Pandang Pertama Vivo V7+ – Peranti Kamera Selfie 24 Megapixel Dengan Rekaan Hampir Semua Skrin

Pandang Pertama Vivo V7+ – Peranti Kamera Selfie 24 Megapixel Dengan Rekaan Hampir Semua Skrin

Diterbitkan pada Sep 27, 2017 oleh .

LG V6, LG V30, Samsung Galaxy Note 8, Samsung Galaxy S8, Xiaomi Mi MIX 2 dan iPhone X adalah contoh peranti dengan rekaan hampir semua skrin. Ini adalah anjakan paradigma rekaan peranti utama untuk tahun 2017. Tetapi kesemua peranti di atas dijual pada harga yang kurang mampu milik.

Bagi mereka yang mungkin kekurangan dana, Vivo V7+ akhirnya mendarat di Malaysia hari ini. Ia menawarkan rekaan hampir semua skrin pada harga yang lebih mesra akaun bank tanpa perlu mengikat perut. Berikut ialah pandang pertama kami untuk peranti Vivo V7+

Spesifikasi

Vivo V7+
Skrin 5.99″ IPS LCD HD+ (269 PPI)
Pemproses Snapdragon 450
CPU 8 x 1..8 GHz Cortex A53
Cip Grafik Adreno 506
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 64 Gigabyte (MikroSD sehingga 256 GB)
Kamera Utama 16 Megapixel f/2.0, PDAF
Kamera Depan 24 Megapixel f/2.0, Flash
Bateri 3225 mAh (Tiada pengecasan pantas)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Nano)
Jalur LTE 1/3/5/7/8/40/41
NFC Tiada
Infra Merah Tiada
Kalis Air Tiada
Harga Jualan RM 1499

Harga yang lebih mampu milik memaksa penggunaan spesifikasi yang lebih rendah. Skrin 5.99″ IPS LCD FullView Display peranti ini hanya menyokong resolusi HD+. Ini jauh berbeza dari QHD+ yang ditemui pada Galaxy Note 8 dan LG V30. Ia walaubagaimanapun mempunyai nisbah skrin 18:9 untuk paparan yang lebih sinematik.

Skrin ini dipadankan pula dengan pemproses kelas pertengahan Snapdragon 450. Kelapan-lapan teras pemproses ini menggunakan cip Cortex A53 dengan GPU Adreno 506. Memori sebesar 4GB disertakan dengan storan 64GB. Bagi yang inginkan storan lebih besar, V7+ menyokong kad mikroSD sehingga 256GB

Kamera utama pada bahagian belakang adalah sebesar 16-Megapixel f/2.0 dengan kemampuan merakam pada tetapan tertinggi 1080P 30FPS. Kamera hadapan pula sebesar 24-Megapixel f/2.0 yang merupakan saiz sensor swafoto terbesar pernah digunakan pada peranti pintar. Vivo V7+ ialah peranti penggemar swafoto dan turut dilengkapi flash yang menjadi tanda dagang peranti keluaran Vivo sejak kebelakangan ini.

Membekalkan kuasa kepada peranti ini ialah bateri sebesar 3225 mAh yang malang sekali tidak menyokong pengecasan pantas. Malahan port pengecasan mikroUSB masih digunakan sedangkan port USB-C kini semakin tinggi penggunaannya. Port ini menyokong sambungan USB-OTG bagi mereka yang memerlukannya.

Kerana ia sebuah peranti kelas pertengahan, tiada juga sokongan pengecasan tanpa wayar, NFC atau infra merah. Kemewahan hanya wujud dalam bentuk pengimbas cap jari, cip audio Hi-Fi dan bicu audio 3.5mm. Ini adalah dijangka kerana menyertakan kesemua fungsi-fungsi tambahan hanya akan meningkatkan harga jualan peranti.

Rekabentuk

Rekaan peranti agak menarik kerana bahagian dagu dan dahi yang kecil berbanding peranti-peranti Vivo sebelum ini. Bezel sisi masih kelihatan tidak seperti pada Galaxy S8. Sekilas pandang V7+ mengingatkan kami kepada LG V30 dan LG V6 kerana rekaan skrin yang pelanduk dua serupa.

Keempat-empat sisi peranti dibulatkan bagi membuatkannya lebih selesa dipegang. Tetapi kami kurang gemar dengan bagaimana skrin bersambung pada tubuh peranti. Ia terkeluar dari kerangka dan menyebabkan wujudnya bonjolan. Apabila jadi bergerak dari skrin ke sisi peranti, bahagian bonjolan menjadi sedikit kurang selesa. Ini ditambah lagi dengan pelindung skrin yang disertakan membuatkan kelancaran jari bergerak dari skrin ke sisi agak terganggu.

Panel belakang yang diperbuat daripada logam dengan kemasan yang pusam yang tidak memerangkap kotoran dengan mudah. Bagi mereka yang mahukan peranti yang tidak mudah kotor, Vivo V7+ akan menggembirakan anda. Rekaan antena pada bahagian atas dan bawah mengingatkan kami kepada rekaan OnePlus 5 dan Oppo R11. Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana ketiga-tiga peranti bersaudara ini di bawah payung konglomerat BKK Electronics.

Pada sisi kanan terdapat butang suara dari jenis rocker dan butang kuasa yang diperbuat daripada logam. Rekaan butang adalah cukup teguh. Ia tidak bergoyang apabila ditekan dan tidak mengeluarkan bunyi aneh yang menjadi kriteria butang yang diperbuat daripada plastik.

Hanya sebuah talan SIM terletak pada sisi kiri. Talam ini boleh menyokong dua SIM bersaiz nano serentak dengan sebuah kad mikroSD. Agak aneh peranti kelas pertengahan boleh dilengkapi talam yang mampu menyokong ketiga-tiga kad serentak. Pada peranti-peranti utama Android yang kami ulas tahun ini, penggunaan talam hibrid adalah jauh lebih popular.

Sebuah bicu audio 3.5mm, port pengecasan mikroUSB dan pembesar suara mono terletak pada bahagian bawah peranti.

Secara keseluruhan rekaan peranti adalah menarik dari hadapan tetapi sudah agak ketinggalan dari belakang. Rekaan iPhone 6 yang menjadi templat peranti Vivo sejak beberapa tahun kebelakangan ini sudah tiba masanya untuk ditukar. Peranti selesa dipegang tetapi skrin yang terkeluar dari kerangka membuatkan pergerakan jari sedikit terhalang kerana bonjolan yang wujud.

Antaramuka

Android 7.1.2 digunakan dengan pelancar Funtouch OS 3.2. Penggunaan versi Android yang agak terkini ini sedikit harus diberikan pujian kerana selalunya peranti dari China menggunakan Android 7.0. Walaubagaimanapun kerana pengguna pelancar FunTouch OS fungsi App Shortcut dan Multi Window  natif tidak disokong.

Pelancar Funtouch OS 3.2 memerlukan pengguna untuk belajar semula untuk menggunakan Android. Antaramuka diubah untuk menghampiri rekaan iOS. Tatalan dari atas ke bawah akan membuka talam notifikasi. Tatalan dari bawah ke atas pula akan membuka skrin Control Center seakan iOS.

Dari sini terdapat beberapa pintasan pantas untuk WiFi, Bluetooth, lampu suluh dan mengaktifkan data boleh ditemui. Tahap keterangan skrin dan kelantangan bunyi juga boleh diubah menerusi Control Center. Bagi mereka yang sudah bertahun menggunakan Android biasa, mengubah kepada sistem ini mungkin akan menjadi sedikit canggung pada awalnya.

Berikut ialah beberapa fungsi tambahan yang boleh ditemui pada FunTouch OS.

Smart Click – Pintasan pantas melancarkan aplikasi dengan menekan butang suara ke bawah. Lampu suluh, kamera dan aplikasi yang ditetapkan sendiri oleh pemilik.

App Clone – Menggunakan dua aplikasi serentak seperti WhatsApp.

Smart Split – Multi Window versi Vivo. Hanya aplikasi YouTube, kalkulator. Google Play, Facebook, WhatsApp. Messengar dan File Manager boleh dilancarkan secara serentak.

Super Screenshot – Mengambil gambar paparan skrin secara memanjang.

One Handed – Mengecilkan saiz skrin dengan menatal ke dalam dari sisi skrin kemudian dengan pantas menatal semula ke sisi skrin.

Smart Motion – Pelbagai gesture dari skrin yang terkunci. Antara yang boleh dilakukan ialah dwi-tap untuk menghidupkan skrin atau Air Operation yang memaparkan notifikasi dari skrin terkunci dengan menggerakkan telapak tangan di atas skrin.

Kesimpulan

Selamat datang ke tahun 2017 dimana fungsi yang hanya enam bulan yang lalu ditemui pada peranti premium kini muncul pada peranti kelas pertengahan. Vivo V7+ ialah peranti kelas pertengahan pertama di Malaysia dengan rekaan hampir semua skrin bernisbah 18:9. Di atas kertas ia sebuah peranti yang mempunyai spesifikasi yang baik.

Pemproses Snapdrgon 450 dipadankan dengan 4GB RAM dan storan 64GB. Snapdragon 450 hanyalah sebuah Snapdragon 625 dengan clockspeed lebih rendah (1.8 GHz X8 vs 2.0 GHz x 8) tetapi mengguna GPU Adreno 506 yang sama.

Rekaan peranti amat menarik dari hadapan tetapi mengekalkan rekaan standard yang digunakan Vivo sejak dua tahun kebelakangan ini. Ia sebuah peranti yang selesa dipegang cuma kekurangan terletak pada skrin yang terkeluar sedikit dari bingkai.

Kekuatan peranti ini terletak pada kamera swafoto sebesar 24-Megapixel dengan flash. Sejak dua tahun kebelakangan ini Vivo dan Oppo merajai segmen peranti swafoto tempatan. Bagi yang memerlukan peranti swafoto yang baik, ini adalah antara pilihan terkini di pasaran.

Dengan harga jualan RM1499, ia mungkin sedikit mahal berbanding Huawei Nova 2i yang turut mempunyai rekaan hampir semua-skrin di pasaran Malaysia. Terpulang kepada pengguna untuk melakukan pembelian bijak yang mereka rasakan lebih berbaloi.


TIPS & ULASAN