Fungsi GIF Beranimasi WhatsApp Dinyahaktifkan Di Indonesia Bagi Menghalang Kandungan Berunsur Lucah

Fungsi GIF Beranimasi WhatsApp Dinyahaktifkan Di Indonesia Bagi Menghalang Kandungan Berunsur Lucah

Diterbitkan pada November 7, 2017 oleh .

Media sosial dicipta untuk berkongsi maklumat dengan sahabat handai. WhatsApp misalnya adalah alternatif popular kepada khidmat pesanan ringkas dan digunakan dengan meluas oleh penduduk di Malaysia. Antara fungsi yang ditawarkan ialah perkongsian GIF beranimasi. Di Indonesia kandungan GIF beranimasi tidak lagi diakses selepas menerima amaran dari pihak Kementerian Komunikasi dan Informatika (Kominfo).

WhatsApp diberikan tempoh 48 jam untuk membersihkan aplikasi dari kandungan GIF berunsur lucah ini oleh Kementerian Komunikasi dan Informatika (Kominfo). Pihak WhatsApp walaubagaimanapun mengatakan pihak Kominfo sepatutnya berhubung dengan pihak ketiga yang memberikan kandungan GIF di dalam WhatsApp iaitu Tenor dan GIPHY. Tenor pantas menghalang akses kepada GIF yang boleh dikategorikan sebagai lucah. GIPHY walaubagaimanapun masih belum memberikan sebarang komen.

Hari ini pengguna mula menyedari fungsi GIF beranimasi dari papan kekunci tidak lagi boleh digunakan. Mesej amaran mengatakan terdapat masalah dengan perkhidmatan akan muncul. Walaubagaimanapun halangan ini tidak dilakukan secara menyeluruh kepada semua dengan pengguna yang menggunakan perkhidmatan telko berbeza melaporkan mereka masih boleh menggunakannya.

Ini bukan kali pertama Indonesia cuba mengharamkan perkhidmatan atas talian. Sebelum ini laman Tumblr dihalang kerana kandungan lucah tetapi ia ditarik semula selepas menerima reaksi negatif oleh pengguna Indonesia. Selepas itu Line dan WhatsApp pula diarahkan membuang emoticon yang mengandungi unsur LBGTQ.


TIPS & ULASAN