Cari @ Amanz

Samsung Galaxy A 2017 dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada awal Januari yang lalu. Kami sudahpun menulis ulasan untuk Galaxy A5 2017 dan kini tiba giliran untuk Galaxy A7 2017 pula. Adakah peranti yang mempunyai skrin lebih besar ini lebih baik berbanding A5 2017? Ini ialah ulasan penuh kami hari ini.

Spesifikasi

Samsung Galaxy A7 2017
Skrin 5.7″ SAMOLED FHD (386 PPI)
Pemproses 1.9 GHz x 8 GHz Exynos 7880
Cip Grafik Mali T830
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 32 Gigabyte (Kad MikroSD sehingga 256 GB)
Kamera Utama 16 Megapixel f/1.9
Kamera Depan 16 Megapixel f/1.9
Kalis Air IP 68
Bateri 3600 mAh (Pengecasan Pantas)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano / Bukan HIbrid
Jalur LTE 1/2 /3 /4 /5 /7 /8/17/20/

28/38/40/41

NFC Ya
Infra Merah Tiada
Pengimbas Cap Jari Ya
Harga Jualan RM 1899

Skin 5.7″ SAMOLED HD Penuh dipadankan dengan pemproses 1.8 GHz lapan teras Exynos 7880. Ini adalah sedikit lebih besar berbanding 5.2″ yang digunakan pada A5 2017. Kesemua fungsi yang wujud pada A5 dikekalkan. Antaranya ialah sistem Always On Display yang mengaktifkan skrin sepanjang masa untuk memaparkan notifikasi terkini yang diterima pengguna. AOD kini menjadi fungsi standard peranti Samsung yang dilancarkan tahun ini. Ia kali pertama diperlihatkan pada Galaxy S7 tahun lalu.

RAM sebesar 3 Gigabyte dipadankan dengan storan sebesar 32 Gigabyte. Bagi yang memerlukan storan tambahan, kad MikroSD sehingga 256 Gigabyte boleh digunakan. Talam khas diberikan kepada kad MikroSD. Ini bermakna dua SIM bersaiz Nano boleh digunakan serentak dengan kad MikroSD tanpa sebarang masalah.

Kemampuan optik pula ialah kamera hadapan serta belakang sebesar 16-Megapixel dengan lensa f/1.9. Menarik sekali kedua-dua kamera ini turut menggunakan sensor ISOCELL yang sama keluaran Samsung. Tidak seperti A7 2016, kali ini sistem OIS tidak disertakan. Resolusi merakam video maksimum pula hanya 1080P.

Bateri sebesar 3600 mAh disertakan dengan sokongan pengecasan pantas Adaptive Fast Charging melalui port pengecasan USB-C. Jika dibandingkan dengan A5 2017, ini adalah peningkatan sebanyak 600 mAh. Kami masih merasakan saiz bateri ini adalah sedikit kecil bagi peranti dengan skrin yang agak besar. Tetapi ia adalah lebih besar berbanding 3500 mAh yang ditemui pada Galaxy S8 Plus (3500 mAh)

Terdapat pengimbas cap jari terbina pada butang home dan sokongan NFC pada panel belakang. Galaxy A5 2017 menyokong sistem pembayaran Samsung Pay.

Samsung pay bukan satu-satunya fungsi premium yang kini disokong pada Galaxy A7 2017. Peranti ini turut mempunyai kemampuan kalis air IP68. Setahu kami Galaxy A5 dan A7 2017 adakah dua peranti kelas pertengahan dengan kemampuan kalis air. Sebelum ini ia hanya disertakan pada peranti-peranti utama di pasaran.

Sungguhpun begitu Galaxy A7 2017 masih tidak disertakan dengan pemancar infra merah. Ini tidak mengejutkan kerana sejak kebelakangan ini fungsi ini sudah semakin pupus seperti bicu audio pada peranti iPhone.

 

Rekabentuk

Rekaan A7 2017 berkongsi DNA dengan Samsung Galaxy S7. Panel belakang diperbuat daripada kaca dengan sisi dwi-lengkung. Kaca hadapan 2.5D digunakan bagi memastikan keselesaan pergerakan jari dari skrin ke sisi.

Sisi logam berbentuk bulat membuatkan peranti amat selesa di dalam genggaman tangan. Sisi logam ini mempunyai warna yang sama dengan panel belakang. Unit ulasan yang kami terima berwarna hitam dan kelihatan amat segak. Skema warna ini turut boleh dilihat pada Galaxy S7 Edge Pearl Black yang baru sahaja diperlihatkan. Di atas kertas Galaxy A7 2017 ialah sebuah peranti kelas pertengahan namun dari segi rekaan ia mempunyai kemasan yang lebih premium berbanding beberapa peranti kelas utama yang pernah memasuki Makmal Peranti Amanz.

Butang kuasa terletak pada sisi kanan manakala dua butang suara diletakkan pada sisi kiri. Ketiga-tiga butang diperbuat daripada logam dengan binaan yang kukuh. Ia tidak menyakitkan jari apabila ditekan dan tidak bergoyang di dalam soket. Kualiti kemasan ialah antara kekuatan produk Samsung dan pada A7 2017 ia sekali lagi tidak mengecewakan.

Pembesar suara yang biasanya ditemui pada bahagian bawah peranti Samsung kini berubah kedudukannya di atas butang kuasa. Ini sama seperti yang dilihat pada Galaxy J5 Prime. Bicu audio 3.5 mm dan port pengecasan terletak pada bahagian bawah peranti. Masih tiada sokongan audio secara stereo seperti yang ditemui pada Samsung C9 Pro.

Galaxy A7 2017 masih menggunakan butang navigasi fizikal pada bahagian dagu. Butang home pada bahagian tengah dihimpit butang multi tasking pada sebelah kiri dan butang back pada bahagian kanan. Kedua-dua butang navigasi ini dilengkapi lampu bagi memudahkan penggunaan pada waktu malam.

Secara keseluruhan Galaxy A7 2017 mempunyai rekaan menarik dengan kemasan yang berkualiti. Paling penting sekali ia selesa dipegang tetapi panel kaca pada bahagian belakang memerangkap cap jari dengan mudah. Kami dimaklumkan kaca Gorilla hanya digunakan pada skrin hadapan. Oleh itu penggunaan kerangka tahan hentakan mungkin diperlukan sekiranya anda mahu memiliki peranti ini atas faktor keselamatan.

Seperkara lagi bonjol kamera yang ada pada Galaxy S7 tidak lagi wujud pada A7 2017. Ini memudahkan ia diletakkan rata pada permukaan meja tanpa memerlukan kerangka. Samsung memberikan empat pilihan warna iaitu hitam, biru, emas dan merah jambu.

Antaramuka

Android 6.0.1 Marshmallow digunakan dengan pelancar Grace UX yang sebelum ini ditemui pada Note 7. Ini membuatkan peranti kelihatan lebih kemas dan minimalis. Sejak dua tahun kebelakangan ini, Samsung melakukan perubahan drastik ke atas rekaan antaramuka mereka. TouchWiz yang menggunakan warna terang dan kontra kini sudah secara rasminya berkubur digantikan dengan rekaan yang lebih mengikuti estetik semasa. Kami sedikit kecewa kerana Samsung masih menggunakan Marshmallow pada peranti keluaran 2017. Kemaskini ke Android Nougat dijadualkan berlaku pada suku ke-dua tahun ini.

Seperti biasa Samsung menyertakan pelbagai fungsi tambahan pada peranti keluaran mereka. Kebanyakan fungsi tambahan ini tidak ditemui pada Android Stock. Berikut ialah senarai fungsi-fungsi yang disertakan.

  • Info
  • Clear Badge – Membuang jumlah notifikasi mesej belum dibaca pada aplikasi tertentu.
  • Info
  • Put To SLeep – Menyahatifkan aplikasi sementara. Tidak lagi menggunakan data atau memberikan notifikasi apabila diaktifkan.
  • Info
  • Palm Capture – Menangkap gambar paparan skrin dengan menggunakan telapak tangan.
  • Info
  • Smart Stay – Skrin tidak akan terpadam selagi ia mengesan mata anda memandang skrin.
  • Info
  • Direct Call – Peranti melakukan panggilan telefon secara automatik apabila ia diletakkan ke telinga pengguna.
  • Info
  • Easy Mute – Mematikan nadi dering dengan meletakkan tangan di atas skrin atau menelangkupkan peranti.
  • Info
  • Multi WIndow – Memaparkan dua aplikasi serentak dengan skrin terbahagi kepada dua.
  • Info
  • Quick Launch Camera – Melancarkan kamera dengan pantas dengan menekan butang home sebanyak dua kali.
  • Info
  • One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin bagi memudahkan penggunaan sebelah tangan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali.
  • Info
  • Themes – Kustomasi antaramuka dengan tema-tema baru yang boleh dimuat turun.
  • Info
  • Game Launcher – Kemudahan merakam video aplikasi permainan serta mematikan kesemua notifikasi apabila ia diaktifkan.
  • Info
  • Grid – Menetapkan saiz grid susunan ikon. Terdapat pilihan 4×4, 4×5 atau 5×5.
  • Info
  • Second Space – Menghalang akses kepada folder tertentu dengan menguncinya dengan cap jari. Second Space juga membenarkan dua aplikasi yang sama seperti WhatsApp digunakan pada satu peranti.

 

Kamera

Kamera utama sebesar 16-Megapixel f/1.9 yang juga sebesar 16-Megapixel f/1.9. Peranti ini jelas mensasarkan golongan yang gemar mengambil foto selfie. Kamera utama mengambil gambar pada nisbah 4:3 pada tetapan tertinggi 16-Megapixel. Untuk mengambil gambar pada nisbah 16:9, resolusi diturunkan ke 12-Megapixel.

Tetapan rakaman video tertinggi pula ialah 1080P 30 FPS Antaramuka kamera mudah difahami dan minimalis. Terdapat tujuh pratetapan mod mengambil gambar disertakan. Seperti biasa pada aplikasi kamera Samsung, terdapat pilihan memuat pra-tetapan lain yang mungkin diperlukan pengguna. Antaramuka kamera yang baru ini lebih kemas. Untuk menukar antara kamera hadapan dan belakang, pengguna boleh melakukannya dengan mentatal skrin dari atas ke bawah. Ini adalah lebih pantas berbanding menggunakan ikon sebelum ini.

Mengambil selfie juga mudah dengan melakukan aksi tangan. Aplikasi mengesan kewujudan telapak tangan dan kemudian melakukan kiraan ke belakang selama 5 saat sebelum gambar diambil. Mod Beutify yang mencantikkan wajah serta selfie sudut lebar turut disertakan pada kamera hadapan.

Kemampuan mengambil gambar adalah baik bagi sebuah peranti kelas pertengahan. Dalam sitiuasi pencahayaan yang baik, gambar yang diambil adalah tajam dan mempunyai penghasilan semula warna yang baik.

Dalam situasi gelap dan pencahayaan yang kurang baik kelemahan mula kelihatan. Pertama sekali gambar menjadi kurang tajam dan sumber cahaya mula mengalami masalah dedahan berlebih. Sungguhpun dilengkapi lensa f/1.9, kualiti gambar dalam situasi gelap adalah kurang memuaskan. Peranti kelas pertengahan kerap mempunyai masalah apabila di dalam situasi pencahayaan yang kurang baik. Jadi sekiranya A7 2017 dibandingkan dengan peranti di dalam kelas yang sama, kualiti gambar yang yang diambil adalah bersesuaian dengan harga jualannya. Tidak adil untuk mengharap kualiti gambar setanding Galaxy S7 Edge sedangkan harga jualannya adalah hampir separuh.

Galaxy A7 2017 ialah peranti yang mementingkan selfie. Menurut pakar selfie Amanz Nisa Kay, kualiti selfie dari kamera hadapan 16-Megapixel peranti ini adalah amat baik. Saiz sensor yang besar dengan lensa f/1.9 memastikan gambar adalah tajam dan terang. Sistem Beutify terbina pula dapat menghilang cela pada wajah dengan mudah.

Penanda Aras

Pemproses Exynos 7880 yang digunakan adalah pemproses kelas pertengahan. Dari ujian penanda aras ia terletak di antara Snapdragon 625 (Zenfone 3) dan Helio P10 (Oppo F1 Plus). Markah yang dicatatkan adalah 34480 markah pada Quadrant, 57519 markah pada Antutu dan 13315 pada Futuremark.

Sepanjang tempoh ulasan peranti berfungsi dengan lancar sekali. Tiada masalah selama masa atau masalah memasang aplikasi dialami. Pengoptimasian yang dilakukan pihak Samsung adalah cukup baik sekali.

 

Bateri

Bateri 3600 mAh yang disertakan adalah saiz yang bersesuaian untuk peranti dengan skrin sebesar 5.2″. Pada penggunaan biasa peranti berjaya bertahan selama hampir 22 jam dengan masa skrin terpasang maksimum 8 Jam 30 minit. Ini ialah hayat penggunaan yang baik. Ianya setanding dengan peranti kelas pertengahan lain dengan kapasiti bateri yang sama. Terdapat sokongan pengecasan pantas Adaptive Fast Charging yang mengecas semula bateri dalam masa sekitar 95 minit.

Pesaing

Galaxy A7 2017 ialah peranti yang mensasarkan peminat selfie. Oleh itu dua peranti yang memberikan saingan terhampir di pasaran ialah Oppo R9s Plus dan Vivo V5 Plus.

Peranti Pesaing
Samsung Galaxy A7 2017 Oppo R9s Vivo V5 Plus
5.7″ SAMOLED FHD (386 PPI) 5.5″ AMOLED FHD (401 PPI) 5.5″ IPS LCD FHD (401 PPI)
1..9 GHz x 8 GHz Exynos 7880 2.0 x 8  GHz Snapdragon 625 2.0 x 8 GHz Snapdragon 625
Mali-T830 MP3 Adreno 506 Adreno 506
3 Gigabyte 4 Gigabyte 4 Gigabyte
32 Gigabyte (256 GB MikroSD) 64 Gigabyte (256 GB MikroSD) 64 Gigabyte ( 128 GB MikroSD)
Kamera Utama 16 Megapixel f/1.9 Kamera Utama 16 Megapixel f/1.7,PDAF Kamera Utama 16 Ultrapixel f/2.0, OIS, Laser
Kamera Hadapan 16 Megapixel f/1.9 Kamera Hadapan Kamera Hadapan 16 Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan 20+8 Megapixel f/2.0, FLASH
3600 mAh (Pengecasan Pantas) 3010 mAh (Pengecasan Pantas) 3160 mAh (Pengecasan Pantas)
RM 1899 RM 1798 RM 1799

Kesimpulan

Pasaran peranti pertengahan suatu ketika dahulu didominasi oleh Samsung. Sukar untuk berjalan di ibu kota dan tidak melihat peranti Samsung di tangan pengguna di Malaysia. Tetapi sejak tiga tahun kebelakangan ini pasaran ini sudah menjadi amat kompetitif kerana kemasukan peranti dari tanah besar China. Peranti keluaran China dijual pada harga yang lebih mampu milik dengan spesifikasi yang setanding. Kesilapan Samsung pada waktu tersebut ialah terus menghasilkan peranti baru tanpa sebarang fungsi unik tetapi pada harga lebih premium.

Dengan Galaxy A7 2017, Samsung cuba memenangi semula pasaran peranti kelas pertengahan yang amat sengit ini. Rekaan lebih premium dipadankan dengan fungsi kalis air IP68 menjadi pertaruhan mereka untuk membezakan jenama mereka dengan jenama lain. Masalah sela masa yang dikaitkan dengan peranti kelas pertengahan Samsung juga telah diselesaikan. Aplikasi gendut juga tidak disertakan. Penggunaan antaramuka Grace UX pada A7 yang minimalis membuatkan peranti lebih sedap mata memandang. Penggunaan skrin 2.5D dan panel belakang kaca melengkung membuatkannya turut selesa dipegang.

Sepanjang tempoh ulasan kami tidak mempunyai sebarang masalah dengan peranti ini. Ianya lancar, pantas dan membawakan pelbagai fungsi tambahan yang menarik. Fungsi Always On Display contohnya membolehkan notifikasi dipaparkan tanpa mengaktifkan skrin sepenuhnya. Ketahanan bateri juga agak baik dengan skrin terpasang melangkaui 8 jam. Kemampuan kamera adalah baik bagi sebuah peranti kelas pertengahan.

Kelemahan yang wujud ialah tubuh yang memerangkap cap jari dengan mudah. Ini ialah masalah yang melanda kesemua peranti dengan kemasan kaca. Pada waktu yang sama ia membuatkannya licin untuk dipegang. Pembelian kerangka tahan lasak amat kami sarankan. Pembesar suara pada bahagian sisi adalah unik tetapi kurang praktikal apabila dipegang secara menegak. Kerap kali telapak tangan menutupi kekisi pembesar suara yang agak kecil ini.

Samsung Galaxy A7 2017 ialah peranti kelas pertengahan yang menekankan kemampuan selfie yang dijual pada harga RM 1899. Ini ialah harga yang kompetitif bagi peranti dengan tubuh kaca serta kemampuan kalis air IP68. Akhirnya Samsung mempunyai peranti yang mampu bersaing dengan peranti dari negara China.

Kelebihan Kekurangan
  • Rekaan premium setanding dengan peranti premium yang dihasilkan oleh Samsung sebelum ini.
  • Kalis air dan debu IP68. Fungsi peranti premium kini hadir ke peranti kelas pertengahan
  • Kemampuan kamera yang baik.
  • Berfungsi dengan lancar dan menggunakan Grace UX yang minimalis.
  • Pelbagai fungsi tambahan disertakan.
  • Dilengkapi sistem pengecasan pantas.
  • Talam SIM dan kad MikroSD tidak berkongsi.
  • Panel belakang yang diperbuat dari kaca agak licin serta mengumpul cap jari dengan mudah.
  • Masih lagi menggunakan Android Marshmallow.
  • Pembesar suara sisi kerap tertutup apabila peranti dipegang menegak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd