Carian
YouTube Live Kini Menyokong Paparan Sarikata Secara Automatik
February 27, 2018 Effi Saharudin

Dengan wujudnya YouTube Live, akses kepada penstriman acara secara langsung dapat dilakukan oleh semua pengguna hanya menggunakan telefon pintar. Dahulu kita amat bergantung kepada syarikat televisyen dengan peralatan yang bernilai jutaan ringgit.

Satu kekurangan pada YouTube Live ialah tiadanya sarikata. Bagi golongan OKU pendengaran, ketiadaan sarikata membuatkan mereka tidak dapat mengikuti penstriman langsung. YouTube hari ini mengumumkan sokongan sarikata secara automatik telah diaktifkan. Sistem pengenalan audio YouTube akan mengubah audio percakapan ketika penstriman pada kadar yang setanding standard industri semasa.

YouTube juga mengumumkan sokongan siaran semula Live Chat pada video penstriman langsung. Sekiranya anda terlepas penstriman langsung, anda masih boleh menonton video yang telah disimpan lengkap dengan paparan Live Chat yang bergerak selari seperti anda menontonnya secara langsung.

Sokongan tag geolokasi turut diperkenalkan. Apabila melakukan penstriman, pengguna boleh menyimpan lokasi dimana rakaman dilakukan. Akhir sekali fungsi Super Chat akhirnya akan hadir ke aplikasi YouTube untuk iOS pada hari ini.

Komen