Cari @ Amanz

Apple iPhone 8 dan 8 Plus akan dijual di Malaysia pada 20 Oktober dengan harga bermula dari RM 3,649 sebuah. Ini mungkin kelihatan mahal tetapi ia masih boleh dianggap mampu milik sekiranya dibandingkan dengan harga jualan iPhone X.

Laman Apple Malaysia hari ini telah menyenaraikan harga jualan iPhone X dan ia adalah RM 5,149 untuk storan 64GB dan RM 5,899 untuk storan 256GB. Ini sekaligus meletakkannya sebagai iPhone termahal pernah dijual di Malaysia.

iPhone X merupakan telefon pintar dengan beberapa ciri-ciri tambahan daripada Apple – termasuk menggunakan rekaan skrin menyeluruh, tiada TouchID, dilengkapi pengimbas wajah 3D dan ciri FaceID, sokongan pengecasan tanpa wayar serta menawarkan sokongan kalis air.

Bagi yang ingin mengumpul wang untuk peranti premium ini, anda mempunyai beberapa bulan lagi sebelum ia dijual secara rasmi di Malaysia. Tarikh jualan untuk pasaran tempatan masih belum diumumkan lagi buat masa ini.

Jadi, pada harga jualan bermula RM5149, apa kata anda mengenai penawaran iPhone X untuk pasaran tempatan?

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd