Tahun 2017 ialah tahun saman menyaman untuk Qualcomm kerana kemelut mereka dengan Apple berkenaan isu royalti penggunaan modem. Tahun 2018 juga dimulakan dengan langkah kiri kerana Qualcomm telah didenda €997 juta (~RM 4.8 bilion) oleh Kesatuan Eropah kerana membayar Apple untuk menggunakan modem keluaran mereka.
Tindakan membayar pelanggan untuk tidak menggunakan produk pesaing adalah melanggar undang-undang anti monopoli Kesatuan Eropah. Bayaran mencecah berbilion Dollar kepada Apple untuk menggunakan modem Qualcomm dari 2011 hingga 2016 menyebabkan pengeluar lain seperti Intel tidak dapat bersaing. Ini turut akan merugikan pengguna yang terpaksa mengguna produk yang tidak semestinya terbaik di pasaran.
Apple berhenti menggunakan moden Qualcomm secara eksklusif bermula dengan iPhone 7. Apple kemudian menyaman Qualcomm kerana mengenakan bayaran royalti yang tidak munasabah. Qualcomm membalas saman dan turut menuduh Apple berkongsi rahsia syarikat mereka dengan Intel yang melanggar perjanjian.
Pihak Qualcomm telah mengeluarkan kenyataan rasmi tidak bersetuju dengan keputusan Kesatuan Eropah dan akan melakukan rayuan untuk menentangnya.