Cari @ Amanz

Sebelum ini kami melaporkan sokongan penstriman video HDR di YouTube diaktifkan pada peranti Samsung Galaxy S8, S8+ dan Note 8. Nampaknya sokongan ini juga diberikan kepada empat lagi peranti semalam. Peranti tersebut adalah Sony Xperia XZ Premium, LG V30, Google Pixel dan Pixel XL.

Kemaskini YouTube mengaktifkan fungsi HDR pada tujuh peranti kesemuanya seperti Mutiara Naga. Sokongan ke atas Google Pixel dan Pixel XL adalah menarik kerana kedua-duanya tidak diiklankan mempunyai skrin HDR dan hanya sekadar skrin AMOLED. Ini boleh dijadikan petanda awal Pixel 2 kelak akan turut menyokong skrin HDR.

Walaupun telah diaktifkan kami menyedari penstriman video tidak sekata pada peranti yang sempat kami cuba. Pada S8 sesetengah video dimainkan lancar pada tetapan 720P tetapi menjadi perlahan pada 1080P. Pada Note 8 sebaliknya berlaku. Laman Reddit mempunyai banyak beberapa bebenang pengguna yang melaporkan masalah yang sama. Ini mungkin kerana sokongan HDR pada peranti mudah alih masih baru dan belum dioptimasi. Tetapi harus kami akui video HDR adalah amat terang dan tajam melangkaui penstriman video SDR biasa.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd