Carian
Oppo R11s dan R11s Plus Kini Rasmi – Skrin Nirbingkai Dan Dijana Pemproses Snapdragon 660
November 3, 2017 Effi Saharudin

Di Malaysia Oppo F5 dilancarkan secara rasmi semalam dan pada waktu yang sama Oppo R11s dilancarkan di China. Seperti kami laporkan sebelum ini, Oppo R11s ialah model kemaskini kepada R11 dengan skrin nirbingkai 18:9. Dua model dilancarkan iaitu Oppo R11s dan Oppo R11s Plus.

Kita mulakan dengan Oppo R11s yang dilengkapi skrin 6.01″ AMOLED FHD+, dijana pemproses Snapdragon 660, memori sebesar 4GB RAM dan storan 64GB. Terdapat sokongan kad mikroSD sehingga 256GB bersama dua SIM bersaiz nano di dalam tiga slot berasingan. Kamera utama sebesar 16+20 Megapixel f/1.7+f/1.7 dipadankan dengan kamera hadapan 20-Megapixel f/2.0.

Seperti pada F5, terdapat sistem nyahkunci imbasan wajah serta A.I Beauty Recognition. Bateri sebesar 3205 mAh disertakan dengan sokongan pengecasan VOOC melalui port mikroUSB.  Sebuah bicu audio disertakan pada bahagian bawah. Lekuk pada bahagian bawah peranti dihasilkan bagi mengelakkan jari pengguna menutup kekisi audio ketika memegang peranti.  Sistem operasi Android 7.1.1 digunakan bersama pelancar ColorOS 3.2

Oppo R11s Plus mempunyai spesifikasi yang sama cuma skrin lebih besar 6.43″ AMOLED FHD+, memori dipertingkat ke 6GB RAM dan bateri sebesar 4000 mAh dengan sokongan pengecasan VOOC.

Oppo R11s dijual pada harga RMB 2999 (~RM 1919) dengan pilihan warna hitam, champagne dan merah. Harga jualan Oppo R11s Plus pula masih belum diumumkan tetapi di ditawarkan dengan pilihan warna hitam dan champagne.

Komen