Ulasan Uncharted : The Lost Legacy – Uncharted Terbaik Sejak Among Thieves

Ulasan Uncharted : The Lost Legacy – Uncharted Terbaik Sejak Among Thieves

Diterbitkan pada Ogos 18, 2017 oleh .

Uncharted 4 : A Thief’s End ialah bab terakhir pengembaraan Nathan Drake. Di dalam ulasan kami tahun lalu, kami memberikan permainan ini 9.6/10 kerana ia adalah memberikan kepuasan kepada kami. Uncharted The Lost Legacy ialah siri spin-off yang meneruskan siri ini tanpa Nathan.

Pemain kini mengawal Chloe Fraser, mantan teman wanita Nathan yang diperkenankan di dalam Uncharted 2. Adakah The Lost Legacy permainan yang harus dimiliki ataupun Naughty Dog telah kehabisan idea selepas Nathan Drake bersara? Ini ialah ulasan penuh kami.

Jalan Cerita

Tanpa membuang masa kami akan katakan pada anda jalan cerita The Lost Legacy mungkin bukan yang terbaik di dalam siri ini.  Malahan terdapat elemen kitar semula dengan jantina Nathan ditukar dan digantikan dengan Chloe. Seperti Nathan, Chloe menerima artifak dari ayah beliau dan ini menjadi sebab mengapa beliau kini berada di India.

Tanpa menceritakan spoilers berlebihan, Chloe sedang mencari artifak Gading Ganesha yang dipercayai disimpan oleh tamadun Haysala yang telah pupus. Bagi memudahkan pencarian artifak berharga ini,  Chloe meminta bantuan Nadine Ross, watak penjahat dari A Thief’s End.

Bolehlah kami katakan The Lost Legacy ialah Star Wars : The Force Awaken siri Uncharted. Sungguhpun banyak elemen jalan cerita Uncharted 2 dikitar semula, ia masih lagi menyeronokkan kerana penulisan yang baik dari Naughty Dog. Elemen-elemen terbaik dari Uncharted sebelum ini digunakan semula bagi menghasilkan permainan yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi memberikan impak emosi kepada pemain.

Apa yang boleh kami katakan ialah selepas usai The Lost Legacy, kami kini inginkan siri Uncharted diteruskan dengan watak Chloe. Seperti Nathan, watak beliau yang sarkasis dan kerap berjenaka tidak membosankan. Dunia permainan pengembara beraksi lasak mempunyai ruang yang cukup besar untuk Chloe Fraser dan Lara Croft.

Sepanjang permainan Chloe dan Nadine diberikan dialog perbualan yang menarik. Hasilnya sejarah kehidupan mereka berdua yang selama ini tidak disentuh kini diketahui oleh peminat siri ini.

Terdapat cameo menarik di akhir permainan bagi menyambungkan jalan cerita The Lost Legacy dengan A Thief’s End. Secara keseluruhan jalan cerita permainan ini menarik meneruskan reputasi Naughty Dog sebagai pembangun yang bijak menghasilkan permainan dengan jalan cerita yang menarik dan dialog yang menghiburkan.

Kawalan Permainan

Bukan rahsia Nathan Drake mendapat inspirasi dari filem Indiana Jones dan permainan video Tomb Raider. Dengan The Lost Legacy, Chloe Fraser ialah jawapan Naughty Dog kepada Lara Croft. Chloe mampu melakukan kesemua aksi lasak Nathan dan Lara. Cangkuk bertali kembali bagi membolehkan aksi berayun seperti Tarzan dan menyelesaikan teka-teki dilakukan.

Chloe juga boleh bergabung secara tag-team dengan Nadine untuk mengalahkan musuh. Nadine ialah watak sekunder yang membantu dan bukannya watak pasif yang hanya melihat apabila Chloe diserang. Ini sesuai dengan watak Nadine yang pernah menjadi ketua askar upahan Shoreline.

Siri Uncharted terkenal dengan gunplay yang cukup seimbang. Senjata automatik akan menjadi kurang tepat di dalam mod auto. Pistol berkaliber besar boleh membunuh dengan sekali tembakan tetapi lambat untuk menembak. Terdapat puluhan senjata di dalam The Lost Legacy yang boleh digunakan bagi memenuhi cara permainan setiap individu.

Kami secara peribadi menggemari kombinasi pistol dengan peredam bunyi dan raifal bullpup. Majoriti musuh kami tewaskan dengan aksi stealth bukannya senjata. Ini terasa lebih memuaskan dan mudah.

Seperti pada A Thief’s End, musuh amat bijak melakukan flanking. Apabila kami menyorok di belakang tembok, bom tangan akan dilontar bagi menghalang kami berkhemah di tempat selamat. Pada tetapan kesukaran yang tinggi ia beberapa kali membuatkan kami mencampak Dual Shock 4. Tetapi ini pada hemat kami adalah bagus kerana ia memberikan cabaran dan kejayaan mengalahkan mini-boss terasa lebih manis

Perkara baru yang diperkenalkan di dalam The Lost Legacy ialah kemampuan membuka kunci peti. Peti berisi senjata dan harta karun hanya boleh dibuka dengan melakukan mini-game. Tombol analog kiri diputar dan apabila bergetar pemain perlu menghentikan putaran. Selepas dilakukan beberapa kali peti akan dibuka. Aksi membuka peti ini sama seperti yang ditemui di dalam Fallout 3/4 tetapi tanpa pin yang patah apabila gagal.

Jika anda veteran siri Uncharted, tidak ada perubahan drastik dilakukan dari segi gameplay. Pendek kata The Lost Legacy ialah permainan yang sama seperti Uncharted sebelum ini dengan watak baru berlainan jantina.

Oh sebelum terlupa, beberapa segmen teka-teki di dalam permainan akan memerlukan anda memerah otak. Segmen teka-teki adalah trope permainan aksi pengembaraan. Hampir kesemua puzzle di dalam The Lost Legacy akan membuatkan anda berfikir untuk masa yang agak lama.

Grafik

Grafik ataupun corak permainan lebih penting? Ini persoalan yang boleh memulakan debat tanpa henti di internet. Kami tergolong di dalam kumpulan corak permainan adalah lebih penting. Kita bernasib baik kerana Naughty Dog berada di dalam kumpulan “kedua-duanya alah amat penting”. Kami telapun mengatakan jalan cerita dan corak permainan The Lost Legacy adalah baik. Grafik permainan ini pula seperti dijangka adalah antara tercantik pernah dilihat pada konsol.

Pada bahagian permulaan Chloe bergerak di waktu malam untuk menemui Nadine. Ini diperlihatkan di dalam trailer E3 2017 yang lalu. Apa yang anda lihat pada trailer ini adalah grafik sebenar yang boleh dimainkan. Ia memang cukup menakjubkan dengan kualiti grafik pada tetapan yang tinggi.

Lokasi lain seperti hutan, kota purba dan air terjun kadang kala kelihatan seperti gambar sebenar bukannya grafik komputer. Tekstur yang digunakan cukup terperinci walaupun kami hanya memainkan permainan ini pada sebuah PlayStation 4 biasa. Pada PlayStation 4 Pro terdapat sokongan resolusi 4K bagi paparan yang lebih tajam. Pada kedua-dua konsol mod paparan HDR boleh diaktifkan sekiranya TV anda menyokongnya.

Kami cukup gembira dengan rekaan beberapa lokasi di dalam The Lost Legacy. Pada hemat kami A Thief’s End tidak cukup epik kerana berlatarbelakangkan sejarah lanun. Di dalam The Lost Legacy terdapat kuil dan bandar lama yang kelihatan lebih epik dengan skala yang besar. Kali terakhir kami teruja dengan grafik secantik ini ialah apabila tiba di kota kara Shambala di dalam Among Thieves.

Kuil yang ditinggalkan selama ratusan tahun ditumbuhi lumut dan pokok dengan cukup realistik. Ratusan rangka di lantai nampak berdebu dan menyeramkan. Art direction dari studio Naughty Dog memang boleh diandalkan bagi menghasilkan dunia digital yang kelihatan hidup.

Audio

Sistem audio yang baik apabila digabungkan dengan grafik yang realistik benar-benar membuatkan anda terasa seperti di dalam dunia Horizon. Dentuman pelancar China Lake memekakkan telinga, ledakan senapang patah nyaring sehingga menimbulkan ketakutan dan muzik latar belakang menyamai runut bunyi filem blockbuster. Kami menyarankan penggunaan fon kepala berkualiti tinggi ketika bermain The Lost Legacy. Ini bagi memberikan sesi permainan yang lebih imersif.

Mod Tambahan Dan Bonus

The Lost Legacy mungkin diklasifikasikan sebagai sebuah DLC tetapi ia mempunyai pelbagai mod tambahan bagi menjadikan pembeliannya berbaloi.

Terdapat mod multiplayer seperti di dalam A Thief’s End dengan mod standard Team Deathmatch, King of Hill dan Ranked. Sebanyak 14 peta diberikan dengan watak tambahan baru dari The Lost Legacy.

Mod baru Survival Arena pula menguji kepakaran anda dan rakan-rakan menentang musim yang datang tanpa henti. Kerjasama adalah penting bagi membolehkan anda meneruskan perjuangan menentang musuh di tahap seterusnya.

Terdapat juga Bonus yang membolehkan The Lost Legacy dimainkan semula dengan Render Mode berbeza. Kegemaran kami ialah Cell Shaded yang membuatkan permainan kelihatan seperti animasi. Game Multipliers pula mengaktifkan mod cermin, tanpa graviti dan peluru tanpa henti. Permainan ini mempunyai nilai main semula yang tinggi.

Kesimpulan

Uncharted : The Lost Legacy ialah DLC yang sebenarnya layak dijual sebagai permainan berasingan. Selepas menghabiskan 9 jam di dalam mod solo kami kini dahagakan permainan Uncharted yang memaparkan Chloe dan Nadine.  Mereka dengan mudah mengambil alih tugas Nathan Drake dan Sully bagi meneruskan siri ini.

Terdapat mod multiplayer bagi mereka yang mungkin tidak berpuas hati dengan hanya mod permainan solo. Di samping itu terdapat banyak artifak untuk dikumpul serta puluhan bonus yang boleh dinyahkunci selepas usai permainan.

Sebagai peminat tegar siri Uncharted, kami merasakan The Lost Legacy adalah permainan yang kedua terbaik selepas Uncharted 2 : Among Thieves. Elemen-elemen terbaik dari kesemua permainan sebelum ini dikitar semula bagi menghasilkan mahakarya untuk konsol PlayStation 4. Anda sukakan segmen kereta api Among Thieves, aksi kejar mengejar A Thief’s End dan Drake Deception? Ada satu babak di dalam The Lost Legacy yang kami yakin akan mengalahkan kesemua babak di atas.

Sekiranya anda peminat permainan pengembaraan penuh aksi Uncharted dan Tomb Raider, ini ialah permainan yang kami amat sarankan kepada anda. Uncharted : The Lost Legacy akan mula dijual 22 Ogos ini hanya untuk PlayStation 4 dan PlayStation 4 Pro. Selamat mengembara!


TIPS & ULASAN