Carian
KGI – Tiga Model iPhone Dengan Rekaan Seakan iPhone X Akan Dilancarkan Tahun Hadapan
November 14, 2017 Effi Saharudin

Dari sambutan yang ditunjukkan oleh pengguna, iPhone X ialah kejayaan yang besar bagi pihak Apple. Jualan iPhone X melangkaui jangkaan sekaligus memadam kekecewaan sambutan ke atas iPhone 8 yang terjejas teruk. Kejayaan ini menyebabkan firma KGI mengeluarkan ramalan bahawa tahun hadapan tiga model iPhone dengan rekaan seperti iPhone X akan dihasilkan.

Ketiga-tiga model mempunyai saiz dan teknologi skrin yang berbeza. Model paling besar dilengkapi skrin OLED 6.5″ dan model paling kecil dilengkapi skrin OLED 5.8″. Model yang paling menarik ialah yang ketiga dengan skrin LCD 6.1″. Model ini akan mempunyai kemasan yang kurang premium dengan harga jualan bermula dari $649 (~RM 2720). Kepadatan pixel versi ketiga ini juga lebih rendah berbanding dua model terdahulu. Ia mensasarkan golongan yang merasakan iPhone X adalah luar dari jangkauan mereka kerana harganya yang terlalu tinggi.

Ramalan terkini KGI ini selari dengan ramalan sebelum ini yang mengatakan dua model dengan skrin OLED akan dilancarkan tahun hadapan. Adakah sebuah “iPhone X” dengan harga lebih mampu milik menarik minat anda sebagai pengguna?

Komen