Tatalan tiga jari ke ke bawah –  Mengambil gambar skrin.
  3. Tatalan tiga jari secara sisi – Bertukar aplikasi dengan pantas.
  4. Palm Screen Lock – Mengunci peranti dengan menutup skrin.

Smart Sensing – Mengawal peranti dengan melakukan aksi

  1. Flip To Mute – Menghentikan deringan telefon dengan menterbalikkan peranti.
  2. Motion Sensing Answer – Menjawab panggilan telefon apabila peranti di telinga.
  3. Motion Sensing Dial – Melakukan panggilan telefon apabila nombor terpapar pada skrin.

Dual Instance – Menggunakan dua aplikasi serentak menggunakan dua akaun berbeza di dalam satu peranti.

Screen Split Up – Memaparkan dua aplikasi secara serentak. Ini diaktifkan dengan menatal dari bawah skrin ke atas dengan pantas.

Long Screenshot – Merakam gambar paparan skrin secara memanjang.

Screen Recording – Merakam video paparan skrin.

FiT – Kawalan peranti dengan sentuhan sisi.

  1. Tatalan Dua Jari Pada Sisi Skrin – Menukar tahap keterangan skrin.
  2. Dwi Tap Sisi Skrin – Untuk kembali ke belakang. Pengganti butang back.
  3. Tatalan ke atas dan ke bawah pada sisi skrin – Bertukar di antara aplikasi yang telahpun dilancarkan.
  4.  Menatal sisi skrin dengan pantas – Menutup aplikasi dengan pantas.

Kamera

Dwi-kamera 13+13 Megapixel f/2.2 yang digunakan adalah dari jenis sensor gabungan monokrom dan warna seperti yang dipopularkan oleh Huawei P10. Kamera hadapan pula dilengkapi sensor 16-Megapixel f/2.0. Pada tetapan paling tinggi ia merakam video pada resolusi 4K. Terdapat pilihan untuk merakam pada resolusi 1080P 30 FPS. Tiada pilihan untuk mengubah resolusi rakaman kamera secara granular. Antaramuka hanya membenarkan menukar nisbah gambar dari 4:3 atau 16:9.

Beberapa pra-tetapan kamera disertakan bagi memudahkan proses mengambil gambar. Antara yang diberikan ialah pemfokusan semula selepas gambar diambil, LightDraw, hitam putih, 3D dan Star Trail. Tiada sokongan untuk memuat turun atau membuang pra-tetapan pada aplikasi kamera. Kerana ia sebuah peranti dwi-kamera, terdapat mod Portrait seperti pada iPhone 7 Plus.

Tahun 2017 ialah tahun dwi-kamera bukan lagi fungsi ekslusif pada peranti-peranti utama sahaja. Tetapi ini tidak bermakna fungsi kami adalah sentanding dengan peranti utama. Perkara pertama yang kami sedari ialah penghasilan semula warna. Warna pada gambar di ambil sedikit kusam dan tidak tepat seperti pada objek sebenar. Lensa f/2.2 pada kamera utama tidak menghasilkan gambar yang baik. Light blooming jelas kelihatan apabila terdapat sumber cahaya yang terang. Dalam situasi pencahayaan yang rendah image softening boleh dilihat. Keperincian gambar juga kurang tajam apabila gambar dilihat pada skrin komputer yang lebih besar.

Di dalam mod Portrait kami merasakan perisian yang digunakan masih belum cukup matang. Objek latar belakang tidak dikaburkan dengan sempurna. Kerap kali sebahagian objek hadapan turut dikaburkan. Juara mod potret masih lagi iPhone 7 Plus dengan Huawei P10 Plus tidak jauh di belakang.

Kesemua perkara di atas adalah masalah yang ditemui pada 90% peranti kelas pertengahan yang pernah kami ulas. Adalah tidak adil untuk membandingkan kualiti gambar Nubia M2 dengan Galaxy S8 atau HTC U11 tetapi perbandingan perlu dilakukan untuk memberikan ulasan yang kuantitatif.

Kamera utama mungkin hanya sederhana tetapi kamera hadapan pada hemat kami berfungsi dengan baik. Sensor besar dan lensa f/2.0 mengambil selfie yang terang dan tajam.

Untuk kegunaan muat naik pada media sosial kualiti gambar yang diambil menggunakan Nubia M2 adalah memuaskan. Nubia perlu meningkatkan kemampuan dwi-kamera untuk meletakkannya setanding dengan Asus Zenfone 3 Zoom dan Honor 8.


Audio

Hanya sebuah pembesar suara mono disertakan dan ia terletak pada bahagian bawah peranti. Bunyi yang dihasilkan cukup nyaring untuk kegunaan speaker phone. Tetapi untuk mendengar muzik, bunyi mula pecah apabila diletakkan pada tetapan bunyi paling tinggi. Kemampuan audio menerusi fon telinga pula adalah sekadar sederhana. Bunyi yang dihasilkan adalah sekadar memuaskan. Bass tidak berdentum dengan kuat dengan sound seperation yang tidak jelas.

Tiada cip khas untuk audio disertakan dengan Nubia M2 dan tidak mengejutkan kemampuan audionya tidak akan memuaskan golongan penggemar audio. Tetapi kami yakin bagi majoriti pengguna yang tidak biasa mendengar audio pada bitrate tinggi, kekurangan ini mungkin tidak disedari.

Penanda Aras

Pemproses kelas pertengahan sekarang adalah cukup berkuasa untuk melancarkan aplikasi-aplikasi popular. Malahan ada pemproses kelas pertengahan di pasaran sekarang hampir menyaingi kemampuan pemproses peranti utama setahun yang lalu. Sepanjang tempoh ulasan kami tidak menemui sebarang masalah menggunakan Nubia M2 yang diperkasakan Snapdragon 625 ini.

Aplikasi dapat dilancarkan tanpa masalah dan dengan pantas. Masalah sela masa yang menghantui peranti kelas pertengahan Android sudah hampir tiga tahun berkubur. Ini menjadikan peranti kelas pertengahan amat berbaloi dimiliki. Peranti juga tidak menjadi panas apabila aplikasi GPS digunakan. Dalam ujian penanda aras Antutu 3D, Nubia M2 mencatatkan 62733 markah manakala dalam ujian Futuremark pula ia mencatatkan 11216 markah.

Bateri

Pada penggunaan sederhana peranti dapat bertahan sehingga 32 Jam dengan skrin terpasang selama 9 jam. Pada penggunaan paling santai peranti bertahan selama 51 jam dengan skrin terpasang selama 6 jam 56 minit. Nubia M2 ialah antara peranti yang mempunyai hayat bateri yang paling lama yang pernah kami ulas tahun ini.

Ia masih di belakang Asus Zenfone 3 Zoom yang mempunyai SOT hampir 14 jam. Tetapi hayat peranti masih menakjubkan kerana ia dilengkapi bateri sebesar 3630 mAh berbanding 5000 mAh pada Zenfone 3 Zoom.

Pesaing

Nubia M2 ialah sebuah peranti kelas pertengahan dengan rekaan premium. Oleh itu ia bersaing secara langsung dengan Asus Zenfone 3 Zoom dan Samsung Galaxy A7 2017. Berikut ialah perbandingan spesifikasi serta harga ketiga-tiga peranti.

Peranti Pesaing
Nubia M2 Asus Zenfone 3 Zoom Samsung Galaxy A7 2017
5.5″ AMOLED FHD (401 PPI) 5.5″ AMOLED FHD (401 PPI) 5.7″ SAMOLED FHD (386 PPI)
2.0GHz X8 Snapdragon 625 2.0 GHz X 8 Snapdragon 625 1.9 GHz Exynos 7880
Adreno 506 Adreno 506 Mali T-83
4 Gigabyte 4 Gigabyte 3 Gigabyte
64 Gigabyte (200 GB MikroSD) 64 Gigabyte (128 GB MikroSD) 32 Gigabyte (256 GB MikroSD)
Kamera Utama 13+13Megapixel f/2.2, PDAF Kamera Utama 12+12 Megapixel f/1.7+f/2.8, Zoom Optikal 2.3X, OIS Kamera Utama 16 Megapixel, f/1.9, PDAF
Kamera Hadapan 16 Megapixel Kamera Hadapan 13 Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan 16 Megapixel, f/1.9,
3630 mAh (Pengecasan Pantas) 5000 mAh (Pengecasan Pantas) 3600 mAh (Pengecasan Pantas)
RM 1699 RM 2099 RM 1899

Kesimpulan

Peranti kelas pertengahan dengan kemasan premium ialah segmen pasaran yang menunjukkan perkembangan menarik tahun ini. Dengan harga di bawah RM 2200 terdapat banyak peranti menarik bersaing di dalam pasaran ini. Kelebihan Nubia M2 terletak pada rekaan yang menarik dan pelbagai fungsi tambahan yang disertakan. Ia tidak memerangkap kotoran dengan mudah kerana kemasan yang pusam pada panel belakang. Sisi yang dibulatkan pula membuatkannya amat selesa di dalam genggaman dan tidak mudah terlepas kerana tidak terlalu licin.

Antaramuka Nubia UI 4.0 pula menyertakan banyak fungsi tambahan yang tidak disertakan pada Android Stock. Walaupun masih menggunakan Android Marshmallow, fungsi split screen disertakan. Fungsi gesture turut disertakan seperti dwi-tap untuk menghidupkan skrin. Disamping itu keterangan skrin boleh diubah dengan menatal bahagian tepi skrin. Gambar skrin pula oleh diambil dengan tatalan tiga jari.

Perkara paling kami gemari mengenai Nubia M2 ialah ketahanan bateri. Bateri mampu bertahan hampir 30 jam. Hayat SOT terbaik yang dicatatkan pula mencecah 9 jam  18 minit pada penggunaan sederhana. Snapdragon 625 ialah pemproses yang cukup kami gemari kerana ia memberikan kemampuan memproses dan ketahanan bateri yang baik.

Bagaimana pula dengan kelemahan? Bagi kami ia terletak pada bahagia kamera. Penghasilan warna tidak berapa baik. Warna tidak menyerlah dan berbeza dengan objek sebenar. Sumber cahaya yang terang akan menunjukkan kesan blooming disamping image softening apabila di dalam situasi pencahayaan kurang baik. Keperincian imej juga tidak memuaskan. Perisian melakukan bokeh perlu dikemaskini kerana ia tidak mengaburkan imej latar belakang dengan tepat. Kesemua masalah di atas adalah kebiasaan pada peranti kelas pertengahan.

Dengan harga jualan RM 1699, Nubia M2 ialah peranti yang dijual pada harga yang munasabah untuk kesemua fungsi yang disertakan. Bagi yang inginkan peranti dengan ketahanan bateri yang baik serta kemasan yang premium ini antara peranti yang boleh disenarai pendekkan.

Kelebihan Kekurangan
  • Rekaan yang cantik dan selesa dipegang. Kemasan berwarna emas membuatkan peranti kelihatan premium.
  • Bateri yang bertahan amat lama sehingga 9 Jam SOT pada penggunaan sederhana.
  • Sokongan pengecasan pantas.
  • Terdapat pelbagai fungsi tambahan seperti split screen, long screenshot dan sokongan gesture.
  • Kamera mempunyai pelbagai fungsi terbina.
  • Masih menggunakan Android Marshmallow.
  • Tiada butang multi tasking. Butang back perlu ditekan selama beberapa saat untuk mengaskses skrin multitasking.
  • Kemampuan kamera sederhana. Fungsi bokeh misalnya tidak tepat mengaburkan latar belakang.


TIPS & ULASAN